Thursday, July 30, 2009

Hot FM Radio No.1 Kategori 35 Tahun Kebawah

Hot FM pikat pendengar di bawah umur 35 tahun, terus dominasi pasaran di bandar utama seluruh negara
STESEN radio pertama milik Media Prima Berhad, Hot FM sekali lagi berjaya mengekalkan kedudukan sebagai stesen radio nombor satu negara bagi kategori pendengar di bawah lingkungan umur 35 tahun dan terus mendominasi pasaran bandar serta bandaraya utama seperti Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Ipoh.
Ketika memulakan operasinya pada 2006, Hot FM hanya mempunyai sekitar 2.9 pendengar. Bagaimanapun stesen radio berkenaan terus memacu kejayaan dengan lajunya apabila laporan AC Nielsen baru-baru ini menunjukkan stesen itu didengari 3.7 juta pendengar.
Selain kekal sebagai stesen radio nombor satu bagi pendengar di bawah lingkungan usia 35 tahun untuk kali kedua, segmen pagi AM Krew yang dikendalikan Faizal Ismail dan Fara Fauzana juga sekali lagi berjaya mengekalkan posisi sebagai rancangan pagi nombor satu Malaysia.
Sementara itu, tiga segmen lainnya turut unggul sebagai program nombor satu untuk kumpulan sasaran di bawah umur 30 tahun. Tiga segmen itu ialah Jawa Rangers kendalian AG dan Kieran, Hot FM Zone yang dikendalikan Anne serta Ikhwan dan Menu Muzik Hot FM kendalian Leya dan Tini.
Ketua Pegawai Operasinya, Seelan Paul berkata, Hot FM mempunyai pengkhususan pendengar. Justeru mereka perlu kembali kepada siapakah golongan sasaran stesen radio berkenaan.
“Kami tidak mampu memenuhi kehendak semua, sebaliknya sebuah stesen radio itu perlukan pengkhususan. Di Hot FM, kami mensasarkan kepada pendengar di bawah umur 35 tahun. Sejak hari pertama kami memulakan operasi itulah strategi yang disasarkan.
“Fokus utama kami untuk mencapai sasaran yang diletakkan dan strategi itu ternyata berhasil apabila dua kali berturut-turut Hot FM menjadi pilihan nombor satu rakyat Malaysia di dalam lingkungan umur itu. Sebagai sebuah stesen yang masih baru, apa yang penting kepada kami apabila dapat mempertahankan kedudukan itu. Kami juga sentiasa memastikan Hot FM terus relevan di telinga pendengar. Bagi mencapai sasaran itu, Hot FM perlu ada evolusi dan sentiasa bersedia untuk perubahan,” katanya ketika ditemui.
Memastikan stesen radio Hot FM relevan, mereka tidak hanya fokus kepada pendengar sebaliknya turut memberi perhatian kepada senarai lagu diputarkan stesen radio berkenaan agar sesuai dengan cita rasa pendengar.
Berdasarkan perkembangan enam hingga lapan bulan kebelakangan ini, muzik indie menjadi trend pendengar masa kini. Sebagai memenuhi cita rasa pendengar itu, Hot FM memutarkan lagu indie dengan lebih kerap.
“Setiap dua minggu, kami akan membuat pemerhatian perkembangan semasa industri muzik tanah air. Saya sentiasa mengikatkan pasukan Hot FM, setiap hari adalah pertempuran. Untuk mendapatkan telinga pendengar bukannya mudah kerana mereka mempunyai pilihan lain selain radio iaitu menerusi televisyen, internet dan pelbagai gajet seperti ipod, Mp3 dan sebagainya. Bagi mencapai jumlah pendengar yang kami peroleh sekarang bukanlah mudah tetapi untuk sebuah stesen radio yang masih baru, kami tetap berbangga. Namun kami tidak boleh sentiasa berada di zon selesa kerana itulah perkara yang boleh menjatuhkan kami kelak,” katanya.
Dengan pencapaian Hot FM, Seelan tidak merasakan perlu berlaku perubahan kepada stesen berkenaan. Setakat ini, dia berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pasukan termasuk penyampai radio yang menjadi tunjang utama stesen itu.
Isi kandungan programnya juga menurut Seelan masih lagi sesuai, bagaimanapun perubahan untuk memantapkan kandungan akan tetap dibuat bagaimanapun bukan dalam tempoh terdekat sebaliknya antara sebulan atau dua dari sekarang.
“Setakat ini saya gembira dengan barisan penyampai yang ada di Hot FM. Saya sentiasa memegang kepada falsafah jika tidak rosak kenapa perlu diperbaiki, jadi saya tidak berasakan perlu ada angin perubahan di kalangan penyampai. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh tenaga kerja Hot FM di atas kerja keras mereka dan berterima kasih kepada pendengar yang menyokong Hot FM,” katanya.
Selain kejayaan Hot FM, kajian dikeluarkan AC Nielsen juga menunjukkan Rangkaian Radio Media Prima lain iaitu Fly FM dan One FM turut mencatatkan kedudukan yang kukuh dalam pasaran masing-masing. Fly FM menunjukkan kenaikan 70 peratus pendengar, sementara stesen radio bahasa Cina, One FM berjaya memenangi hati 300,000 pendengar dalam tempoh enam minggu bersiaran

Johan&Ozlyn Bernikah

Selamat pengantin baru buat Johan Raja Lawak dan Ozlyn yang telah sah bergelar suami isteri pada 25 Julai lalu di Masjid Lembah Jaya, Ampang. Semoga mahligai rumahtangga yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat. Majlis pernikahan tertutup itu hanya dihadiri oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak.
“Sebenarnya, kami sudah lama merancang untuk berkahwin…sebelum timbulnya segala kontroversi itu. Tetapi, kesibukan nampaknya membataskan perancangan itu. Kami kemudiannya rancang untuk bernikah pada 13 Jun lalu, bersamaan dengan hari lahir Johan dan adakan majlis persandingan pada hari lahir saya pula iaitu 22 September. Tetapi sekali lagi, masa nampaknya tidak sesuai. Akhirnya kami nekad memilih tarikh 25 Julai lalu untuk bernikah dan mengadakan resepsi pada 26 September pula. Alhamdulilah, majlis pernikahan berjalan lancar. Saya berharap, selepas ini tidak lagi ada kisah kontroversi yang akan singgah pada kami,” kata Ozlyn dalam nada ceria.
Pada majlis yang menyaksikan pasangan tersebut mengenakan busana ala-padang pasir itu, Ozlyn menerima mas kahwin berjumlah RM1,000 dan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan, manakala jumlah wang hantaran pula dirahsiakan. Ozlyn juga berkata, dia berharap tidak ada pihak yang berkecil hati kerana tidak diundang ke majlis pernikahan mereka tempoh hari di atas faktor-faktor tertentu.

“Ahli keluarga saya dan Johan cukup besar. Memandangkan kami hanya bernikah secara kecil-kecilan di masjid, jadi kami hanya menjemput ahli keluarga terdekat saja. Malah, ada juga saudara-mara yang tidak sempat kami undang. Begitu juga dengan pihak media. Insya-allah, majlis resepsi yang akan menyusul selepas hari raya nanti, saya akan mengundang rakan-rakan artis, saudara-mara dan media. Apa yang menariknya, saya juga akan adakan rumah terbuka sempena raya pada resepsi itu nanti. Ala-ala konsep 2 dalam 1. Dan pada majlis itu nanti, saya akan mengundang tetamu ‘istimewa’. Tunggulah nanti,” kata Ozlyn yang akui tertarik dengan sikap Johan yang tidak hipokrit.
Ditanya tentang kehidupannya sebagai isteri kini, tutur Ozlyn, dia akui tidak ada apa yang berubah kerana masing-masing masih meneruskan karier sendiri. Namun, ujar Ozlyn, dia tidak menafikan wujudnya perasaan kekok apatah lagi baru menjadi isteri selama empat hari.

“Sekarang ini masih kelam-kabut, baru nak cuba serasikan diri sebagai suami isteri. Saya pun masih belum sempat memasak untuk suami kerana selepas bernikah, kami sudah kembali sibuk dengan kerja masing-masing. Kalau saya tidak ada ’shooting’ pun, saya akan ikut dia ke lokasi. Begitu juga dengan Johan. Sebab itu sehingga sekarang pun kami masih belum fikir destinasi berbulan madu. Tengoklah, mungkin selepas raya nanti baru akan kami fikirkan tentang berbulan madu,” kata Ozlyn yang pernah dilanda gosip mengatakan dirinya pernah berkahwin sebelum ini.

