Sunday, July 5, 2009

Shouts Awards! Tiru MTV Awards!


SEMAKIN banyak majlis anugerah baru diperkenalkan sejak kebelakangan ini, khusus dalam memberi pengiktirafan kepada anak seni tempatan, termasuk Shout! Awards atau Anugerah Shout! 2009 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, 17 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar, berkata selain memeriahkan industri hiburan tanah air, penganjuran acara itu juga bertujuan mengangkat nama individu di belakang tabir yang tidak mendapat tempat sebelum ini walaupun sudah lama aktif dalam sesuatu bidang seni, termasuk penyiaran.

“Bila Shout! Awards 2009 diumumkan penganjurannya, ada yang kata ia mirip MTV Awards seolah-olah kami cuba meniru konsepnya. Padahal, ia mempunyai misi dan hala tuju tersendiri, yang sama sekali berbeza dengan MTV Awards.

“Ia sebenarnya dianjurkan untuk mengiktiraf kerja-kerja seni tempatan... segala kejayaan yang ditempa anak-anak seni kita, selain membantu mereka, terutama yang sedang mencari arah mendapat tempat di arus perdana,” katanya kepada B*Pop.
Berdasarkan perkembangan semasa, katanya, masih ramai anak seni tempatan, terutama di kalangan pemuzik bergerak secara `underground’, menyebabkan mereka tidak dikenali ramai sedangkan banyak karya muzik dihasilkan berkualiti. “Mereka ada potensi tetapi tidak diketengahkan. Bukan mereka tidak mahu tetapi tiada ruang untuk ke arus perdana. Ada kami cuba mengetengahkan bakat mereka melalui program seperti 8TV Quickie dan Homegrown tetapi ia belum cukup mempopularkan mereka.


“Kumpulan Couple contohnya, yang dicalonkan bersama Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Jaclyn Victor, Nikki, Stacy dan Aizat, mereka sudah lama aktif dalam bidang ini tetapi masih belum dikenali. Justeru, anugerah ini diharap dapat memberi pendedahan kepada mereka,” katanya. Izham berkata, walaupun dua saluran muzik antarabangsa - MTV dan Channel V - sering menjadi tumpuan penonton tempatan, terutama majlis anugerah anjuran mereka, namun ia tidak banyak memaparkan artis tempatan, begitu juga karya muzik yang dihasilkan. “Di Malaysia sekarang kalau kita lihat, rata-rata penonton di bandar besar lebih tertumpu kepada majlis anugerah anjuran MTV dan Channel V. Yang menjadi masalah, kedua-dua saluran itu tidak memberi peluang kepada artis dan karya muzik kita. Dengan adanya Shout! Awards 2009, kami berharap dapat mengubah keadaan itu, sekali gus menarik kembali perhatian penonton kita, sekali gus memperkenalkan mereka kepada lagu dihasilkan anak tempatan,” katanya. Di peringkat awal pengenalannya kali ini, Shout! Awards 2009 bakal mempertandingkan 15 kategori merangkumi pelbagai cabang berkaitan industri hiburan tanah air termasuk muzik, drama, program televisyen, filem dan radio.


Antaranya Anugerah Pop, Anugerah Rock, Anugerah Hip Hop/R & B, Vokal Paling Menyerlah, Artis Baru Terbaik, Keserasian Dalam Program TV/Drama/Filem Terbaik, Program Bersiri Terbaru (TV) Paling Menarik, Anugerah Filem, Program Televisyen Paling Digemari (Bukan Drama) dan Pengacara TV Paling Digemari. Walaupun baru diperkenalkan, Izham memaklumkan pihaknya menerima sambutan menggalakkan dari segi pencalonan bagi setiap kategori dipertandingkan. Katanya, pencalonan berdasarkan beberapa kriteria termasuk karya dihasilkan adalah terbaru, segar dan progresif, malah calon juga perlu dekat dengan peminat urban dan sesuai dengan penonton sasaran stesen televisyen yang bernaung di bawah Media Prima Berhad (MPB), “Yang membanggakan, beberapa artis popular turut menguasai kategori utama, sekali gus membuktikan mereka bukan saja diminati peminat luar bandar, tetapi juga di bandar. Contohnya Datuk Siti (Nurhaliza) yang dicalonkan dalam dua kategori menerusi album terbarunya, Lentera Timur. "Beliau dicalonkan dalam Anugerah Pop dan Vokal Paling Menyerlah. Ini menunjukkan orang di bandar tidak memilih seperti tanggapan sesetengah pihak sebaliknya sekiranya karya dihasilkan itu bagus, pasti mereka menerimanya," katanya.

No comments:

Post a Comment