Monday, July 20, 2009

Siti Nurhaliza,Aizat&Ayu menang di Jakarta

Datuk Siti Nurhaliza, Aizat dan Ayu Damit melakar sejarah pada Anugerah Planet Muzik 2009 DI sebalik insiden pengeboman yang melanda dua hotel mewah di Jakarta Jumaat lalu, sehari sebelum berlangsungnya Anugerah Planet Muzik (APM) 2009, sedikit sebanyak kegusaran mula terbit di hati kita mengenang kemungkinan yang bakal menimpa rombongan artis dan media yang membuat liputan. Begitu juga dengan kebimbangan terhadap virus H1N1 yang menular di beberapa negara. Bagaimanapun Sabtu lalu, majlis APM 2009, yang berlangsung buat pertama kali di negara terbabit memberikan rahmat tersendiri sekali gus membawa khabar gembira terutama kepada negara tercinta kita.
Penyanyi kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza terus unggul dan sukar digugat apabila terus kuat mempertahankan trofi kategori Artis Wanita Paling Popular memasuki tahun kesembilan seiring dengan usia penganjuran anugerah serumpun menggabungkan tiga buah negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura. Malah, Siti bukan saja berjaya menawan hati peminatnya di Malaysia, bahkan kategori yang pertama kali diwujudkan, Artis Serantau Paling Popular mengtnepikan calon hebat tiga negara iaitu Agnes Monica, Aliff Aziz, Faizal Tahir, Nidji, Hujan, Meet Uncle Hussain, Hardy Mirza dan Taufik Batishah, sekali gus membuktikan hayat Siti dalam dunia seni masih relevan. Kemunculan bakat baru tempatan sedia ada juga masih gagal mengganggu gugat takhta penyanyi yang baru saja membuat konsert Eksklusif Satu di Istana Budaya Jun lalu. Status dirinya sebagai isteri seorang usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dan gosip yang sering menjadi mainan percaturan hidupnya, tidak sesekali membantutkan perjuangannya.

