Kehamilan membuka hati pelakon drama popular, Eja untuk dedahkan status sebenar dirinya
STATUS sebenar pelakon jelita, Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih mesra dengan nama komersial Eja, 37, ini sudah tidak lagi mengundang 1001 satu pertanyaan. Selepas lebih 10 tahun 'berselindung', kenyataan sebenar mengenai realiti dirinya bergelar isteri bukan lagi rahsia. Kehadiran bayi yang dikandung berusia tujuh bulan itu antara alasan kukuh kenapa Eja memilih untuk melanggar prinsip yang dipegangnya selepas 12 tahun membabitkan diri dalam dunia seni. Bagi yang mengenali Eja dengan rapat dia sebenarnya tidak pernah berselindung mengenai status dirinya.
Dalam kehidupan biasanya, dia dan suaminya, Mohd Silahuddin Jamaluddin bergelar ahli korporat berusia 40-an bebas bergerak di tempat umum. Namun dalam sisi bergelar anak seni, bekas pembuka kotak abjad program Roda Impian ini pernah tegar mempertahankan pendirian untuk tidak mencampur adukkan urusan peribadi dan kerjaya. Katanya, selama ini pun dia tidak pernah mengiyakan atau menafikan status sebenar dirinya, cuma dia lebih selesa mengalih topik itu ke arah kerjaya. Eja dijangka melahirkan anak sulungnya pada pertengahan September ini ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri. “Bukan tiba-tiba saja saya mahu mendedahkan dan berkongsi cerita sebenar mengenai status diri saya yang sudah memegang status isteri. Malah ada wartawan yang rapat dengan saya sudah sedia maklum siapa saya sebenarnya. Dalam konteks ini, saya dan wartawan saling hormat menghormati di antara satu sama lain.



Menurut Eja, ketika berada di tanah suci, hatinya mula bercampur baur dengan rasa sedih, sunyi dan sepi. Bahkan rasa sebak juga mulai singgah bertamu di dalam sanubarinya. Kata Eja, kerana sudah lama hidup berdua bersama suami di samping berlakon, ironinya, Eja sampai lupa ada sisi hidup dan tanggung jawab lain yang perlu diisi. “Mungkin juga itu petunjuk dari Tuhan supaya saya terbuka hati dan bersedia untuk memilih laluan bergelar ibu pula. Sekembalinya ke tanah air, saya berbual dengan suami dan dia juga teruja dengan kesediaan saya . Lagipun kalau dilihat daripada faktor usia kami, molek benar kami untuk mempunyai anak apatah lagi kami sudah bersedia mental dan fizikal. “Akhirnya saya dan suami sepakat untuk bercuti pada penghujung tahun lalu di Los Angeles, Tahoe dan Las Vegas selama tiga minggu. Sekembalinya ke Kuala Lumpur, saya sempat berlakon sebuah tele filem, namun ketika itu saya asyik mengantuk saja dan sangkakan ini mesti penangan ‘jet lagi’. “Badan pun seram sejuk semacam saja. Selalunya balik dari luar negara, saya rindukan makanan Melayu. Tapi sebaliknya, ketika itu, terbalik pula jadinya. Saya teringin makan makanan Barat seperti spageti, lasagna dan termasuk nak makan ais krim ketika jam 3 pagi,” katanya sambil tersenyum. Rentetan daripada simptom pelik yang dialaminya itu, Eja mula berasakan ada ‘sesuatu’ dalam perutnya dan ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Keputusan yang diterima, Eja disahkan hamil empat minggu sejak Januari lalu hingga membuatkan dirinya terkejut, terpegun dan tak terkata jadinya. Selepas dimaklumkan berita gembira itu perkara pertama yang dilakukannya ialah memotong rambut hingga ke paras bahu. Malah demi memenuhi janji kepada Berita Harian, dia masih sanggup menghadiri acara Tabung NSTP Untuk Gaza awal tahun ini. Seperti ibu mengandung lain, Eja juga tidak lepas berasa mual dan muntah-muntah. Malah sejak bulan lalu, Eja juga sudah mula membuat persiapan membeli barangan bayi ketika menemani suaminya ke London atas urusan kerja. Eja sempat mengirimkan beberapa keping gambar buat tatapan peminatnya ketika membeli barangan buat bakal anaknya di butik Mamas & Papas. “Selepas bulan keempat hingga sekarang, saya diduga kerana penyakit asma dan batuk menjadi-jadi. Pembawaan anak ini biasalah. Tidur pun tak cukup dan mood pun tidak menentu. Kalau pening dan sakit pun kena tahan sebab nak makan ubat ia boleh memudaratkan keadaan bayi. Makan pun perlu dijaga dan tidak boleh sembarangan. Saya hanya memakan vitamin yang disyorkan doktor saja. “Saya sudah membuat pengimbasan tiga kali untuk melihat jantinanya. Tapi bila lihat di skrin pengimbasan, bayi dalam perut ini pemalu macam ibunya juga kerana masih menyembunyikan jantinanya. Semua ibu di dunia ini pastinya mahukan anak mereka dilahirkan dalam keadaan sempurna dan sihat. Kalau sudah tiada lagi di dunia nanti, bolehlah anak ini mendoakan kami. “Saya pun sudah mula membeli barangan bayi sedikit demi sedikit. Pantang nampak butik barangan bayi, saya mula jadi teruja dan rambang mata. Kebetulan tengah jualan murah di London, saya singgah di butik Mamas & Papas yang berasal dari Itali. Lucunya, kali ini dalam sejarah saya pulang ke Malaysia tanpa barang untuk diri sendiri,” katanya yang akan memulakan kembali baki penggambaran drama Tasbih Cinta sekitar November atau Disember ini. Buat peminat yang merindui wajah dan lakonan Eja boleh menonton drama Wadi Unung arahan Raja Ahmad Alauddin di saluran Astro Prima dijangka siarannya pada Ramadan ini. Drama yang menjalani penggambaran di Perth, Australia, Kedah dan Perlis turut dibintangi Faizal Yusof.
No comments:
Post a Comment