Wednesday, July 29, 2009

Memey Masih Mengharapkan Cinta Norman

Suhaiza Suhaimi atau Memey mengaku belum bersedia jadi isteri Norman Hakim kerana usia terlalu muda BUKAN masanya untuk berkahwin dengan Norman Hakim. Begitulah pengakuan pelakon yang mencetuskan kontroversi dengan kisah cinta tiga segi, Suhaiza Suhaimi atau lebih dikenali dengan panggilan Memey mengenai hubungannya dengan aktor kacak yang kini berstatus duda itu. Di samping usianya yang masih terlalu muda iaitu 21 tahun, usia pembabitannya sebagai anak seni yang belum pun setahun jagung membuatkan gadis kelahiran Johor ini memilih untuk menunggu dan melihat perkembangan hubungan mereka seterusnya.
Bagaimanapun, dia yang ditemui ketika majlis pelancaran drama bersiri Puteri Aurora Beradu mengisi slot Lagenda setiap Isnin hingga Khamis di TV3 baru-baru ini, tanpa berselindung berharap percintaannya dengan duda tiga cahaya mata itu berakhir dengan ikatan pernikahan. Namun beritahu gadis manis ini, setakat ini dia dan Norman tidak pernah berbincang serius soal perkahwinan tetapi mengakui sudah beberapa kali mengunjungi keluarga kekasihnya di Kuantan, malah sudah memanggil ibu Norman dengan panggilan mak. Begitu juga dengan Norman yang kerap menziarah keluarganya di Johor. Tetapi kunjungan itu hanyalah kunjungan biasa tanpa membabitkan sebarang perbincangan serius. “Saya tidak pernah meletakkan sasaran bila masa sesuai untuk menamatkan zaman bujang, semuanya diserahkan pada jodoh. Mungkin bukan dalam masa terdekat ini kerana buat masa ini saya hanya mahu fokus pada kerjaya terlebih dulu kerana usia saya masih muda. Tetapi saya tak berani nak mengulas lanjut kerana bimbang perancangan itu jadi sebaliknya.
“Bagaimanapun, saya tetap mengharapkan yang terbaik untuk persahabatan kami. Saya berharap supaya persahabatan ini berakhir dengan sebuah perkahwinan satu hari nanti tetapi setakat ini kami masih belum pernah berbincang apa-apa pun mengenai kahwin,” kata Memey yang berharap kes khalwat dengan Norman berakhir dengan baik. Pasangan itu pernah menimbulkan kontroversi apabila dicekup pihak berkuasa 30 Oktober lalu di pejabat milik Norman atas tuduhan khalwat. Penangkapan mereka menjadi panas kerana ketika itu Norman masih bergelar suami kepada pelakon dan penyanyi Abby Abadi. Ketika kejadian itu Abby berada dalam pantang selepas melahirkan cahaya mata ketiga mereka Maria Danisah Hakim, pada 17 September tahun yang sama. Lebih setengah tahun berlalu, Memey dan Norman masih lagi turun naik mahkamah menyelesaikan kes khalwat mereka yang belum lagi selesai. Kes itu akan dibincangkan kembali di mahkamah esok. Enggan peduli kata nista khalayak
BIARPUN zahirnya kelihatan tenang, Memey yang memegang watak utama sebagai Puteri Aurora tidak menolak kes khalwat itu membebankannya kerana terpaksa menanti lama keputusannya. Bagaimanapun dia reda dan menerima apa pun keputusan yang bakal dibuat mahkamah, namun tetap mengharapkan pengakhiran yang baik. “Selagi perkara ini tidak selesai, selagi itulah ia menjadi satu beban kepada saya. Kalau kes ini selesai, sekurang-kurangnya dapatlah saya menjalani kehidupan dengan tenang. Saya terima apa saja keputusannya nanti tetapi kalau boleh biarlah berakhir dengan baik. “Sejak dikaitkan dengan kes khalwat, pelbagai cemuhan yang saya terima malah sehingga kini pun orang masih mengata saya. Di internet misalnya, banyak kata nista dilemparkan tetapi saya tidak ambil pusing. Saya tidak mahu penghinaan mereka mempengaruhi saya, jadi saya anggap tiada apa pun yang berlaku tetapi sedikit sebanyak ia sebenarnya menjadikan saya kuat,” katanya lagi. Mengimbas kembali episod hitam itu, pelbagai kemungkinan buruk bermain di fikirannya. Pertama, namanya mungkin tidak lagi menjadi pilihan produser dan yang kedua dia tidak lagi dapat menyara keluarga. Bagaimanapun, Memey yang baru setahun lebih menceburi dunia lakonan mampu menarik nafas lega dan bersyukur produser tempatan tidak mendiskriminasi dirinya. Sebaliknya dia dihujani pelbagai tawaran selepas JS Pictures milik pelakon Sheila Rusly membuka pintu untuknya. Walaupun tidak dipinggirkan, Memey tidak mahu mengambil kesempatan ke atas peluang diberikan. Dia mahu lebih berhati-hati supaya kesilapan tidak berulang kembali. Mungkin nasibnya baik kerana diberi peluang sekali lagi tetapi dia menyedari peluang sebegini tidak datang selalu. “Saya bersyukur masih diterima. Pada mulanya memang saya amat bimbang kerana periuk nasi saya datang dari sumber lakonan. Tetapi tidak berapa lama selepas kes itu berlalu, sedikit sebanyak peluang saya semakin cerah. Apa yang berlaku memang banyak mengajar saya. “Saya tidak akan mengambil kesempatan dengan peluang diberikan. Saya mahu lebih berhati-hati lagi selepas ini. Mungkin waktu ini saya bertuah, esok lusa belum tahu lagi. Sejak peristiwa itu, saya menjadi lebih matang. Saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang tetapi mahu memandang terus ke depan. “Alhamdulillah rezeki saya murah tetapi saya tak mahu tamak menerima semua tawaran. Saya tidak mahu salah gunakan kesempatan yang diberikan kepada saya. Bagi saya disiplin, kualiti kerja perlu diambil kira apabila menerima tawaran berlakon,” katanya.

Luah cinta melalui mimpi PUTERI Aurora Beradu arahan Fairuz Loy menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang turut dibintangi Iqram Dinzly, Eizlan Yusof, Rozita Che Wan, Norish Karman, Aida Aris, Enot dan Rashidah Jaafar direalisasikan dari lagenda Inggeris, Sleeping Beauty. Tidak lari dari kisah asal puteri cantik dan anak raja yang gagah, kisah ini bagaimanapun diterjemahkan mengikut cita rasa yang bersesuaian dengan masyarakat. Drama bersiri sebanyak 20 episod ini, mengisahkan Memey yang memegang watak Puteri Aurora hidup dalam persembunyian. Dia dijaga oleh tiga penjaganya Che Nora, Che Arn dan Imah. Menurut Memey, sepanjang dalam drama bersiri ini, dia hanya terlantar dalam keadaan koma bagaimanapun kisahnya diterjemahkan melalui mimpi sepanjang dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. “Kisah cinta saya dan Hakimi (Iqram) diluahkan menerusi mimpi kerana kekuatan cinta itu ia menyedarkan saya dari koma. Di dalam siri ini saya terlantar koma dari episod satu hingga 20 tetapi dalam koma itu ada jalan ceritanya,” kata Memey. Pengarah drama bersiri ini berkata, dia tidak menghadapi masalah besar mengarahkan sebuah kisah dongeng kecuali berdepan dengan masalah jadual pelakon kerana sebanyak 20 pelakon digunakan. Apabila berkerja dengan pelakon yang mempunyai nama, ia menyukarkan sedikit apabila membabitkan jadual. “Setiap babak perlu ada pelakon yang ada, jadi kita berdepan masalah dengan jadual mereka. Selain itu, saya juga perlu menerangkan kepada pelakon dengan lebih terperinci jalan cerita drama ini kerana ia lebih kepada imbas kembali. Bagaimanapun, bekerja dengan pelakon yang mempunyai pengalaman sangat membantu dan tidak mendatangkan banyak masalah kepada kami,” katanya yang ditemui di majlis pelancaran drama bersiri itu baru-baru ini.

Gambar Bogel-Mawi Enggan Lapor Polis


PELBAGAI bentuk kontroversi serta dugaan yang melanda anak kelahiran Felda Taib Andak, Kota Tinggi Johor ini sejak bergelar artis bermula pada pertengahan 2005. Ada saja berita negatif dan gosip liar yang dikaitkan dengan dirinya apatagh lagi ketika beliau belum berkahwin. Sejak hari pertama bergelar Juara Akademi Fantasia musim ketiga, kontroversi putus tunang, bercinta sehinggalah dia mendirikan rumah tangga. Kini, selepas lebih enam bulan bergelar suami kepada pelakon yang juga model, Ekin, timbul pula cerita panas membabitkan pengedaran meluas gambar aksi bogel seorang pemuda yang seiras wajahnya di ruang siber. Sungguh mengejutkan apabila gambar bogel yang seiras wajah Raja SMS, Asmawi Ani atau Mawi itu bukan saja tersebar secara meluas di internet tetapi dalam bentuk Sistem Pesanan Multimedia (MMS) menerusi telefon bimbit. Harus diakui, ramai peminat terkejut dengan pendedahan gambar itu menerusi media massa kerana wajah yang dipapaerkan dalam gambar itu adalah wajah mawi tetapi badannya milik orang lain yang dipaparkan menerusi teknik imej pertindihan (superimposed).
Ketika dihubungi B*Pop Khamis lalu bagi mengulas penyebaran gambar bogel MMS yang dikaitkan dengan dirinya, reaksi Mawi memang tidak disangkakan kerana dia ketawa besar.

pada masa itu, penyanyi yang pernah tiga kali bergelar Bintang Paling Popular itu mengakui dia langsung tidak terkejut, malah, dia ketawa secara spontan dan ketawanya itu berpanjangan sambil menyifatkan gambar itu memang kelakar dan menafikan imej lelaki bogel dalam MMS itu bukan dirinya. Ketika itu, Mawi yang sedang menikmati makan malam di rumah bersama Ekin menjelaskan memang dia sudah tahu bmengenai kewujudan imej lelaki bolgel yang menyerupai dirinya itu sejak beberapa bulan lalu. “Isu mengenai gambar ini sebenarnya cerita lama, saya sendiri hampir terlupa mengenainya. Rasanya pertama kali saya melihat gambar ini sekitar dua tahun lalu bila seseorang menunjukkan kepada saya... tidak sangka pula ia timbul semula sekarang selepas saya berkahwin dan mula aktif menerbitkan program untuk stesen televisyen kebelakangan ini,” katanya sambil tergelak lagi. Tambah Mawi lagi, dia yang kini sedang sibuk dengan promosi filem terbitan KRU Studios berjudul Jin Notti di samping Fara Fauzana juga berasa pelik kerana sepanjang mengetahui kewujudan gambar aksi bogel itu yang mula tersebar sejak dua tahun lalu, langsung tiada pengamal media atau wartawan hiburan datang meminta komen daripadanya, mahupun mendapatkan maklum balas beliau mengenai isu berkenaan sehinggalah dihubungi B*Pop. Ditanya sama ada Mawi pernah membuat laporan polis mengenai gambar bogel itu bertujuan untuk siasatan serta menghentikan pengedarannya secara berleluasa, Mawi menjawab: “Saya langsung tidak terfikir hingga ke peringkat itu...” Mawi akui, tidak berminat untuk melayan isu gambar bogel itu memandangkan gambar lelaki bogel yang didakwa itu bukan dirinya meskipun ia adalah imej wajahnya.
“Hakikatnya kalau sudah gambar itu bukan saya, buat apa saya perlu melatah dan kecoh tidak tentu pasal. Gambar itu orang buat dengan letak muka saya. Biarkanlah saja mereka, kalau dilayan pun tidak akan ke mana, entah badan lelaki dari negara mana mereka ambil.., ” katanya lagi yang juga baru selesai penggambaran filem Magika juga terbitan KRU Studios. “Kkalau orang tengok betul-betul pun akan tahu itu bukan saya, entah gambar lelaki mana mereka ambil selepas itu dengan menggunakan teknik superimposed meletakkan wajah saya. Saya memang tidak terkejut langsung bahkan merasa amat geli hati melihat gambar itu,” katanya yang masih dalam ketawa kecil. Dalam perkembangan lain, selain mengembangkan kerjaya seni dengan pembabitan dalam seni lakon, Mawi juga sibuk menerbitkan program TV bersempena Aidilfitri ini menerusi syarikat miliknya, MW Entertainment. “Saya tetap tidak melupakan kerjaya seni nyanyian saya kerana akan menerbitkan album bertemakan lagu raya yang akan berada di pasaran tidak lama lagi,” katanya.

