Thursday, July 9, 2009

Diana Danielle Duet Bersama Andra&The Backbone

HASRAT pelakon Diana Danielle untuk melebarkan impian bergelar penyanyi nampaknya sudah menampakkan perkembangan positif. Sekalipun masih ada pihak yang bagaikan meragui keupayaan gadis berusia 17 tahun itu untuk mengalunkan lagu, ia tidak sesekali menjadi batu penghalang buat anak kesayangan Norsiah Ramli itu untuk memegang mikrofon. Hip difahamkan satu perbincangan sudah dilakukan ibu tersayangnya menerusi syarikat NRDanielle Consultant dengan pihak pengurusan kanan syarikat rakaman Metadome. Kata sepakat sudah diperoleh apabila Diana secara rasminya sudah bernaung di bawah syarikat itu sejak Jun lalu.
Kontrak selama setahun itu dipersetujui kedua-dua belah pihak dan sepanjang tempoh itu Diana akan tampil dengan tiga buah single saja dan dalam perbincangan tiada album penuh yang akan dihasilkan. Ia disokong dengan graf pasaran muzik sekarang apabila kecenderungan menghasilkan lagu single lebih banyak berbanding pembikinan album penuh. Metadome hanya akan mengendalikan urusan nyanyian Diana saja dan soal lakonan dan komersial masih di bawah tanggungjawab NRDanielle Consultant. Sebagai permulaan rangka strategi Metadome, Diana diberi peluang bermakna untuk berduet dengan band rock dari Indonesia, Andra & The Backbone menerusi lagu lama mereka berjudul Tak Ada Yang Bisa yang diberi nafas baru. “Proses rakaman lagu itu dibuat ketika berkunjung ke Jakarta pada awal Jun lalu. Ia dinyanyikan dalam versi remix dan dirakamkan di Legend Studio, Pantai Indah, Jakarta yang dimiliki vokalis Dewa, Ahmad Dhani. Saya dapat tahu projek ini sebagai langkah untuk menembusi pasaran Indonesia.


“Ketika ini saya dapat tahu, lagu itu masih dalam proses suntingan dan saya tidak sabar menanti hasilnya. Jika tiada masalah, saya tidak perlu lagi ke sana untuk merakamkannya kembali. Sebelum bersetuju untuk berkolaborasi dengan Andra & The Backbone, Metadome ada memberi pilihan artis Indonesia yang lain seperti Afgan dan Once Dewa. “Akhirnya Andra & The Backbone yang menjadi pilihan. Saya antara penggemar lagu Sempurna nyanyian kumpulan itu. Harapnya lagu kami ini juga akan memberi tuah dan siulan sebagaimana yang diperoleh menerusi impak lagu Sempurna. Menariknya, promosi lagu ini akan di buat di Malaysia dan Indonesia di samping memberi perhatian terhadap kaedah muat turun,” katanya yang ditemui Hip pada malam penghargaan Rafflesia kepada pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 hujung Jun lalu. Mengalih sisi cerita kepada soal peribadi, mungkin masih ada yang bagaikan tidak percaya bahawa sebenarnya pelakon drama Air Mata Maria itu kononnya sedang bahagia menjalinkan hubungan dengan aktor kacak, Farid Kamil. Siapa sangka di sebalik perpisahan Diana dengan pengarah dan pelakon muda, Syamsul Yusof, rupa-rupanya dia seperti gadis lain yang ingin terus disayangi dan dicintai. Kalau mahu didasari hati kecil Diana, dia seboleh-bolehnya tidak mahu terus larut membicarakan kisah itu yang mula diperkatakan sejak kebelakangan ini. Bimbang juga apa yang pernah terjadi sebelum ini kembali menghantui dan terus membelenggu hidupnya kini.


Lalu, jalan paling mudah, dia hanya berserah dan enggan menjadikan soal cinta sebagai topik utama. Apatah lagi mulai 9 Julai ini, Diana akan melanjutkan pengajian di Universiti Nottingham cawangan Malaysia di Semenyih dalam jurusan biosains “Saya rasa masih terlalu awal untuk bercakap soal ini. Saya tak nak cakap lebih-lebih takut apa yang dirancang tak menjadi. Harap peminat dan orang di luar sana akan mendoakan yang terbaik untuk ‘persahabatan’ kami ini. “Mengenali Farid, dia seorang yang sangat ‘cool’ dan selamba. Apa yang boleh saya katakan, kami mula kenal dengan lebih rapat sejak tahun ini. Sebelum ini pun kami pernah berlaku dalam filem Evolusi KL Drift,” kata Diana yang sedang menanti tayangan filem Kecoh Betul dan Magika

No comments:

Post a Comment