Monday, July 20, 2009

Shout Award Berat Sebelah,Utamakan Produk Media Prima

RUMAH siap pahat masih berbunyi. Biarpun cuba untuk memuaskan hati semua pihak, Shout! Awards 2009 tidak terlepas daripada kritikan. Malah keikhlasan untuk membawa industri hiburan ke satu tahap baru juga dipertikai apabila kemenangan lebih berpihak kepada produksi di bawah Media Prima Berhad. Pertikaian itu muncul lantaran sebahagian pihak yang masih kabur dengan matlamat sebenar Shout! Awards 2009 iaitu memberi pengiktirafan kepada individu atau produk yang membawa sesuatu yang segar dan progresif untuk industri. Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar ketika ditanya mengenainya berkata, mereka berbangga kerana berjaya mencetuskan sesuatu yang baru serta mencerminkan arah perjalanan yang akan dituju industri hiburan Malaysia. Katanya, 8TV berperanan untuk berkongsi aliran itu dengan khalayaknya dan matlamat mereka diterjemahkan menerusi undian penonton yang ternyata berpihak kepada produksi di bawah terbitan stesen berkenaan. “Sebolehnya kami berharap lebih banyak penyertaan diterima daripada stesen televisyen lain, namun ia tidak menjadi kenyataan pada acara pertama ini. “Bagaimanapun, kami percaya objektif asal ini difahami penonton yang ternyata mencari sesuatu yang berbeza dan memenuhi cita rasa serta kehendak mereka. Semua itu mereka temui menerusi produk 8TV,” katanya. Turut diperdebatkan rasional pemilihan Bunkface untuk menjulang pengiktirafan khas, Anugerah Kemuncak Shout! Award. Hakikatnya, kumpulan lain seperti Hujan atau Estranged terlebih dulu melakar nama malah mencetus sesuatu yang baru kepada industri muzik yang mereka bawakan. Menjawabnya, Izham berkata, kriteria pemenang anugerah khas ditentukan hasil perbincangan bersama panel penilai yang melihat Bunkface memenuhi ciri untuk diangkat sebagai penerima pertama trofi itu. Biarpun baru, Bunkface berjaya mencipta pengaruh yang besar kepada pencinta hiburan dan pemilihan itu selaras dengan usaha Shout! Awards untuk mengangkat karya progresif supaya dihargai khalayak. “Peranan Shout! Awards adalah untuk membuka ruang kepada bakat yang berpotensi untuk melonjak ke tahap baru dan pengiktirafan kepada Bunkface akan membawa mereka ke peringkat lebih tinggi. “Potensi Bunkface menyerlah apabila mereka meraih kemenangan dalam dua kategori dipertandingkan. Mungkin kerana itu panel penilai melihat mereka layak untuk menerima anugerah itu,” katanya. Shout! Awards 2009 lebih segar, bertenaga TIDAK seperti acara anugerah lain yang mengutamakan nama bintang yang mempunyai tarikan komersial, Shout! Awards 2009 cuba keluar daripada kepompong itu dengan membentangkan sesuatu yang segar dan bertenaga. Shout! Awards 2009 juga menongkah arus kebiasaan apabila bakat berpotensi yang selama ini kurang diberi perhatian oleh pencinta hiburan yang disogokkan dengan nama komersial. Andai diberi masa, Shout! Awards berupaya mencipta pengaruhnya yang tersendiri dengan mengetengahkan produksi berteraskan ciri serta warna Malaysia yang sebenar menerusi muzik, filem, drama dan produksi televisyen. Barangkali untuk tahun pertama penganjurannya matlamat itu belum difahami dengan jelas namun Shout! Awards 2009 berjaya membawa dimensi baru kepada industri hiburan tempatan. Cermin aliran industri hiburan yang pelbagai diterjemahkan menerusi penampilan nama seperti Pop Shuvit, Jin Hackman, Caprice, One Buck Short, Shila, Nikki, Komplot, Pesawat, Estranged dan Joe Flizzow yang memberikan persembahan bertenaga pada malam itu. Kolaborasi antara penyanyi yang selama ini hanya dilihat di pentas kecil dan tertutup seperti Paolo Delfino, Mia Palencia dan Reza Salleh memperlihatkan kepelbagaian dimensi dalam industri hiburan Malaysia yang selama ini tidak dibuka luas. Shout! Awards 2009 turut menyaksikan kehadiran penyanyi remaja kelahiran Miami yang dibesarkan di Jamaica, Sean Kingston membawakan tiga lagu termasuk lagu popularnya, Beautiful Girls dan single terbaru, Fire Burning.

No comments:

Post a Comment