Tuesday, July 28, 2009

Eja Menanti Kehadiran Anak Pertama

Kehamilan membuka hati pelakon drama popular, Eja untuk dedahkan status sebenar dirinya
STATUS sebenar pelakon jelita, Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih mesra dengan nama komersial Eja, 37, ini sudah tidak lagi mengundang 1001 satu pertanyaan. Selepas lebih 10 tahun 'berselindung', kenyataan sebenar mengenai realiti dirinya bergelar isteri bukan lagi rahsia. Kehadiran bayi yang dikandung berusia tujuh bulan itu antara alasan kukuh kenapa Eja memilih untuk melanggar prinsip yang dipegangnya selepas 12 tahun membabitkan diri dalam dunia seni. Bagi yang mengenali Eja dengan rapat dia sebenarnya tidak pernah berselindung mengenai status dirinya.
Dalam kehidupan biasanya, dia dan suaminya, Mohd Silahuddin Jamaluddin bergelar ahli korporat berusia 40-an bebas bergerak di tempat umum. Namun dalam sisi bergelar anak seni, bekas pembuka kotak abjad program Roda Impian ini pernah tegar mempertahankan pendirian untuk tidak mencampur adukkan urusan peribadi dan kerjaya. Katanya, selama ini pun dia tidak pernah mengiyakan atau menafikan status sebenar dirinya, cuma dia lebih selesa mengalih topik itu ke arah kerjaya. Eja dijangka melahirkan anak sulungnya pada pertengahan September ini ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri. “Bukan tiba-tiba saja saya mahu mendedahkan dan berkongsi cerita sebenar mengenai status diri saya yang sudah memegang status isteri. Malah ada wartawan yang rapat dengan saya sudah sedia maklum siapa saya sebenarnya. Dalam konteks ini, saya dan wartawan saling hormat menghormati di antara satu sama lain.
“Saya tidak melihat apa yang saya sembunyikan selama ini sebagai satu jenayah yang perlu diperbetulkan. Cuma sekarang saya sudah bersedia untuk membuka cerita ini kerana mengenangkan anak yang saya kandung ini. Saya bimbang anak dalam perut ini akan menimbulkan kesangsian dan fitnah masyarakat pula. “Ini masa yang saya lihat sesuai dan tepat untuk saya merungkaikan apa saja tanggapan orang selama ini apatah lagi dengan kehadiran anugerah terindah yang saya terima ini. Selepas berbadan dua ini baru saya mula sedar bukan senang untuk menjadi ibu. Duit yang banyak pun belum tentu dapat menandingi kehebatan seorang insan bernama ibu,” katanya di awal pertemuan bersama Hip yang diaturkan di Presidental Suite, Hotel Nikko baru-baru ini.
Apa yang ingin ditegaskan pelakon itu juga ialah dia berkahwin dengan lelaki berstatus duda mempunyai dua anak. Perkahwinan itu adalah yang pertama buat Eja dan kehadiran bayi yang dikandung di dalam perutnya itu juga dianggap sebagai hadiah paling bermakna di dalam hidupnya dan suami. Ditanya kenapa perlu mengambil tempoh yang lama untuk memiliki anak sedangkan usia perkahwinannya dilihat sudah agak lama, Eja mempunyai jawapan konkrit menjawab kepada persoalan itu. Kata Eja, cuma selama ini dia belum bersedia untuk ke arah itu. “Sebelum ini memang saya terlalu kuat bekerja (berlakon). Bayangkan sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, saya pernah bekerja di kedai ais krim. Ketika umur 19 tahun pula saya pernah menjadi pramugari. Mungkin juga sepanjang tempoh berkahwin ia ibarat musim berbulan madu kepada kami. “Lagipun tekanan untuk bergelar ibu itu tidak ada memandangkan suami saya sudah memiliki dua orang anak daripada perkahwinan pertamanya. Bagi saya tanggung jawab sebagai ibu pun bukanlah mudah yang disangka. Sekarang ini saya perlu bijak membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga,” katanya yang kini berehat seketika daripada berlakon demi memberi tumpuan kepada kandungannya. Mengimbas kembali detik indah yang dikecapinya kini, semua bermula bagaikan sebuah hikmah yang berharga selepas mengikuti penggambaran drama arahan Erma Fatima berjudul Tasbih Cinta sekitar Oktober dan November tahun lalu di Tanah Suci Makkah. Malah kesempatan itu turut digunakannya melakukan umrah selama dua kali.


Menurut Eja, ketika berada di tanah suci, hatinya mula bercampur baur dengan rasa sedih, sunyi dan sepi. Bahkan rasa sebak juga mulai singgah bertamu di dalam sanubarinya. Kata Eja, kerana sudah lama hidup berdua bersama suami di samping berlakon, ironinya, Eja sampai lupa ada sisi hidup dan tanggung jawab lain yang perlu diisi. “Mungkin juga itu petunjuk dari Tuhan supaya saya terbuka hati dan bersedia untuk memilih laluan bergelar ibu pula. Sekembalinya ke tanah air, saya berbual dengan suami dan dia juga teruja dengan kesediaan saya . Lagipun kalau dilihat daripada faktor usia kami, molek benar kami untuk mempunyai anak apatah lagi kami sudah bersedia mental dan fizikal. “Akhirnya saya dan suami sepakat untuk bercuti pada penghujung tahun lalu di Los Angeles, Tahoe dan Las Vegas selama tiga minggu. Sekembalinya ke Kuala Lumpur, saya sempat berlakon sebuah tele filem, namun ketika itu saya asyik mengantuk saja dan sangkakan ini mesti penangan ‘jet lagi’. “Badan pun seram sejuk semacam saja. Selalunya balik dari luar negara, saya rindukan makanan Melayu. Tapi sebaliknya, ketika itu, terbalik pula jadinya. Saya teringin makan makanan Barat seperti spageti, lasagna dan termasuk nak makan ais krim ketika jam 3 pagi,” katanya sambil tersenyum. Rentetan daripada simptom pelik yang dialaminya itu, Eja mula berasakan ada ‘sesuatu’ dalam perutnya dan ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Keputusan yang diterima, Eja disahkan hamil empat minggu sejak Januari lalu hingga membuatkan dirinya terkejut, terpegun dan tak terkata jadinya. Selepas dimaklumkan berita gembira itu perkara pertama yang dilakukannya ialah memotong rambut hingga ke paras bahu. Malah demi memenuhi janji kepada Berita Harian, dia masih sanggup menghadiri acara Tabung NSTP Untuk Gaza awal tahun ini. Seperti ibu mengandung lain, Eja juga tidak lepas berasa mual dan muntah-muntah. Malah sejak bulan lalu, Eja juga sudah mula membuat persiapan membeli barangan bayi ketika menemani suaminya ke London atas urusan kerja. Eja sempat mengirimkan beberapa keping gambar buat tatapan peminatnya ketika membeli barangan buat bakal anaknya di butik Mamas & Papas. “Selepas bulan keempat hingga sekarang, saya diduga kerana penyakit asma dan batuk menjadi-jadi. Pembawaan anak ini biasalah. Tidur pun tak cukup dan mood pun tidak menentu. Kalau pening dan sakit pun kena tahan sebab nak makan ubat ia boleh memudaratkan keadaan bayi. Makan pun perlu dijaga dan tidak boleh sembarangan. Saya hanya memakan vitamin yang disyorkan doktor saja. “Saya sudah membuat pengimbasan tiga kali untuk melihat jantinanya. Tapi bila lihat di skrin pengimbasan, bayi dalam perut ini pemalu macam ibunya juga kerana masih menyembunyikan jantinanya. Semua ibu di dunia ini pastinya mahukan anak mereka dilahirkan dalam keadaan sempurna dan sihat. Kalau sudah tiada lagi di dunia nanti, bolehlah anak ini mendoakan kami. “Saya pun sudah mula membeli barangan bayi sedikit demi sedikit. Pantang nampak butik barangan bayi, saya mula jadi teruja dan rambang mata. Kebetulan tengah jualan murah di London, saya singgah di butik Mamas & Papas yang berasal dari Itali. Lucunya, kali ini dalam sejarah saya pulang ke Malaysia tanpa barang untuk diri sendiri,” katanya yang akan memulakan kembali baki penggambaran drama Tasbih Cinta sekitar November atau Disember ini. Buat peminat yang merindui wajah dan lakonan Eja boleh menonton drama Wadi Unung arahan Raja Ahmad Alauddin di saluran Astro Prima dijangka siarannya pada Ramadan ini. Drama yang menjalani penggambaran di Perth, Australia, Kedah dan Perlis turut dibintangi Faizal Yusof.


Thursday, July 23, 2009

Aznil&Din Beramboi RIUH SANA SINI

Impian semua yang suka dengan Aznil dan Din Beramboi adalah untuk tinggal 24 jam sehari, 7 hari seminggu bersama mereka! Ada yang nak jadikan mereka abang angkat, bapa angkat, adik angkat, saudara angkat? Sanggup bawa mereka ke mana sahaja? Sanggup tinggal dengan mereka sepanjang masa? Kalau ada, kami ingin menjemput anda semua dan kami juga akan beri anda peluang untuk memenangi wang tunai bernilai RM50,000! Bermula 13 Julai ini anda dijemput untuk mendaftar sebagai salah seorang daripada 1000 "keluarga angkat" atau peserta untuk Aznil dan Din Beramboi Riuh Sana Sini dan peluang memenangi wang tunai sehingga RM50,000!
Klik
http://www.era.fm/oap/09/carrefour/riuhsanasini/default.asp untuk mendaftar sekarang!*Aznil & Din Beramboi Riuh Sana Sini: PopERAziTak sempat nak mendaftar sebagai peserta ? Jangan risau anda masih lagi boleh memenangi wang tunai setiap hari daripada kami ! Jadilah ‘mata-mata’ kami atau ‘PopERAzi’ .PopERAzi yang berjaya menembusi talian pada segmen Riuh Pagi ERA dan berjaya menjejaki peserta berdaftar dengan nombor siri bakal membawa pulang wang tunai RM250, manakala wang tunai RM150 akan diberikan pada segmen-segmen yang lain! Wang tunai sehingga RM25,000 menanti PopERAzi di luar sana ! Apa lagi, jejaki peserta berdaftar dan klon mereka bermula 27 Julai ini ! Maklumat lanjut www.era.fm

Riuh Sana Sini! Untuk mereka yang telah dipilih melalui SMS atau panggilan telefon dari Era, sila ambil klon pada hari Sabtu 25hb jam 11pagi di Carrefour Mid Valley, Carrefour Penang Seberang Prai, Carrefour JB Jalan Pandan... hari Isnin ini Malaysia akan menjadi lebih riuh!

Jangan lupa dengar Era Radio No.1 Malaysia!









