Wednesday, July 1, 2009

Bunkface di Jelajah 11 Era


Hargai muzik, elak konsert percuma
BUNKFACE juga tidak kurang hebat mencipta populariti dengan jalur muzik pop punk dan rock mereka. Tidak susah menggandingkan fotografi ini kerana baik Ayu mahupun Bunkface, kedua-duanya cukup selamba memberikan pose di hadapan kamera. Nilai sendiri hasil fotografi mereka baru-baru ini di Balai Berita. Kumpulan ini hadir di saat persada muzik kita mula dikuasai kumpulan indie yang pantas menunjukkan taring tersendiri. Bermula secara ‘underground’, mereka mencuri ruang untuk dalam laluan arus perdana seperti yang pernah dilakukan kumpulan Estranged, Hujan, Meet Uncle Hussain dan terbaru, Pesawat. Terdahulu, mereka pernah muncul dengan album EP memuatkan enam buah lagu berbahasa Inggeris. EP berjudul Lesson Of The Season itu mempertaruhkan lagu Silly Lilly sebagai pengenalan kepada kehadiran muzik kumpulan itu. Bagaimanapun lagu itu tidak sehebat lagu sulung berbahasa Melayu mereka iaitu Situasi yang mula memberikan impak berbeza terhadap pendakian seni Bunkface.


“Setakat ini sudah 70 peratus proses pembikinan album kami hampir siap. Kami juga akan memuatkan lagu seperti Revolusi, Situasi dan Silly Lilly di dalam album itu. Paling lewat pun album itu akan siap selepas raya nanti. Kami juga sudah muncul dengan single terbaru berjudul Prom Queen yang sedang diputarkan di beberapa stesen radio. “Klip video Situasi juga akan muncul bila-bila masa saja. Kami juga baru pulang dari Jakarta memenuhi undangan Channel (V), AMP Radio menghadiri parti Rolling Stone’s Rock & Roll Propaganda. Pemergian kami ke sana turut disambut vokalis Nidji, Giring, Nicholas Saputra dan beberapa orang pembikin filem tersohor dari sana. “Saluran popular itu turut menaja pembikinan klip video lagu Bunk Anthem. Lagu itu turut akan dimainkan di kaca TV beberapa saluran seperti Star World dan Star Movie. Dengan apa yang kami peroleh kini, kami dapat melihat sokongan peminat sungguh tidak berbelah bagi.

Bagaimanapun, kami tidak pernah puas dengan prestasi ini,” kata Paan mewakili Sam dan Youk. Mengenai dua pencalonan di dalam Shout! Awards, mereka memberitahu tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi untuk menang. Paling penting, kata mereka, ialah dapat sama-sama memeriahkan majlis dan memberi sokongan kepada acara itu. Diajak berbual secara serius, Bunkface juga menyuarakan satu pandangan yang sama pernah diketengahkan Faizal Tahir di dalam ruangan penulisannya di dalam sisipan B*Pop, Berita Minggu bertarikh 21 Jun lalu. Apa yang dipersoalkan Faizal ialah sampai bila masyarakat akan terus disogok dengan konsert percuma. Memetik kata-kata Faizal dalam penulisannya, bukan soal duit yang menjadi isunya. Paling penting katanya ialah jika menetapkan harga RM10 untuk menonton konsert pun sudah memadai dan langkah permulaan yang baik bagi mendidik orang kita untuk menghargai segala hasil kerja penggiat seni. Kata Sam selaku vokalis yang bersetuju dengan pandangan Faizal, bukan persembahan percuma itu tidak bagus, cuma mohon mereka ialah jangan terlalu kerap menganjurkan konsert percuma kerana pada akhirnya ia akan memberi kesan tersendiri.


“Tak dinafikan persembahan percuma juga sebagai batu loncatan untuk mempromosikan diri dan memberikan sokongan kepada mana-mana penganjur atau pihak. Persembahan sebegitu perlu dikurangkan dan kalau boleh lebihkan pertunjukan yang berbayar. Hargailah muzik kami. Kami pun nak cari makan dan paling kurang bayaran token sudah memadai. “Bukan kami nak cakap yang artis ini tidak mahu terbabit dengan konsert percuma, sebaliknya kami tidak mahu ia menjadi kelaziman atau satu budaya. Takut pula kalau masa mendatang, artis mahu membikin konsert berbayar, tiada pula penonton yang mahu hadir. Susah pula artis macam kami nak hidup. “Kalau band luar Malaysia boleh diundang membuat persembahan berbayar di negara kita, kenapa tidak peluang itu diberikan juga untuk penggiat muzik tempatan. Kerajaan juga harus terus menyokong dan memainkan peranan penting demi membangunkan industri seni kita.


Takut nanti, parah jadinya di kemudian hari,” kata Sam yang percaya bakat tempatan juga tiada tolok bandingnya. Dalam sisi peribadi, Sam juga turut diajukan status hubungannya dengan pelakon, model dan pengacara kacukan jelita, Juliana Evans. Kata Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar tidak menafikan mereka sedang bahagia bercinta. Cuma pintanya, dia tidak mahu kisah itu terlalu digembar-gemburkan. “Saya gembira bersamanya dan saya mengaku kami bercinta. Sebelum ini kami hanya berkawan dan hubungan itu mula intim sejak sebulan yang lalu,” katanya ringkas sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment