Monday, July 6, 2009

Yuna terkena tempias gosip dan fitnah

NAMA dan reputasinya mula tercalar biarpun belum sampai setahun pemilik bernama penuh Yunalis Zarai atau Yuna, 22, ini mengembangkan sayap seninya di pentas arus perdana. Lagu Dan Sebenarnya antara karyanya yang menjadi siulan dan meledak sekali gus memperkenalkan anak tunggal berbakat besar itu.
Rentetan populariti yang sedang dilaluinya, cerita kurang enak mula tersebar baru-baru ini kononnya dia sudah mula sombong dan selalu menghampakan rakan media yang mengundangnya ke sesi fotografi. Paling teruk apabila timbul cerita Yuna memberi alasan yang bunyinya tidak munasabah dan kurang cerdik iaitu ‘pakcik meninggal dunia’.
Enggan mengeruhkan lagi keadaan, Yuna menjelaskan apa yang terjadi hanyalah salah faham dan kesilapan komunikasi. Difahamkan, wakil APM 2009 sendiri sudah mengakui kesilapan kerana memberi maklumat yang salah. Hakikatnya bukan bapa saudara Yuna yang meninggal sebaliknya bapa saudara Stacy.

“Saya sedar masih baru dalam dunia seni. Nak cakap saya artis pun saya berasakan diri belum layak untuk gelaran itu. Saya lebih senang mengkelaskan diri saya sebagai pemuzik biasa. Saya faham perkara seperti ini boleh berlaku, tidak dapat dikawal dan dielak. Kerjaya seperti saya sekarang ini memang mudah terdedah dengan sebarang kemungkinan yang tak terduga.
“Perihal salah faham hingga wujud alasan ‘pakcik meninggal dunia’ memang mengejutkan saya sendiri. Malahan, ibu bapa saya tidak pernah mengajar untuk main-main perkara membabitkan kematian. Saya mungkin tidak kisah jika orang mula melabel saya sudah mula ‘kekwat’ kerana saya tahu apa yang saya buat. Tapi kerana alasan itu, tempiasnya kepada ibu bapa saya yang kena menjawab dengan saudara mara yang lain. “Sepanjang pengetahuan saya dan Paan (rakan yang banyak menguruskan diri Yuna), kami memang tidak tahu menahu mengenai sebarang sesi fotografi membabitkan akhbar itu. Seingat saya APM 2009 hanya memberitahu kami untuk hadir dalam sesi fotografi sebuah majalah hiburan. Itu pun kami tak dapat buat kerana saya terikat dengan jadual rakaman album penuh,” katanya.
Menurut Yuna, dia sedar bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Selagi termampu, Yuna menjelaskan yang dia akan memberi kerjasama kepada wartawan untuk ditemubual ataupun hadir ke sesi fotografi. Di kesempatan ini juga, Yuna dengan rasa rendah hati memohon maaf kepada sesiapa yang berkaitan di atas sebarang kekeruhan yang melanda dirinya. Malahan, apa yang terjadi ini menyimpulkan satu pengajaran bermakna kepadanya. Baginya, ini adalah satu proses untuk membiasakan diri dalam industri hiburan yang baru disertainya. “Saya tekankan di sini saya sentiasa menghargai tugas wartawan dan golongan seni seperti saya sentiasa memerlukan peranan wartawan. Apa yang penting adalah kerjasama dalam usaha memudahkan kerja kita. Saya juga sentiasa terbuka menerima kritikan di atas kelemahan diri ini. “Kalau ada kesilapan atau mungkin sikap saya yang terlepas pandang, sekali lagi saya mohon maaf dan tidak berniat nak menyakiti mahupun menyusahkan sesiapa. Saya juga ingin memohon maaf kepada peminat atau sesiapapun yang mungkin tersinggung dengan artikel gosip yang membabitkan saya itu,” katanya sambil berterima kasih kepada Hip yang sudi membuka ruang untuknya menjelaskan keadaan sebenar.

No comments:

Post a Comment