Album Pertama Juara AF7,Hafiz

Remaja kelahiran Bumi Kenyalang tampil dengan album sulung berjudul Masih Jelas dengan harga mampu dimiliki, RM21. MEMILIKI album sendiri apatah lagi yang pertama ketika industri muzik dilihat begitu tenat mungkin antara pengubat duka sesetengah artis yang masih tegar berjuang di persada seni. Penyanyi yang sudah lama menapak pun barangkali belum mempunyai tuah dan rezeki untuk menghasilkan album penuh. Berbeza situasi kini yang lebih terarah kepada penciptaan lagu single, juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Hafiz boleh tersenyum bangga kerana masih mampu memiliki album mini. Biarpun hanya menampilkan lima lagu termasuk single sulungnya, Masih Jelas, remaja berusia 19 tahun ini diberi kesempatan bermakna mengisi ruang seni.
Selebihnya adalah empat buah lagu yang dinyanyikan finalis AF7, Aril, Akim, Yazid dan Isma. Ibaratnya album ini merangkumi pakej beli satu dapat lima sekali gus. Ia kelihatan seperti promosi pembelian yang cukup efektif dipraktikkan ketika keadaan pasaran tidak menentu, agak berbaloi dan sangat menjimatkan. Album berjudul Masih Jelas ini adalah album pertama yang diterbitkan Astro Entertainment Sdn Bhd selepas penutupan operasi Maestro. Ia mula diedarkan Warner Music sejak 14 Julai lalu dengan harga mampu dimiliki RM21. Dengan jumlah lima lagu saja, album ini boleh dicalonkan untuk Anugerah Industri Muzik. Menurut penyanyi kelahiran Sarawak, biarpun album ini tidak mengandungi 10 mahupun 12 buah lagu nyanyiannya, dia melihat ini sebagai satu fasa permulaan untuk berkongsi bakat yang ada dengan peminat setianya. Kehadiran album itu seperti mimpi yang sudah menjadi kenyataan.
Malah pengalaman bekerjasama dengan komposer hebat seperti M Nasir memberi 1001 persepsi untuk dititip sebagai memori indah. Menyedari bukan senang untuk dirinya muncul dengan album, lalu buah tangan sulungnya ini tetap dihargai dan diharap dapat memeriahkan industri hiburan tempatan. "Munculnya album ini memberi penanda aras kepada kerjaya Hafiz yang masih boleh dianggap baru. Tercapai juga impian Hafiz untuk memiliki album. Secara keseluruhannya Hafiz berpuas hati dengan proses rakaman album ini yang mengambil masa tidak sampai dua bulan untuk disiapkan. "Hafiz senang sekali dapat bekerjasama dengan komposer berbakat, sifu M Nasir, Ajai dan Aidit Alfian. Hafiz harus berterima kasih kepada kolaborasi Aidit Alfian dan Ad Samat kerana mencipta lagu Masih Jelas yang menjadi titik tolak permulaan kerjaya seni. "Setakat kena tegur dengan mereka (merujuk kepada komposer yang terbabit) dalam studio itu biasalah. Tapi tidaklah sampai ke tahap kena marah. Sebagai contoh M Nasir diakui sangat tegas dan teliti dalam setiap penghasilan karyanya termasuklah lagu yang diciptanya untuk Hafiz berjudul Awan Dano," kata Hafiz yang menyifatkan lagu ciptaan M Nasir itu paling mencabar untuk dinyanyikan.
Dalam perkembangan lain, kerjaya Hafiz kini masih berjalan lancar selepas ditabalkan sebagai juara AF7 sejak 16 Mei lalu. Biarpun ada yang mengandaikan popularitinya agak suram jika mahu dibandingkan dengan naib juara, Aril dan tempat ketiga, Akim, hakikatnya jadualnya begitu padat terutama undangan membuat persembahan di Sabah dan Sarawak. "Tipulah kalau Hafiz cakap tak penat selepas bergelar artis. Tetapi Hafiz tak pernah menyesal dengan memilih kerjaya ini. Kalau nak difikirkan soal penat, nampaknya tak berjalan langsung apa yang dirancang. Apa yang Hafiz lakukan diiringi minat dan Hafiz nikmati setiap titik peluh yang jatuh itu dengan penuh kesyukuran. "Setakat ini Hafiz mahu memberi tumpuan penuh kepada bidang nyanyian. Jika ada peluang berlakon, mungkin Hafiz boleh pertimbangkan dengan alasan mencuba dan mengembangkan sisi bakat lakonan yang mungkin ada terpendam. Hafiz juga teringin nak mencipta lagu sendiri dan siapa tahu AESB mungkin dapat memberi peluang itu pada masa mendatang," katanya yang semakin susut berat badan daripada 66 kilogram menjadi 60 kilogram.

Bukan album tangkap muat

PENGARAH AESB, Zainir Aminullah yang ditemui Hip pada sidang media pelancaran album pertama Hafiz itu tidak melihat kemunculan album itu dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa dan secara tangkap muat. Bahkan, Zainir melihat perkembangan sihat ini seperti yang sering dilakukan dalam format American Idol iaitu album juaranya muncul di saat populariti masih memuncak. Hal yang sama turut dilaksanakan Hafiz dan jika album dipasarkan terlalu lambat, bimbang sambutan peminat akan mula menurun. Katanya lagi, memuatkan empat buah lagu daripada finalis AF7 dianggap sebagai kayu pengukur meraih sokongan peminat. "Daripada menghasilkan album kompilasi finalis AF yang menjadi aliran kebiasaan selepas tamatnya musim Akademi Fantasia, lebih baik pihak kami wujudkan album sulung seperti Hafiz dengan menyertakan lagu finalis AF7 yang lain. Ia mungkin lebih praktikal kerana penghasilan album kompilasi AF sebelum ini sudah kurang permintaan dan tidak berbaloi penghasilannya. "Menghasilkan album penuh juga bukan lagi cara terbaik ketika ini kerana kebanyakan artis hanya mengeluarkan single demi single. Tidak guna juga merakamkan 10 ke 12 buah lagu sedangkan yang popular boleh dikira sekitar satu hingga dua lagu. Lalu, di sini, AESB melihat lima buah lagu sudah memadai buat Hafiz dan potensi untuk lagunya diterima sangat luas. "Kalau nak diharapkan sangat kepada pulangan penjualan album semata-mata pada zaman sekarang pun belum tentu boleh dapat. Jadi dengan kos pembikinan album yang efektif, AESB cari formula yang mendapat tempat di hati peminat AF. Sedikit kelainan dan bonus diberi dengan memuatkan single finalis AF7," kata Zainir sambil memberitahu AESB sentiasa membuka peluang dan jalan untuk syarikat lain menjalinkan hubungan kerjasama dalam usaha memperkukuhkan label artis naungannya ke peringkat yang lebih baik.




INFO: Hafiz AF7
Nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip.
Ketika ini, Hafiz menangguhkan pengajiannya selama setahun dalam jurusan Pelancongan dan Hospitaliti di Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan, Sarawak. Antara alternatif masa depan yang mungkin dilakukan Hafiz jika memilih untuk meneruskan kerjayanya ialah menukar cawangan kolej pembelajarannya sekarang ke Kuala Lumpur.
Untuk album sulungnya, kod muat turun lagu tidak disertakan di atas kulit album sebaliknya promosi muat turun nada dering lagu di dalam album itu akan dilakukan menerusi promosi di kaca TV.
Turut diberi peluang mengacarakan program perjalanan kehidupannya sejak bergelar juara AF7 yang dipanggil Menuju Puncak. Program lapan episod itu sudah tamat siarannya.
Mahu mengekalkan gaya rambut kerinting yang menjadi cap dagangnya selama ini.
Menjadi peserta pertama dari Sarawak yang menjuarai pertandingan AF. Malah, Hafiz merampas kembali takhta juara lelaki selepas dua musim AF7 terdahulu dimonopoli golongan wanita, Mila dan Stacy.

Wednesday, July 22, 2009

Astro Stesen TV No.1 Malaysia

Pelbagai program saluran bahasa Melayu terus catat rating tinggi STESEN TV berbayar Astro rancak mengorak langkah berterusan memastikan hasrat menawan hati pelanggan setianya sentiasa dijaga rapi. Sebagai bukti, menerusi statistik kajian yang dilaksana AGB Nielsen Media Research, baru-baru ini memberi petunjuk terbaik bahawa sambutan baik daripada pelanggan pastinya membuatkan stesen ini tersenyum bangga. Keputusan yang disimpulkan daripada kajian terbabit mendapati lapan saluran berbahasa Melayu di Astro mula menguasai jumlah penonton di negara kita. Perolehan itu membolehkan stesen itu menguasai hampir 50 peratus daripada jumlah kediaman di Malaysia yang memilih melanggan Astro sehingga Jun lalu.
Ia juga jelas menunjukkan aliran terkini penonton saluran Melayu khususnya sudah mula menukar tabiat menonton mereka daripada satu saluran kepada pelbagai saluran yang lebih pelbagai mengikut pilihan dan keinginan masing-masing. Dikecilkan skop statistik yang diperoleh itu, kejayaan Astro disumbang kepada pecahan program drama dan realiti terbitan sendiri. Perkara ini dimaklumkan sendiri Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh pada majlis pratonton Gempak Universe di ibu negara, baru-baru ini. Majlis yang turut mengundang rakan niaga termasuk pihak pengiklan itu selain menghebahkan pencapaian Astro, ia turut dimanfaatkan dengan menghebahkan program baru bakal menemui penonton termasuk program meraikan Ramadan dan Aidilfitri.
“Kekuatan Astro masih pada program realiti. Sebagai contoh dengan kejayaan pertandingan realiti nyanyian nombor satu negara, Akademi Fantasia (AF) yang sudah bersiaran sejak tujuh musim. Sejak bermula lagi, pelanggan Astro menjadikannya pilihan utama untuk ditonton. Selain itu, kita menyajikan Raja Lawak, Jangan Lupa Lirik, Sehati Berdansa dan terbaru, Anak Wayang. “Program drama realiti Gugu Gaga Erra yang memaparkan kehidupan Erra Fazira selepas bergelar ibu turut mendapat rating tinggi biarpun tidak bersandarkan kepada program pencarian bakat. Dalam lapan saluran Melayu 24 jam yang ada, tak dinafikan Astro Ria masih mendapat rating tinggi kerana skop penontonnya lebih luas. “Bagaimanapun, setiap saluran mempunyai segmen penonton tersendiri. Jika dulu kita hanya ada saluran beberapa saluran saja, kini seiring pertambahan jumlah penonton, kepelbagaian saluran yang ada kini mampu memenuhi selera dan keinginan penonton daripada pelbagai lapisan umur,” kata Khairul. Hadir sama ialah Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Bakar dan Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani.
Mengenai slot tayangan drama, ia juga antara tarikan yang membuatkan pelanggan Astro untuk terus kekal tanpa mengalih kepada stesen TV lain. Drama Mertua VS Menantu yang disiarkan dalam slot Primawara di Astro Prima juga berjaya meraih purata 2.7 juta penonton pada setiap minggu, malah episod akhir drama musim pertama itu turut meraih bilangan penonton ramai.
Astro Oasis sediakan program Ramadan lebih awal Pencapaian itu memberi semangat kepada semua saluran Astro berbahasa Melayu untuk terus menghidangkan pilihan program dan hiburan hebat untuk penonton atau pelanggannya. Menurut Khairul Anwar, Astro sentiasa membuat kajian untuk mengisi ruang kelemahan yang ada termasuk membuka peluang kepada bintang realiti kelahiran mereka. “Bagi penggal yang akan datang, beberapa drama baru bakal disusun di saluran Melayu Astro ini. Antaranya, drama muzikal ala High School Musical dan filem Grease iaitu Kau & Aku. Pelakon yang terbabit kebanyakannya adalah bintang AF seperti Mila, Aril, Akim dan ramai lagi. Drama ini disadur daripada format sebuah drama luar negara dan mendapat kerjasama produksi Indonesia. “Drama ini sebagai bukti Astro memberi sokongan kepada graduan pelajar AF. Bahkan, ia mungkin menjawab persoalan sesetengah pihak mengenai hala tuju pelajar AF sendiri. “Memang sejak dari dulu pun kita pernah menerbitkan drama Akademi membabitkan pelajar AF. Daripada pengalaman kita belajar, malah saya akui ada perancangan dibuat menjadi dan begitulah sebaliknya,” jelas Khairul Anwar. Selain itu, ada barisan tajuk drama baru seperti Belalang, Segunung Harapan, Cinta Sempurna, Senja Hight dan siri animasi Mat Kacau. Malah, dengan memperkenalkan pakej Astro Mustika merangkumi Astro Citra, Warna dan B4U, Astro terus memandang hadapan dengan menawarkan perkhidmatan terbaik dari semasa ke semasa. Sementara itu, Izelan pada majlis sama berkata, kejayaan saluran Melayu Astro ini sebagai dasar untuk terus memastikan saluran di bawah pengurusannya iaitu Astro Oasis terus berkembang maju. Astro Oasis mencipta kejayaan apabila berjaya memenangi kategori Best Halal Related Services Provider pada Halal Journal Awards 2009. Pada Aidilfitri ini genaplah usia dua tahun penubuhan saluran Oasis. Sempena Ramadan nanti, Oasis giat memastikan kandungan program istimewa sebagai usaha menarik perhatian penonton. “Insya-Allah, Ramadan nanti diharap akan terus menjadi bulan kejuaraan buat saluran kami. Kita akan memulakan program bulan puasa beberapa minggu lebih awal iaitu sebulan sebelum Ramadan lagi. “Seperti lazimnya, kita akan adakan majlis tadarus dan bacaan al-Quran. Dalam drama Cinta Sempurna, penyanyi Yuna turut tampil sebagai cameo. Sebuah drama bersiri Arab yang cukup menginsafkan juga bakal disiarkan,” kata Izelan.

