Wednesday, July 1, 2009

Album Baru Agnes Monica


ALBUM: Sacredly Agnezious

ARTIS: Agnes Monica

GENRE: Pop


DIADUN dengan pelbagai genre, Sacredly Agnezious menjadi pernyataan penyanyi kelahiran 1 Julai 1986 akan siapa dirinya yang sebenar. Lebih tepat, album ini adalah perkongsian Agnes dengan khalayak untuk lebih mendekati serta mengenali siapa dirinya lewat lagu yang dimuatkan dalam produksi ketiganya ini.


Untuk produksi itu, penyanyi ini mendapatkan khidmat ramai pemuzik handal seperti Erwin Gutawa, Dewiq, Pay BIP dan DJ Sumantri. Ia juga menjadi lambang Agnes masih ada, malah akan terus hadir untuk memberi hiburan kepada mereka yang mengagumi kekuatan bakatnya. Membuka trek dengan mengusung irama hip hop untuk sentuhan Godai Aku Lagi, penyampaiannya yang menggoda memberi kelebihan kepada lagu itu untuk berada di senarai pertama.
Sebetulnya, Godai Aku Lagi bukan lagu baru kerana sebelum hadir album penuh ini, Agnes terlebih dulu melahirkan album mini, Nez yang memuatkan dua lagu termasuk sentuhan balada, Matahariku. Lagu itu turut dimuatkan dalam album ini. Turut bertindak sebagai penerbit, Sacfredly Agnezious memperlihatkan sisi energetik Agnes menerusi lagu seperti A.G.N.E.Z dan Shake It Off. Dengan segala pesona yang dimilikinya, A.G.N.E.Z yang berbekalkan rentak catchy adalah penyataan diri gadis ini yang sebenar. Shake It Off pula menyuntik suasana etnik Bali dan R&B, diperkuatkan dengan sentuhan orkestra hasil idea kreatif pemuzik hebat, Erwin Gutawa.
Agnes tidak hanya hebat ketika membawakan lagu rancak. Persembahannya dalam lagu perlahan juga memberi nyawa kepada album ini. Ia dapat dilihat menerusi lagu balada seperti Teruskanlah, Rapuh dan Berlebihan. Garapan yang sempurna dibantu penyampaian Agnes yang sarat jiwa menjadikan lagu itu cukup indah dinikmati.

No comments:

Post a Comment