Remaja kelahiran Bumi Kenyalang tampil dengan album sulung berjudul Masih Jelas dengan harga mampu dimiliki, RM21. MEMILIKI album sendiri apatah lagi yang pertama ketika industri muzik dilihat begitu tenat mungkin antara pengubat duka sesetengah artis yang masih tegar berjuang di persada seni. Penyanyi yang sudah lama menapak pun barangkali belum mempunyai tuah dan rezeki untuk menghasilkan album penuh. Berbeza situasi kini yang lebih terarah kepada penciptaan lagu single, juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Hafiz boleh tersenyum bangga kerana masih mampu memiliki album mini. Biarpun hanya menampilkan lima lagu termasuk single sulungnya, Masih Jelas, remaja berusia 19 tahun ini diberi kesempatan bermakna mengisi ruang seni.
Selebihnya adalah empat buah lagu yang dinyanyikan finalis AF7, Aril, Akim, Yazid dan Isma. Ibaratnya album ini merangkumi pakej beli satu dapat lima sekali gus. Ia kelihatan seperti promosi pembelian yang cukup efektif dipraktikkan ketika keadaan pasaran tidak menentu, agak berbaloi dan sangat menjimatkan. Album berjudul Masih Jelas ini adalah album pertama yang diterbitkan Astro Entertainment Sdn Bhd selepas penutupan operasi Maestro. Ia mula diedarkan Warner Music sejak 14 Julai lalu dengan harga mampu dimiliki RM21. Dengan jumlah lima lagu saja, album ini boleh dicalonkan untuk Anugerah Industri Muzik. Menurut penyanyi kelahiran Sarawak, biarpun album ini tidak mengandungi 10 mahupun 12 buah lagu nyanyiannya, dia melihat ini sebagai satu fasa permulaan untuk berkongsi bakat yang ada dengan peminat setianya. Kehadiran album itu seperti mimpi yang sudah menjadi kenyataan.


Bukan album tangkap muat
PENGARAH AESB, Zainir Aminullah yang ditemui Hip pada sidang media pelancaran album pertama Hafiz itu tidak melihat kemunculan album itu dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa dan secara tangkap muat. Bahkan, Zainir melihat perkembangan sihat ini seperti yang sering dilakukan dalam format American Idol iaitu album juaranya muncul di saat populariti masih memuncak. Hal yang sama turut dilaksanakan Hafiz dan jika album dipasarkan terlalu lambat, bimbang sambutan peminat akan mula menurun. Katanya lagi, memuatkan empat buah lagu daripada finalis AF7 dianggap sebagai kayu pengukur meraih sokongan peminat. "Daripada menghasilkan album kompilasi finalis AF yang menjadi aliran kebiasaan selepas tamatnya musim Akademi Fantasia, lebih baik pihak kami wujudkan album sulung seperti Hafiz dengan menyertakan lagu finalis AF7 yang lain. Ia mungkin lebih praktikal kerana penghasilan album kompilasi AF sebelum ini sudah kurang permintaan dan tidak berbaloi penghasilannya. "Menghasilkan album penuh juga bukan lagi cara terbaik ketika ini kerana kebanyakan artis hanya mengeluarkan single demi single. Tidak guna juga merakamkan 10 ke 12 buah lagu sedangkan yang popular boleh dikira sekitar satu hingga dua lagu. Lalu, di sini, AESB melihat lima buah lagu sudah memadai buat Hafiz dan potensi untuk lagunya diterima sangat luas. "Kalau nak diharapkan sangat kepada pulangan penjualan album semata-mata pada zaman sekarang pun belum tentu boleh dapat. Jadi dengan kos pembikinan album yang efektif, AESB cari formula yang mendapat tempat di hati peminat AF. Sedikit kelainan dan bonus diberi dengan memuatkan single finalis AF7," kata Zainir sambil memberitahu AESB sentiasa membuka peluang dan jalan untuk syarikat lain menjalinkan hubungan kerjasama dalam usaha memperkukuhkan label artis naungannya ke peringkat yang lebih baik.

INFO: Hafiz AF7
Nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip.
Ketika ini, Hafiz menangguhkan pengajiannya selama setahun dalam jurusan Pelancongan dan Hospitaliti di Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan, Sarawak. Antara alternatif masa depan yang mungkin dilakukan Hafiz jika memilih untuk meneruskan kerjayanya ialah menukar cawangan kolej pembelajarannya sekarang ke Kuala Lumpur.
Untuk album sulungnya, kod muat turun lagu tidak disertakan di atas kulit album sebaliknya promosi muat turun nada dering lagu di dalam album itu akan dilakukan menerusi promosi di kaca TV.
Turut diberi peluang mengacarakan program perjalanan kehidupannya sejak bergelar juara AF7 yang dipanggil Menuju Puncak. Program lapan episod itu sudah tamat siarannya.
Mahu mengekalkan gaya rambut kerinting yang menjadi cap dagangnya selama ini.
Menjadi peserta pertama dari Sarawak yang menjuarai pertandingan AF. Malah, Hafiz merampas kembali takhta juara lelaki selepas dua musim AF7 terdahulu dimonopoli golongan wanita, Mila dan Stacy.
No comments:
Post a Comment