Tuesday, July 21, 2009

Siti Sarah ke Los Angeles

Cita-cita menjadi penyanyi, penghibur berjaya tak pernah pudar ANDAI dapat diputarkan kembali masa sudah berlalu, mahu saja dia memadamkan semua kontroversi yang pernah dilakar dalam kehidupan peribadinya. Didakwa sebagai antara artis bermulut celupar, sering bertukar pengurus, tidak berdisiplin, kisah putus tunang dan berselisih faham dengan bapa yang juga pengurusnya kerana beristeri baru adalah antara rentetan peristiwa yang membelenggu diri penyanyi bernama Siti Sarah Raissudin. Dan kerana peristiwa itu, namanya yang suatu ketika dulu pernah berada di puncak akhirnya tenggelam begitu saja. Kehebatan vokalnya dan kemampuannya beraksi di atas pentas dibayangi dengan cerita sensasi yang memualkan sehinggakan karier seninya yang pernah diramalkan cerah berakhir dengan kesuraman.

Begitupun, dengan mengumpulkan kekuatan dalaman, perlahan-lahan penyanyi bertubuh kecil ini kembali melangkah ke persada seni dengan semangat baru serta melupakan semua episod gelap yang terpalit dalam kerjaya seninya. Tanpa mahu menoleh ke belakang, Sarah yang pernah menggegarkan industri seni dengan lagu Kesetiaan ini berhasrat menggilap kembali namanya yang kian pudar. Malah, jauh di sudut hati dia mula merancang mengembara ke negara luar demi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang penghibur berjaya.
Hip: Apa tujuan Sarah menyertai World Championships of Performing Arts (WCPA) 2009? Adakah kerana Sarah mahu orang ingat kembali nama Sarah?
Sarah: Sebenarnya Sarah memang mahu sangat ke Amerika Syarikat terutama Los Angeles, dan alhamdulillah impian Sarah tercapai. Sarah masuk pertandingan ini kerana mahu lihat sejauh mana kemampuan Sarah dalam bidang ini. Terbukti selepas pertandingan nama Sarah termasuk dalam antara enam penyanyi terbaik dunia. Pertandingan ini banyak membuka mata Sarah mengenai realiti industri hiburan. Menerusi seminar yang Sarah dan peserta lain sertai, banyak yang kami pelajari terutama dari segi bakat dan pengurusan. Di sini, mereka memang utamakan bakat. Bagi mereka, bakat adalah perkara yang amat penting dan mereka tak kisah dari segi bentuk fizikal atau rupa paras. Bakat menurut mereka, tidak boleh dijual beli atau dibentuk dan ia adalah kurniaan semula jadi dan tak semua orang ada. Dan yang lebih penting Sarah belajar adalah soal pengurusan. Memang banyak bezanya antara pengurusan di sini dan negara kita.
Mungkin orang anggap Sarah bermulut lancang tapi memang Sarah lihat pengurusan di Malaysia ada banyak yang tak kena. Di sini, tugas pengurus mencarikan kerja untuk artis. Itulah tugas utama mereka. Tetapi di Malaysia, dialah pengurus, jurusolek dan lebih menjengkelkan membuat gosip mengenai artis jagaan mereka. Malah, ada pula yang mengarah-arahkan artis walaupun artis itu adalah majikan mereka. Mereka harus tahu artis adalah produk. Di sini, sebelum seseorang itu diterima jadi pengurus, dia akan ditanya terlebih dulu berapa banyak hasil boleh dia berikan kepada artis yang diuruskannya dalam sebulan. Memang agak kasar bunyinya tetapi itulah hakikat sebenar.
Hip:Apakah Sarah yakin boleh buat seperti ini jika kembali ke tanah air nanti?

Sarah: Tak salah kalau ingin mencuba. Sarah lihat ada beberapa pengurus di Malaysia yang mempunyai ciri-ciri yang Sarah sebutkan tadi. Mereka berpotensi dan Sarah akui berminat untuk bekerjasama dengan mereka. Contohnya Vernon Kendit (bekas pengurus Ning Baizura) dan Rohila (pengurus Anuar Zain). Mereka cukup profesional dalam menguruskan artis di bawah jagaan mereka. Sarah ada cita-cita yang ingin dicapai. Selepas menyertai pertandingan ini, Sarah berjumpa dengan ramai orang yang berminat untuk mengembangkan kerjaya seni Sarah di sini (Amerika Syarikat). Tidak mustahil satu hari nanti Sarah akan kembali ke sini dan mengotakan impian itu. Sarah tak gentar dengan cabaran kerana sebelum ini pun sudah banyak berkorban demi kerjaya nyanyian Sarah.
Hip: Sarah sendiri dilihat banyak sekali bertukar pengurus. Apa masalahnya?
Sarah: Selepas abah, Sarah tidak pernah lantik pengurus baru. Kebanyakan mereka yang mendakwa sebagai pengurus Sarah sebelum ini sebenarnya adalah pembantu peribadi saja. Mereka saja yang tak tahu membezakan tugas sebagai pengurus dan pembantu peribadi. Hip: Mengapa Sarah tidak lagi menggunakan khidmat bapa Sarah sebagai pengurus? Apakah kerana isu bapa Sarah berkahwin lain? Sarah: Sarah memutuskan untuk tidak menggunakan khidmat abah sebagai pengurus hanyalah kerana kecewa dengannya. Sarah cuma mahu menguruskan kerja sendiri. Ia juga tidak membabitkan soal peribadi antara kami berdua. Malah, abah sendiri bertanya soal sama dan Sarah sudah jelaskan perkara ini. Soal abah berkahwin lagi, Sarah tidak mahu komen perkara itu. Sarah tidak akan bercerita mengenai hal keluarga kepada umum. Apa yang orang luar perlu tahu adalah antara kami tiada konflik. Dan cerita yang mengatakan abah akan kembali menguruskan Sarah adalah tidak betul sama sekali.
Hip: Sebelum ini, Sarah dikatakan mempunyai masalah sikap tetapi Sarah sudah berikrar untuk berubah. Namun, masih ada cakap-cakap belakang mengatakan Sarah masih Sarah yang dulu.
Sarah: Setakat ini, Sarah tak ada pula mendengar cerita sedemikian. Begitu juga dengan soal disiplin seperti lambat datang sesi fotografi. Cuma, Sarah ingat pernah sekali Sarah datang lewat sesi fotografi kerana masalah trafik. Itupun Sarah sudah maklumkan kepada wartawan berkenaan lebih awal. Selain itu, Sarah rasa semuanya okey saja.
Hip: Sarah masih sendirian? Tidak berniat mahu mencari pengganti?
Sarah: Ya, buat masa ini masih sendirian. Hendak kata mahu mencari pengganti, mungkin ya kerana bagi Sarah bila kita ada seseorang di sisi, kita akan lebih bersemangat dengan apa yang kita lakukan kerana ada yang mendorong. Lagipun buat apa kita nak menipu kata tak mahu mencari pengganti bila tiba-tiba jodoh datang, nanti orang tempelak kita balik kata cakap tak serupa bikin. Namun, segala-galanya terserah pada jodoh. Kalau jodoh dengan lelaki Inggeris, Sarah terima begitu juga kalau ditakdirkan dengan lelaki Melayu, Sarah memilih.

Monday, July 20, 2009

Nabil ibarat 'Kacang Lupakan Kulit'

TINDAKAN Nabil berpaling ke stesen lain membuatkan ramai berpendapat, dia bersikap kacang lupakan kulit. Namun Nabil tidak gusar dengan persepsi itu kerana apa yang diperolehnya hari ini adalah milik Allah. Tidak pernah sesekali dia melupakan platform yang membuka ruang kepadanya untuk mengintai dunia hiburan, Nabil berkata, haluan serta destinasi seni yang ingin dituju itu adalah atas pilihannya sendiri. “Setiap apa juga keputusan yang diambil dibuat berdasarkan pertimbangan akal dan perbincangan bersama. Saya tidak tergesa-gesa malah setiap apa juga kontrak, saya rujuk mereka yang pakar dalam bidang perundangan. “Alhamdulillah, keikhlasan saya dihormati dan saya tidak pernah menghadapi masalah dengan mana-mana stesen televisyen. “Setiap stesen memikirkan soal bisnes dan keuntungan, justeru saya juga harus meletakkan diri ini dalam perspektif yang sama. Setiap apa juga keputusan, biar kedua-dua belah pihak meraih manfaatnya. “Dalam hal ini, saya sudah nampak peluang besar menanti jadi mengapa harus saya melepaskannya? Saya yakin pilihan yang dibuat ini tepat dan perlu berani mengharungi segala cabaran kerana ia adalah pendirian saya,” katanya. Bergelar penghibur kata Nabil, bukan setakat berfikir untuk mempertahankan populariti dan masa depan sebaliknya harus bijak merencana peluang dengan kekuatan nama yang dimiliki. “Untuk apa kita memiliki semua - kejayaan, populariti tetapi tiada wang. Ia tidak lengkap. Saya tidak terlalu mengejar populariti sebaliknya saya mahu mengumpul wang menerusi bakat serta populariti yang ada,” katanya.

