Monday, July 6, 2009

Julfekar terus menyalahkan Farawahida untuk tutup malu sendiri

Julfekar dakwa Farawahida sengaja besarkan isu pergaduhan mereka untuk tutup kisah ganti rugi KEMELUT yang melanda komposer Julfekar Ahmad Shah, 45, dengan artisnya, Farawahida Razali, 24, kian hebat apabila penyanyi itu akhirnya bersuara setelah keluar dari kepompong persembunyiannya sejak Februari lalu. Kes pergaduhan mereka menjadi kes polis apabila penyanyi berasal dari Taiping, Perak itu membuat empat laporan polis menerima ugutan bunuh dan penyebaran gambar serta video lucahnya oleh Pengarah Urusan Millenium Art Sdn Bhd.
Julfekar yang dihubungi Sabtu lalu berkata, penyanyi itu sengaja berbuat demikian untuk menutup kisah tuntutan ganti rugi berjumlah RM431,000 yang ingin dibuat ke atasnya bagi kos produksi dan promosi album terbaru Farawahida yang bernilai RM231,000, sementara RM 200,000 lagi di atas segala kepayahan Julfekar menaikkan nama penyanyi itu sepanjang tujuh tahun bergelar artis. Kata Julfekar, penyanyi itu sengaja membesar-besarkan pergaduhan mereka mungkin untuk menutup kisah ganti rugi sedangkan ia bermula sebagai pergaduhan peribadi. Komposer itu turut meluahkan kekecewaannya terhadap Farawahida yang disifatkan sebagai tidak mengenang jasa. “Perkara ini terlalu menyedihkan. Saya berasa sudah dizalimi, dikhianati dan dianiaya. Dia tidak fikir pengorbanan yang saya buat untuknya selama ini sedangkan sebelum ini albumnya tidak pernah laku tetapi saya berusaha juga mahu menaikkan nama dia. Adakah ini cara dia membalas jasa saya?
“Pergaduhan ini sebenarnya kecil tetapi dia yang tidak mahu bawa berbincang sehinggalah kes ini jadi besar. Adakah ini semua dirancang? Kenapa bila saya keluarkan kenyataan mahu menyamannya, dia tiba-tiba tampil membuat kenyataan kepada media saya mengugut dia? Kenapa dia tampil pada saat ini?” katanya kesal. Bagaimanapun, kata komposer itu, dia tidaklah kejam sehingga mengugut untuk membunuh. Jika benar dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbau ugutan, Julfekar meminta Farawahida mengemukakan bukti. Dia juga meminta penyanyi Tanpamu itu mengemukakan bukti dia menyimpan gambar serta video lucahnya. Mengenai SMS memaki hamun dan mengandungi kata-kata lucah yang dihantar kepada penyanyi itu serta keluarganya, Julfekar berkata dia tidak menyedari sama ada pernah berbuat demikian. Kemungkinan ketika SMS itu dihantar dia berada dalam keadaan marah dan sukar mengawal kemarahannya, tetapi penyanyi itu juga pernah menghantar SMS sedemikian kepadanya termasuk ahli keluarga penyanyi itu. “Orang bebas untuk buat apa saja tuduhan tetapi tidak semestinya betul apa yang dituduh itu. Keluarganya boleh bersekongkol untuk membela penyanyi itu. Saya tiada masalah memberikan kerjasama kepada pihak polis jika dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes ugutan itu, bagaimanapun sehingga kini saya tidak mendapat sebarang maklumat mengarahkan saya berbuat demikian.
“Saya tidak takut dengan cemuhan masyarakat. Jika fikir kita berada di pihak yang benar, buat apa nak ditakutkan tetapi banyak benda yang dikeluarkannya itu mengaibkan orang. Kini saya menyerahkan segala keputusan kepada mahkamah untuk tentukan,” kata Julfekar lagi. Komposer itu berkata, dia mahu menyelesaikan masalah kontrak dan ganti rugi secara baik dengan penyanyi itu tetapi Farawahida sengaja mengalih perhatian masyarakat dengan mengeluarkan kenyataan dia menjadi mangsa ugutan Julfekar. Farawahida yang bernaung di bawah Millenium Arts Sdn Bhd sejak 2004 mendakwa kontraknya bersama syarikat itu tamat Februari lalu dan penyambungan setahun lagi adalah sebahagian daripada pilihan sekiranya kedua-dua pihak masih ingin bekerjasama tetapi menurut Julfekar, Farawahida membuat kenyataan dia tidak mengizinkan penyanyi itu berhenti. Katanya, syarikat tidak pernah menghalang Farawahida untuk berhenti tetapi penyanyi itu perlu membayar ganti rugi kerana dia melanggar kontrak yang masih lagi berbaki setahun untuk tamat. Bagaimanapun penyanyi itu nekad berhenti dalam tempoh 24 jam. “Dia kata saya tidak beri kebenaran untuk berhenti sedangkan pada 15 Mei, saya ada menghantar surat kepadanya bahawa pihak syarikat sudah menerima surat permohonan berhenti dari dia. Kita tidak kisah tetapi kita mahukan ganti rugi kerana dia sepatutnya bekerja lagi sehingga 14 hari dari tarikh surat dikeluarkan. Tetapi dia gagal dan melanggar syarat yang dikemukakan, jadi kita keluarkan surat saman kerana melanggar kontrak. “Penyanyi itu dan keluarganya kononnya mengatakan mereka menghargai usaha saya selama ini. Adakah ini cara dia membalasnya iaitu dengan memfitnah dan menganiaya saya? Kemungkinan besar saya juga akan membuat laporan polis ke atasnya tetapi saya akan bincang perkara ini dengan peguam saya terlebih dulu,” katanya.

No comments:

Post a Comment