Kejayaan berganda yang digenggamnya pada anugerah itu ditafsirkan sebagai hadiah yang tidak ternilai. Ia juga sebagai penanda aras buat penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu untuk terus berazam memberikan yang terbaik pada masa mendatang termasuk menghasilkan karya yang lebih bermutu. “Siti bersyukur dan tidak menyangka masih lagi menerima sokongan peminat yang sudi dan tidak jemu mengundi. Kejayaan ini amat manis buat Siti kerana ia diterjemahkan sebagai semangat peminat yang menjadi faktor kekuatan untuk Siti terus melayari paksi seni ini,” kata Siti menerusi SMS yang dikirimkan telefon bimbit milik kakak iparnya, Rozi Abd Razak. Laluan penyanyi lagu Cindai ini menempa nama di Malaysia, Indonesia, Singapura dan juga Brunei dilihat sebagai bukti bakat tempatan sepertinya wajar diberi perhatian. Di saat, tanah air berdepan kemelut kononnya artis luar negara dengan sewenang-wenangnya meraih perhatian dan sokongan di negara kita, Siti tidak betah duduk diam dan berusaha memantapkan trek profil kerjayanya. Rezeki juga kuat menyebelahi nasibnya. Bagaimanapun, Siti melihat setiap artis yang menceburi bidang seni mempunyai sumbangan masing-masing.
Katanya, tidak kira sama ada anugerah itu bersifat popular atau yang mementingkan kualiti menerusi pembabitan juri profesional, setiap penghargaan yang diterima itu mempunyai alasan konkrit dan tersendiri. “Selain menerima sokongan di Malaysia, Siti cukup terharu kerana turut diterima di negara orang. Alhamdulillah, apa yang Siti boleh simpulkan menerusi bakat dan muzik yang diperjuangkan ini, ia mampu menyatukan Siti dengan peminat biarpun berlainan negara. Ia juga menandakan jalur muzik tidak pernah ada garis sempadan. “Sejak setahun selepas Siti bergelar artis (1997), Siti diberi kesempatan berharga menjelajah ke semua negara ini untuk mempromosikan album termasuk membuat konsert. Alhamdulillah usaha ini diterima tanpa rasa prejudis. Bagi Siti, persaingan tetap akan ada seiring dengan peredaran waktu. Namun, ia bukan titik noktah buat Siti terus berhenti berjuang,” katanya lagi yang ketika SMS ini dikirimkan sedang bersama suami dan kakak iparnya di lapangan terbang Jakarta menanti waktu untuk kembali ke tanah air. Peluang lebarkan sayap ke Indonesia PADA masa yang sama, APM 2009 juga melihat kebangkitan dua generasi pelapis tempatan, Aizat dan Ayu Damit. Dua profil muda dan berbakat besar ini masing-masing mencipta nama selepas menyertai pertandingan realiti nyanyian. Aizat mula menampakkan sisi kematangan muziknya selepas menyertai Akademi Fantasia musim kelima. Manakala Ayu pula mula melakar nama selepas bergelar juara One In A Million (OIAM) musim kedua. Kehadiran mereka sedikit sebanyak mengisi ruang kosong persekitaran seni yang selalu dahagakan dan ketandusan bakat sebegini rupa yang mampu mencipta fenomena. Aizat dan Ayu membanggakan negara apabila masing-masing memenangi kategori Vokal Terbaik Dalam Lagu bagi kategori Lelaki dan Wanita. Kategori Lagu Paling Popular Malaysia yang dimuat turun turut menyebelahi Aizat apabila lagu berhantu dendangannya, Hanya Kau Yang Mampu menjadi pilihan. Bagi Aizat, 2009 nampaknya menjadi tahun bermakna buatnya apabila mula meraih kejayaan beberapa pertandingan seperti Anugerah Industri Muzik 16 dan Festival Muzik Pop Antarabangsa - Discovery 2009. Semestinya, APM 2009 terus menjadi nadi semangat untuknya terus mencipta jaya. “Alhamdulillah, Aizat bersyukur kerja keras selama ini mula dipandang orang. Ia dilihat berbaloi apabila sudah ada pihak yang menyedari bakat yang ingin dikongsi Aizat. Aizat sendiri tidak menyangka dan terkejut apabila diumumkan untuk kategori Vokal Lelaki Terbaik itu. Aizat hanya mampu memanjat rasa kesyukuran kepada Tuhan dengan kejayaan terbaru ini. “Tak lupa juga kepada keluarga dan peminat yang sentiasa menjadi tulang belakang di sebalik perjuangan ini. Aizat juga melihat kejayaan ini sebagai landasan dan peluang terbaik untuk melebarkan sayap di Indonesia. Paling penting, Aizat bangga mengharumkan nama Malaysia sekali lagi,” katanya ketika dihubungi Hip semalam. Turut berkongsi perasaan yang indah ialah Ayu yang turut dihubungi Hip bagi bertanyakan lanjut mengenai kejayaan sulungnya itu selepas bergelar artis. Pernah berasa rendah diri dan terasing di bumi sendiri kerana pakej wajahnya tidak seiring dengan bakat yang ada, Ayu kini mampu tersenyum apabila sudah mula membuka mata ramai pihak terhadap transisi bakat yang mula ditunjukkan. “Ayu gembira sangat kerana dapat buktikan kepada sesetengah pihak yang masih meragui dan tidak mempercayai bakat yang ada. Sudah tertulis rezeki Ayu menang dan juri profesional yang menentukannya. Kehadiran Ayu buat pertama kali ke Indonesia bersempena APM 2009 juga menjadi satu momen berharga apabila kejayaan ini seiring dengan peningkatan usia Ayu pada 12 Julai lalu. Kiranya anugerah ini sebagai hadiah istimewa buat hari lahir Ayu yang ke-20,” katanya yang juga tidak menolak peluang jika dapat mempromosikan diri ke Indonesia. APM 2009 dihoskan Aznil Nawawi, Nirina Zubir dan Aura Shai dan diadakan di Pusat Konvesyen Jakarta, Sendayan. Ia disiarkan secara langsung di Global TV, Indonesia, Astro Ria dan Mediacorp (Singapura). Stacy, Faizal Tahir, Aizat, kumpulan Hujan juga turut diberi peluang membuat persembahan pada malam itu. APM tahun lalu menyaksikan kebangkitan Faizal Tahir membawa pulang kategori Artis Lelaki Paling Popular dan Artis Baru Lelaki Terbaik. Bagaimanapun tahun ini, penyanyi yang pernah dihalang menaiki penerbangan berlepas ke Jakarta bersempena APM 2009 itu gara-gara tidak membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional tidak memenangi mana-mana kategori yang mencalonkan namanya.



No comments:

Post a Comment