Shout Award Berat Sebelah,Utamakan Produk Media Prima

RUMAH siap pahat masih berbunyi. Biarpun cuba untuk memuaskan hati semua pihak, Shout! Awards 2009 tidak terlepas daripada kritikan. Malah keikhlasan untuk membawa industri hiburan ke satu tahap baru juga dipertikai apabila kemenangan lebih berpihak kepada produksi di bawah Media Prima Berhad. Pertikaian itu muncul lantaran sebahagian pihak yang masih kabur dengan matlamat sebenar Shout! Awards 2009 iaitu memberi pengiktirafan kepada individu atau produk yang membawa sesuatu yang segar dan progresif untuk industri. Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar ketika ditanya mengenainya berkata, mereka berbangga kerana berjaya mencetuskan sesuatu yang baru serta mencerminkan arah perjalanan yang akan dituju industri hiburan Malaysia. Katanya, 8TV berperanan untuk berkongsi aliran itu dengan khalayaknya dan matlamat mereka diterjemahkan menerusi undian penonton yang ternyata berpihak kepada produksi di bawah terbitan stesen berkenaan. “Sebolehnya kami berharap lebih banyak penyertaan diterima daripada stesen televisyen lain, namun ia tidak menjadi kenyataan pada acara pertama ini. “Bagaimanapun, kami percaya objektif asal ini difahami penonton yang ternyata mencari sesuatu yang berbeza dan memenuhi cita rasa serta kehendak mereka. Semua itu mereka temui menerusi produk 8TV,” katanya. Turut diperdebatkan rasional pemilihan Bunkface untuk menjulang pengiktirafan khas, Anugerah Kemuncak Shout! Award. Hakikatnya, kumpulan lain seperti Hujan atau Estranged terlebih dulu melakar nama malah mencetus sesuatu yang baru kepada industri muzik yang mereka bawakan. Menjawabnya, Izham berkata, kriteria pemenang anugerah khas ditentukan hasil perbincangan bersama panel penilai yang melihat Bunkface memenuhi ciri untuk diangkat sebagai penerima pertama trofi itu. Biarpun baru, Bunkface berjaya mencipta pengaruh yang besar kepada pencinta hiburan dan pemilihan itu selaras dengan usaha Shout! Awards untuk mengangkat karya progresif supaya dihargai khalayak. “Peranan Shout! Awards adalah untuk membuka ruang kepada bakat yang berpotensi untuk melonjak ke tahap baru dan pengiktirafan kepada Bunkface akan membawa mereka ke peringkat lebih tinggi. “Potensi Bunkface menyerlah apabila mereka meraih kemenangan dalam dua kategori dipertandingkan. Mungkin kerana itu panel penilai melihat mereka layak untuk menerima anugerah itu,” katanya. Shout! Awards 2009 lebih segar, bertenaga TIDAK seperti acara anugerah lain yang mengutamakan nama bintang yang mempunyai tarikan komersial, Shout! Awards 2009 cuba keluar daripada kepompong itu dengan membentangkan sesuatu yang segar dan bertenaga. Shout! Awards 2009 juga menongkah arus kebiasaan apabila bakat berpotensi yang selama ini kurang diberi perhatian oleh pencinta hiburan yang disogokkan dengan nama komersial. Andai diberi masa, Shout! Awards berupaya mencipta pengaruhnya yang tersendiri dengan mengetengahkan produksi berteraskan ciri serta warna Malaysia yang sebenar menerusi muzik, filem, drama dan produksi televisyen. Barangkali untuk tahun pertama penganjurannya matlamat itu belum difahami dengan jelas namun Shout! Awards 2009 berjaya membawa dimensi baru kepada industri hiburan tempatan. Cermin aliran industri hiburan yang pelbagai diterjemahkan menerusi penampilan nama seperti Pop Shuvit, Jin Hackman, Caprice, One Buck Short, Shila, Nikki, Komplot, Pesawat, Estranged dan Joe Flizzow yang memberikan persembahan bertenaga pada malam itu. Kolaborasi antara penyanyi yang selama ini hanya dilihat di pentas kecil dan tertutup seperti Paolo Delfino, Mia Palencia dan Reza Salleh memperlihatkan kepelbagaian dimensi dalam industri hiburan Malaysia yang selama ini tidak dibuka luas. Shout! Awards 2009 turut menyaksikan kehadiran penyanyi remaja kelahiran Miami yang dibesarkan di Jamaica, Sean Kingston membawakan tiga lagu termasuk lagu popularnya, Beautiful Girls dan single terbaru, Fire Burning.

Siti Nurhaliza,Aizat&Ayu menang di Jakarta

Datuk Siti Nurhaliza, Aizat dan Ayu Damit melakar sejarah pada Anugerah Planet Muzik 2009 DI sebalik insiden pengeboman yang melanda dua hotel mewah di Jakarta Jumaat lalu, sehari sebelum berlangsungnya Anugerah Planet Muzik (APM) 2009, sedikit sebanyak kegusaran mula terbit di hati kita mengenang kemungkinan yang bakal menimpa rombongan artis dan media yang membuat liputan. Begitu juga dengan kebimbangan terhadap virus H1N1 yang menular di beberapa negara. Bagaimanapun Sabtu lalu, majlis APM 2009, yang berlangsung buat pertama kali di negara terbabit memberikan rahmat tersendiri sekali gus membawa khabar gembira terutama kepada negara tercinta kita.
Penyanyi kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza terus unggul dan sukar digugat apabila terus kuat mempertahankan trofi kategori Artis Wanita Paling Popular memasuki tahun kesembilan seiring dengan usia penganjuran anugerah serumpun menggabungkan tiga buah negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura. Malah, Siti bukan saja berjaya menawan hati peminatnya di Malaysia, bahkan kategori yang pertama kali diwujudkan, Artis Serantau Paling Popular mengtnepikan calon hebat tiga negara iaitu Agnes Monica, Aliff Aziz, Faizal Tahir, Nidji, Hujan, Meet Uncle Hussain, Hardy Mirza dan Taufik Batishah, sekali gus membuktikan hayat Siti dalam dunia seni masih relevan. Kemunculan bakat baru tempatan sedia ada juga masih gagal mengganggu gugat takhta penyanyi yang baru saja membuat konsert Eksklusif Satu di Istana Budaya Jun lalu. Status dirinya sebagai isteri seorang usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dan gosip yang sering menjadi mainan percaturan hidupnya, tidak sesekali membantutkan perjuangannya.

Kejayaan berganda yang digenggamnya pada anugerah itu ditafsirkan sebagai hadiah yang tidak ternilai. Ia juga sebagai penanda aras buat penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu untuk terus berazam memberikan yang terbaik pada masa mendatang termasuk menghasilkan karya yang lebih bermutu. “Siti bersyukur dan tidak menyangka masih lagi menerima sokongan peminat yang sudi dan tidak jemu mengundi. Kejayaan ini amat manis buat Siti kerana ia diterjemahkan sebagai semangat peminat yang menjadi faktor kekuatan untuk Siti terus melayari paksi seni ini,” kata Siti menerusi SMS yang dikirimkan telefon bimbit milik kakak iparnya, Rozi Abd Razak. Laluan penyanyi lagu Cindai ini menempa nama di Malaysia, Indonesia, Singapura dan juga Brunei dilihat sebagai bukti bakat tempatan sepertinya wajar diberi perhatian. Di saat, tanah air berdepan kemelut kononnya artis luar negara dengan sewenang-wenangnya meraih perhatian dan sokongan di negara kita, Siti tidak betah duduk diam dan berusaha memantapkan trek profil kerjayanya. Rezeki juga kuat menyebelahi nasibnya. Bagaimanapun, Siti melihat setiap artis yang menceburi bidang seni mempunyai sumbangan masing-masing.
Katanya, tidak kira sama ada anugerah itu bersifat popular atau yang mementingkan kualiti menerusi pembabitan juri profesional, setiap penghargaan yang diterima itu mempunyai alasan konkrit dan tersendiri. “Selain menerima sokongan di Malaysia, Siti cukup terharu kerana turut diterima di negara orang. Alhamdulillah, apa yang Siti boleh simpulkan menerusi bakat dan muzik yang diperjuangkan ini, ia mampu menyatukan Siti dengan peminat biarpun berlainan negara. Ia juga menandakan jalur muzik tidak pernah ada garis sempadan. “Sejak setahun selepas Siti bergelar artis (1997), Siti diberi kesempatan berharga menjelajah ke semua negara ini untuk mempromosikan album termasuk membuat konsert. Alhamdulillah usaha ini diterima tanpa rasa prejudis. Bagi Siti, persaingan tetap akan ada seiring dengan peredaran waktu. Namun, ia bukan titik noktah buat Siti terus berhenti berjuang,” katanya lagi yang ketika SMS ini dikirimkan sedang bersama suami dan kakak iparnya di lapangan terbang Jakarta menanti waktu untuk kembali ke tanah air. Peluang lebarkan sayap ke Indonesia PADA masa yang sama, APM 2009 juga melihat kebangkitan dua generasi pelapis tempatan, Aizat dan Ayu Damit. Dua profil muda dan berbakat besar ini masing-masing mencipta nama selepas menyertai pertandingan realiti nyanyian. Aizat mula menampakkan sisi kematangan muziknya selepas menyertai Akademi Fantasia musim kelima. Manakala Ayu pula mula melakar nama selepas bergelar juara One In A Million (OIAM) musim kedua. Kehadiran mereka sedikit sebanyak mengisi ruang kosong persekitaran seni yang selalu dahagakan dan ketandusan bakat sebegini rupa yang mampu mencipta fenomena. Aizat dan Ayu membanggakan negara apabila masing-masing memenangi kategori Vokal Terbaik Dalam Lagu bagi kategori Lelaki dan Wanita. Kategori Lagu Paling Popular Malaysia yang dimuat turun turut menyebelahi Aizat apabila lagu berhantu dendangannya, Hanya Kau Yang Mampu menjadi pilihan. Bagi Aizat, 2009 nampaknya menjadi tahun bermakna buatnya apabila mula meraih kejayaan beberapa pertandingan seperti Anugerah Industri Muzik 16 dan Festival Muzik Pop Antarabangsa - Discovery 2009. Semestinya, APM 2009 terus menjadi nadi semangat untuknya terus mencipta jaya. “Alhamdulillah, Aizat bersyukur kerja keras selama ini mula dipandang orang. Ia dilihat berbaloi apabila sudah ada pihak yang menyedari bakat yang ingin dikongsi Aizat. Aizat sendiri tidak menyangka dan terkejut apabila diumumkan untuk kategori Vokal Lelaki Terbaik itu. Aizat hanya mampu memanjat rasa kesyukuran kepada Tuhan dengan kejayaan terbaru ini. “Tak lupa juga kepada keluarga dan peminat yang sentiasa menjadi tulang belakang di sebalik perjuangan ini. Aizat juga melihat kejayaan ini sebagai landasan dan peluang terbaik untuk melebarkan sayap di Indonesia. Paling penting, Aizat bangga mengharumkan nama Malaysia sekali lagi,” katanya ketika dihubungi Hip semalam. Turut berkongsi perasaan yang indah ialah Ayu yang turut dihubungi Hip bagi bertanyakan lanjut mengenai kejayaan sulungnya itu selepas bergelar artis. Pernah berasa rendah diri dan terasing di bumi sendiri kerana pakej wajahnya tidak seiring dengan bakat yang ada, Ayu kini mampu tersenyum apabila sudah mula membuka mata ramai pihak terhadap transisi bakat yang mula ditunjukkan. “Ayu gembira sangat kerana dapat buktikan kepada sesetengah pihak yang masih meragui dan tidak mempercayai bakat yang ada. Sudah tertulis rezeki Ayu menang dan juri profesional yang menentukannya. Kehadiran Ayu buat pertama kali ke Indonesia bersempena APM 2009 juga menjadi satu momen berharga apabila kejayaan ini seiring dengan peningkatan usia Ayu pada 12 Julai lalu. Kiranya anugerah ini sebagai hadiah istimewa buat hari lahir Ayu yang ke-20,” katanya yang juga tidak menolak peluang jika dapat mempromosikan diri ke Indonesia. APM 2009 dihoskan Aznil Nawawi, Nirina Zubir dan Aura Shai dan diadakan di Pusat Konvesyen Jakarta, Sendayan. Ia disiarkan secara langsung di Global TV, Indonesia, Astro Ria dan Mediacorp (Singapura). Stacy, Faizal Tahir, Aizat, kumpulan Hujan juga turut diberi peluang membuat persembahan pada malam itu. APM tahun lalu menyaksikan kebangkitan Faizal Tahir membawa pulang kategori Artis Lelaki Paling Popular dan Artis Baru Lelaki Terbaik. Bagaimanapun tahun ini, penyanyi yang pernah dihalang menaiki penerbangan berlepas ke Jakarta bersempena APM 2009 itu gara-gara tidak membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional tidak memenangi mana-mana kategori yang mencalonkan namanya.



Tuesday, July 14, 2009

Pengacara 8TV di Kelab Gay


Pengacara dari Media Prima ini mengacarakan sebuah rancangan di 8TV ditemui di sebuah kelab gay berdekatan ibu kota..

Thursday, July 9, 2009

Diana Danielle Duet Bersama Andra&The Backbone

HASRAT pelakon Diana Danielle untuk melebarkan impian bergelar penyanyi nampaknya sudah menampakkan perkembangan positif. Sekalipun masih ada pihak yang bagaikan meragui keupayaan gadis berusia 17 tahun itu untuk mengalunkan lagu, ia tidak sesekali menjadi batu penghalang buat anak kesayangan Norsiah Ramli itu untuk memegang mikrofon. Hip difahamkan satu perbincangan sudah dilakukan ibu tersayangnya menerusi syarikat NRDanielle Consultant dengan pihak pengurusan kanan syarikat rakaman Metadome. Kata sepakat sudah diperoleh apabila Diana secara rasminya sudah bernaung di bawah syarikat itu sejak Jun lalu.
Kontrak selama setahun itu dipersetujui kedua-dua belah pihak dan sepanjang tempoh itu Diana akan tampil dengan tiga buah single saja dan dalam perbincangan tiada album penuh yang akan dihasilkan. Ia disokong dengan graf pasaran muzik sekarang apabila kecenderungan menghasilkan lagu single lebih banyak berbanding pembikinan album penuh. Metadome hanya akan mengendalikan urusan nyanyian Diana saja dan soal lakonan dan komersial masih di bawah tanggungjawab NRDanielle Consultant. Sebagai permulaan rangka strategi Metadome, Diana diberi peluang bermakna untuk berduet dengan band rock dari Indonesia, Andra & The Backbone menerusi lagu lama mereka berjudul Tak Ada Yang Bisa yang diberi nafas baru. “Proses rakaman lagu itu dibuat ketika berkunjung ke Jakarta pada awal Jun lalu. Ia dinyanyikan dalam versi remix dan dirakamkan di Legend Studio, Pantai Indah, Jakarta yang dimiliki vokalis Dewa, Ahmad Dhani. Saya dapat tahu projek ini sebagai langkah untuk menembusi pasaran Indonesia.


“Ketika ini saya dapat tahu, lagu itu masih dalam proses suntingan dan saya tidak sabar menanti hasilnya. Jika tiada masalah, saya tidak perlu lagi ke sana untuk merakamkannya kembali. Sebelum bersetuju untuk berkolaborasi dengan Andra & The Backbone, Metadome ada memberi pilihan artis Indonesia yang lain seperti Afgan dan Once Dewa. “Akhirnya Andra & The Backbone yang menjadi pilihan. Saya antara penggemar lagu Sempurna nyanyian kumpulan itu. Harapnya lagu kami ini juga akan memberi tuah dan siulan sebagaimana yang diperoleh menerusi impak lagu Sempurna. Menariknya, promosi lagu ini akan di buat di Malaysia dan Indonesia di samping memberi perhatian terhadap kaedah muat turun,” katanya yang ditemui Hip pada malam penghargaan Rafflesia kepada pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 hujung Jun lalu. Mengalih sisi cerita kepada soal peribadi, mungkin masih ada yang bagaikan tidak percaya bahawa sebenarnya pelakon drama Air Mata Maria itu kononnya sedang bahagia menjalinkan hubungan dengan aktor kacak, Farid Kamil. Siapa sangka di sebalik perpisahan Diana dengan pengarah dan pelakon muda, Syamsul Yusof, rupa-rupanya dia seperti gadis lain yang ingin terus disayangi dan dicintai. Kalau mahu didasari hati kecil Diana, dia seboleh-bolehnya tidak mahu terus larut membicarakan kisah itu yang mula diperkatakan sejak kebelakangan ini. Bimbang juga apa yang pernah terjadi sebelum ini kembali menghantui dan terus membelenggu hidupnya kini.


Lalu, jalan paling mudah, dia hanya berserah dan enggan menjadikan soal cinta sebagai topik utama. Apatah lagi mulai 9 Julai ini, Diana akan melanjutkan pengajian di Universiti Nottingham cawangan Malaysia di Semenyih dalam jurusan biosains “Saya rasa masih terlalu awal untuk bercakap soal ini. Saya tak nak cakap lebih-lebih takut apa yang dirancang tak menjadi. Harap peminat dan orang di luar sana akan mendoakan yang terbaik untuk ‘persahabatan’ kami ini. “Mengenali Farid, dia seorang yang sangat ‘cool’ dan selamba. Apa yang boleh saya katakan, kami mula kenal dengan lebih rapat sejak tahun ini. Sebelum ini pun kami pernah berlaku dalam filem Evolusi KL Drift,” kata Diana yang sedang menanti tayangan filem Kecoh Betul dan Magika

Album Saiful Apek&Famili Eksklusif di Era Muzik Terkini

Rancang pembikinan Saiful Apek & Famili lapan tahun lalu akhirnya jadi kenyataan BIDANG nyanyian bukan satu perkara baru dalam kerjaya seni Saiful Apek yang pernah menyandang gelaran Bintang Paling Popular Berita Harian 2003. Malah kalau ada yang masih ingat ketika pelakon dan pelawak itu menganggotai kumpulan Senario, Saiful Apek sudah mula menyanyi. Lalu tidak hairanlah jika pemenang kategori Artis Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian selama enam tahun berturut-turut itu muncul dengan album solo sejak 7 Julai lalu.
Menariknya album yang diberi nama Saiful Apek & Famili itu sudah lapan tahun dirancang pembikinannya, namun baru tahun ini ia dikeluarkan. Menurut bapa kepada dua anak itu, album yang memuatkan enam buah lagu itu dilahirkan bukan sekadar tangkap muat atau bersifat syok sendiri. Sebaliknya, ia terhasil sebagai bukti untuk dinikmati pengikut dan peminat setianya. Malahan, katanya lagi, album ini muncul bersesuaian dengan kepesatan teknologi digital berbanding pembelian album fizikal. “Saya muncul dengan album ini bukan semata-mata nak buat duit dan menjadi kaya. Kehadiran album ini ibarat sebuah sisi awal perjalanan yang akhirnya bertemu penghujungnya. Dengan keadaan pasaran sekarang, artis dan syarikat rakaman memang tidak boleh terlalu bergantung harap pada jualan album fizikal semata-mata.
UPACARA memotong kek turut dilakukan sebagai simbolik kepada pelancaran album yang diadakan Selasa lalu.
“Sebaliknya fokus kini diberi kepada pasaran muat turun lagu yang saya rasa lebih menguntungkan, terkawal dan terjamin. Untuk permulaan album ini hanya dicetak sebanyak 2,000 keping saja. Secara keseluruhannya saya cukup berpuas hati dengan hasil album ini biarpun penantian untuk sampai ke tahap ini seperti satu penyiksaan. “Mengenai pemilihan enam buah lagu saja dan kenapa tidak dilengkapkan menjadi 10 buah lagu, saya mempunyai alasan kukuh berbuat demikian. Saya letakkan diri saya sebagai pembeli atau pengguna dan sekalipun diletakkan banyak lagu namun tidak diingati tiada gunanya juga. Lalu enam lagu pun sudah memadai,” katanya sewaktu ditemui Hip pada sidang media pelancaran album terbabit di Borneo Barok Club baru-baru ini. Kebanyakan lagu dalam album yang menelan belanja hampir RM30,000 itu sudah pernah diperkenalkan Saiful Apek menerusi program atau drama yang membabitkan dirinya. Katanya, dia sendiri tidak berani mengambil risiko mempertaruhkan lagu baru yang belum pasti mampu menambat hati peminat.
“Sebagai contoh single pertama Hua Hua Hua pernah dinyanyikan dalam program yang menggunakan judul yang sama di Astro Prima. Lagu yang dimuat itu sebenarnya sudah mempunyai susulan dan tarikan pengikut yang tersendiri. Kiranya album ini mempunyai menu merujuk kepada lagu yang sudah dipilih peminat,” katanya. Ditanya mengenai apakah langkah menghasilkan album ini sebagai strategi untuk kembali meraih populariti yang kononnya dikatakan semakin merudum, bagaimanapun dia yang sudah 15 tahun menerjah persada seni menyangkal dakwaan terbabit. “Saya sudah mencuba pelbagai bidang menjadi pelawak, pelakon, pengacara, penerbit dan pengarah. Lalu, tidak salah saya terus mempelbagaikan keupayaan yang ada untuk disajikan kepada penyokong saya selama ini. Saya berbangga dapat terus bertahan hingga ke tahap sekarang. “Saya pernah berada di atas dan saya naik pun bukan secara mendadak. Mungkin juga itu antara resipi saya mengekalkan hayat di arena seni. Sewaktu saya menang Anugerah Bintang Popular Berita Harian pun, saya berasakan perjalanan saya masih jauh. “Tapi saya bangga istilah pelawak itu akhirnya dipandang orang dan ia membuka lembaran baru kepada kehadiran pelawak generasi baru. Jika dulu pelawak hanya di barisan belakang, tetapi kini pelawak juga mempunyai nilai dan status yang boleh dibanggakan,” kata pemilik nama sebenar Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff itu. Mengenai perkembangan bidang lakonan, kata Saiful Apek yang baru saja selesai penggambaran filem 4 Madu di bawah arahan Prof Madya A Razak Mohaideen, dia kini tidak sabar menunggu filem pertama di bawah arahannya Shh... Dia Datang. Malah, dia turut berlakon di dalam filem terbitan Noradz Productions itu. “Sepatutnya filem itu sudah pun ditayangkan sejak Mac atau Jun lalu. Namun atas beberapa masalah, ia besar kemungkinan akan ditayangkan pada hujung tahun ini. Saya sendiri memang sudah ternanti-nanti untuk melihat hasil dan maklum balas kaki wayang. “Apa yang saya dapat katakan filem ini cukup menarik dan penonton yang bakal menontonnya akan keluar panggung dengan 1001 pertanyaan sama ada akan ada kesinambungan atau tak. Insya-Allah, filem ini akan ada sekuelnya. Malah, filem ini turut menampilkan pelakon dan otai lama daripada sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu seperti Imuda, Zami Ismail dan Ahmad Busu,” katanya yang turut menanti tayangan filem Kecoh Betul. Pada majlis pelancaran album yang turut mendapat kerjasama Indigital Music & Management, Gitu-Gitu Production dan Noradz Productions Sdn Bhd, ia dimeriahkan dan dilancarkan ‘orang kuat’ Noradz Productions sendiri iaitu Datuk Adzhar Sulaiman. Serentak dengan itu, portal interaktif saifulapek.com.my juga dilancarkan.
INFO: Album Saiful Apek & Famili
Diterbitkan beberapa orang komposer terkenal seperti Azmeer, Dali Ahli Fiqir dan Aj Pop Shuvit.
Menggabungkan rakan penyanyi yang cukup rapat dengan Saiful Apek seperti Yassin, Bob Kuman, CD Naz, D’Adza, Along Raja Lawak, Angah Raja Lawak, Mie Raja Lawak dan penyanyi baru, Diarra.
INFO: Saiful Apek
Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 39, berkahwin dengan Roslina Abu Hassan, 39, kira-kira 15 tahun yang lalu.
Dia menyertai Sinaran Pasport Kegemilangan seminggu selepas melangsungkan perkahwinan.
Walaupun seorang pelawak, namun Apek sebenarnya seorang yang serius dan tidak pandai bergaul. Dia mula belajar berkomunikasi selepas terbabit dalam dunia seni.
Dua puteranya Mohd Riyadh Aslam dan Mohd Radzin Aiman sudah mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan. Antara drama dan filem yang pernah dibintangi mereka seperti Al-Kisah, Cicakman, Lady Boss, Shh... Dia Datang.
Apek menyatakan dia akan terbabit dengan latihan untuk pementasan teater Cicakman The Musical yang dijangka Disember depan manakala dia juga akan kembali ke lokasi penggambaran sekuel Cicakman 3 yang akan bermula awal tahun depan.




Khairul Pilihan Elyana-Bertunang 11 Julai

Penyanyi, pelakon berbakat bertunang Sabtu ini dalam majlis ringkas di sebuah restoran di Bangsar
MEMILIH jalan bahagia di antara persimpangan memuaskan hati sendiri dan orang lain, mungkin antara keputusan yang sukar perlu dibuat penyanyi dan pelakon, Elyana, 22. Bagaimanapun, pemilik bernama penuh, Erneelya Elyana Emrizal sedar kematangan dan keyakinan diri melebihi usia sebenarnya sudah mampu menjadi titik tolak kepada apa yang ingin dilakukan pada hari mendatang.
Apa yang dimaksudkan Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002 itu ialah merujuk kepada fasa kehidupan yang sedang dilaluinya. Mengenali hati budi sudah dan bercinta pun sudah, kini tiba waktunya untuk dia bergelar tunangan kepada Khairul Anuar Hussin, 34.
Ketika ini dia begitu berdebar-debar menanti detik majlis pertunangan yang dirancang pada 11 Julai ini di restoran Jeumpa D’Ramo, Jalan Maarof, Bangsar. Namun, kalau mengikut perancangan awal, mahu saja majlis itu diadakan bersempena tarikh hari lahirnya, 5 Julai lalu dan semestinya gelaran tunang itu sudah dipegangnya. Perancangan itu tidak dapat dilaksanakan kerana pada tarikh terbabit ibunya sedang mengikuti kursus haji. “Perasaan saya kini bercampur baur, takut pun ada. Sedar atau tidak, saya akan melalui alam baru dalam kehidupan. Harapnya majlis itu nanti akan berjalan lancar dan seadanya. Inilah kemuncak pertama dalam tingkat hubungan kami. Saya sememangnya sudah bersedia ke arah ini dan inilah yang saya tunggu selama ini.
“Apa yang saya harapkan sekian lama akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Orang selalu cakap dugaan masa bertunang ini memang maha hebat. Bagi saya, setiap langkah kehidupan kita sering diuji dan tak lepas diduga. Saya sudah bersedia untuk menghadapinya,” kata Elyana. Menurut penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu itu, majlis pertunangan dibuat seringkas mungkin dan hanya dihadiri keluarga terdekat dan kawan. Katanya yang bakal melaram busana rekaan pereka fesyen kegemaran, Zery Zamry, majlis itu masih mengekalkan kemanisan tradisi orang Melayu dan diadun dengan gaya kontemporari yang menyerlah sisi kematangan dirinya. “Konsep saya serahkan bulat-bulat kepada pakar majlis perkahwinan, Datin Lynda Rahim. Malah, dia turut sudi menaja majlis saya pada hari itu. Saya turut mencetuskan sedikit idea kepadanya dan kami gabung jalinkan untuk kebaikan bersama. Kalau nak tahu lebih lanjut, kenalah datang majlis saya.
“Saya hanya dapat katakan majlis itu nanti sedikit berbeza daripada majlis pertunangan yang lazim dilakukan sebelum ini. Begitu juga dengan busana yang bakal saya gayakan nanti. Pemilihan Zery Zamri juga dibuat kerana kerjasama kami yang terjalin sekian lama. Zery tahu apa cita rasa saya,” katanya yang akan disolek jurusolek artis popular, Saidatulnisa. Belum menetapkan berapa lama tempoh pertunangan bakal berjalan, pelakon drama Renjis itu turut melahirkan rasa gembira kerana kata sepakat yang dicapai ini bukan hanya datang daripada dirinya saja, sebalik Khairul turut menunjukkan kesungguhan dan setia menyokong dari belakang. “Perkenalan dan percintaan kami selama tiga tahun lebih mungkin banyak membantu kami untuk seia sekata. Keserasian itu terbit tanpa perlu dipaksa atau dibuat-buat. Malah, kami berdua memang bersungguh-sungguh dan berusaha untuk ke arah yang lebih baik (perkahwinan). “Dia (Khairul) pun tak lepas tangan, malah banyak membantu pihak keluarga saya melunaskan kerja dan persiapan majlis ini. Harapnya peminat saya akan mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan kami. Saya juga yakin peminat juga sudah mulai bijak untuk menilai di antara bakat dan status diri,” katanya tulus. Ditanya mengenai impian dan konsep perkahwinan yang diingini, Elyana belum mempunyai jawapan pasti kerana hal itu masih terlalu jauh untuk difikirkan. “Kalau dulu zaman remaja, macam-macam konsep dan gaya perkahwinan yang saya idamkan. Namun, seiring dengan peningkatan usia, cita rasa itu lama kelamaan berubah. Pernah dulu saya teringin memakai gaun pengantin gothic, tapi mungkin gaya itu sudah tidak sesuai dengan saya yang semakin hari semakin matang,” katanya yang banyak dibantu rakan baiknya, Hairie hingga dilantik sebagai ketua majlis hari pertunangannya. Sementara itu, ibu Elyana, Shamsidar Alias sedar apa yang bakal dilalui anaknya itu seiring dengan matlamat hidup yang ingin dicapainya. “Saya percaya setiap hubungan percintaan mana-mana insan di muka bumi ini pastinya diharap berakhir dengan ikatan perkahwinan dan kekal bahagia selama-lamanya. Begitu juga dengan Nana (panggilan kepada Elyana). Ini semua adalah keputusan Nana dan kami sekeluarga menghormati serta merestuinya. “Biarpun saya tahu dan sedar, ramai yang beranggapan Nana masih terlalu muda untuk melalui ini semua. Sudah nama pun jodoh dan inilah kuasa Tuhan yang tak mampu kita halangi lagi. Saya tidak boleh berkata apa lagi, melainkan mendoakan kebahagiaan dan jodoh mereka terus berkekalan,” kata Shamsidar. Mengenai bakal tunang anaknya, Shamsidar berharap Khairul akan dapat menjaga Nana sebaik mungkin ketika melalui alam pertunangan. “Setakat ini, saya nampak dia (Khairul) sangat baik terhadap Nana. Dia pun sayang kami sekeluarga. Nampak keikhlasan dan tanggungjawabnya untuk menjaga Nana. Semoga ikatan pertunangan ini akan berakhir dengan baik. Insya-Allah,” kata Shamsidar

Tuesday, July 7, 2009

40 Minit Muzik Terkini di Era Radio No.1 Malaysia


Radio No.1 Malaysia,Era Muzik Terkini tidak meniru mana-mana program daripada stesen radio lain..

Salah seorang DJ Radio Suria FM mengatakan "Suria fm 50 minit Muzik Terbaik Tanpa Henti Takmo tiru-tiru,kita nak yang original je"..DJ itu bertugas pada waktu 5 petang..


Perlu diingatkan bahawa Program Baru Era adalah '4O MINIT MUZIK TERKINI TANPA IKLAN'..Ianya sangat berlainan dengan program di Suria fm..

Suria fm memainkan 50 minit(dahulunya 40 minit) muzik lama dan baru sedangkan Era FM memainkan 4o minit MUZIK TERKINI..ianya adalah berlainan..


Sewaktu ketika dahulu Hot Fm meniru 100% programnya dari Radio Era di mana hampir kesemua Radio meniru Program Pagi Di Era 6-10 pagi..

Hot fm memperkenalkan FF&FBI sbg AM Krew 6-10 pagi..manakala Suria fm memperkenalkan Tuah&Zizi Breakfast@Suria 6-10 pagi..


Suria fm kini melakukan kelainan dgn programnya apabila mendakwa kononnya ditiru oleh radio lain..Kini,Suria fm memainkan 50 minit muzik terbaik tanpa henti..

Origanaliti Era fm ditiru oleh Hot fm..
Orang tiru sikit pun nak kecoh..
Budak amik exam kat sekolah pun tiru..
Kalau tiru banyak barulah PENIPU..
ERA RADIO NO.1 MALAYSIA!!

Siti Kagumi MJ


Ketika dihubungi Era,Siti memberitahu bahawa bahawa beliau merasai kehilangan Raja Pop Dunia itu..


Kata Siti,beliau sangat meminati MJ sejak dari kecil lagi..

Beliau juga mengagumi persembahan dan tarian MJ..