Wednesday, July 1, 2009

Ayu Damit di APM 2009


'Ayu sedar siapa diri ini': Pencalonan dalam beberapa anugerah besar menukar segala persepsi juara One In A Million musim kedua terhadap kerjayanya KEBANJIRAN artis baru dan kemasukan muzik luar terutama dari negara seberang mungkin antara fenomena yang terpaksa diharungi pengkarya serta penggiat muzik tempatan.


Sedar atau tidak, jika artis kita sendiri tidak terus kuat berjuang, penamatnya mungkin boleh disifatkan seperti wabak yang mampu membunuh industri seni tanah air. Ibarat seperti kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan, ia mungkin serba sedikit gambaran yang terjadi kepada sesetengah artis di negara kita. Bukan kita ketandusan bakat artis tempatan, tapi entah di mana silapnya, sesetengah penganjur konsert dan penaja lebih cenderung memilih artis luar negara sebagai tarikan dan ‘umpan’ membuat persembahan.


Persoalannya masih terus menjadi tanda tanya. Siapa yang harus dipersalahkan kerana pihak yang berkaitan masing-masing akan terus menuding jari. Dalam keadaan pasaran muzik yang semakin tenat dan suram kebelakangan ini, masih ada artis tempatan yang tidak betah duduk diam memastikan hayat seni mereka tidak berkubur begitu saja.


Lalu, gandingan Hip menyatukan juara One In A Million (OIAM) musim kedua, Ayu Damit dan trio anak muda bernama Bunkface mengukuhkan persepsi bahawa kita masih ada artis yang boleh dibanggakan. Malahan, ia juga bertepatan dengan pencalonan mereka di dalam Shout! Awards anjuran saluran hip, 8TV. Kemuncak anugerah itu akan disiarkan pada 17 Julai ini di Stadium Putra, Bukit Jalil. Bunkface yang mula meledak dengan lagu Situasi tercalon dalam dua kategori iaitu Anugerah Artis Baru Terbaik dan Anugerah Bintang Rock. Manakala, Ayu disenarai pendek untuk kategori Anugerah Vokal Terbaik bersaing di sisi Datuk Siti Nurhaliza, Dina, Jaclyn Victor, Lan (vokalis Meet Uncle Hussain) dan Syarul Reza (Love Me Butch).


Bagi Ayu, single pertama yang dinyanyikan sewaktu kemuncak pertandingan akhir OIAM tahun lalu, Hanya Di Mercu memberi simbolik bermakna dalam hidupnya kini kerana dia mula pantas mengecapi kemasyhuran. Penantian selama setahun mula berbayar apabila album studio sulungnya mula menerjah pasaran sejak 28 Mei lalu. Maklum balas yang mulai diterimanya sangat memberangsangkan.

“Album ini memuatkan sembilan buah lagu termasuk lagu Hanya Di Mercu. Apa yang Ayu dapat katakan, sembilan buah lagu ini antara pilihan terbaik yang dapat dimuatkan buat halwa telinga peminat. Antara komposer yang terbabit seperti Aubrey Suwito, Audi Mok, Ajai dan Azlan Abu Hassan,” kata Ayu yang mula mempertaruhkan single terbaru Inspirasi Abadi ciptaan Aubrey Suwito dan lirik nukilan Tinta S.

Bakatnya kini sudah mula membuka mata ramai pihak, malah mendapat pengiktirafan apabila satu persatu pencalonan demi pencalonan diterima pada anugerah berprestij seperti Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 dan Anugerah Planet Muzik (APM 2009). Untuk APM 2009, Ayu dicalonkan dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Artis Baru Wanita) mempertaruhkan lagu Hanya Di Mercu. Untuk kategori itu, Ayu bersaing dengan Stacy, Yuna, Cinta Laura dan Nana. APM 2009 dan Shout! Awards berlangsung selang sehari, bagaimanapun Ayu memberitahu bahawa dia tidak akan hadir ke Shout! Awards.


“Jujur Ayu akui sebelum ini Ayu sedar siapa diri ini dan mudah berasa terpinggir. Namun, pencalonan dalam beberapa anugerah besar menukar segala persepsi Ayu terhadap karier yang pada sangkaan Ayu akan suram jika tiada langkah drastik diambil. "Pencalonan membuatkan Ayu bertambah sibuk, malah secara tidak langsung memperkukuhkan nama Ayu di hati peminat. Semua ini jauh daripada jangkaan Ayu. Soal menang atau kalah, itu perkara kedua, yang penting usaha dan kewujudan kita, orang mula nampak.

Kalau ada rezeki Ayu untuk menang, ia satu bonus. “Kalau tak menang, tercalon sudah memadai. Semua berbalik kepada soal rezeki. Oleh kerana APM 2009 berlangsung sehari selepas Shout! Awards, pilihan antara dua kena dibuat. Akhirnya, Ayu dan pihak pengurusan memilih untuk pergi ke Jakarta, Indonesia (negara berlangsungnya APM 2009). 8TV juga sudah dimaklumkan perkara ini,” katanya yang bakal melaram busana rekaan Khairy Sufi dan Nasris pada malam APM 2009 nanti.

Sedar dirinya tidak hadir dengan pakej sempurna, Ayu cuma bergantung harap kepada kekuatan dan keupayaan vokalnya mendendangkan lagu. Dua tahun meredah dunia seni, Ayu mengakui dia masih belum cukup mantap terutama dalam soal sikap dan komunikasi membabitkan media. “Memang hakikat industri seninya kita sedang ‘nazak’ kerana keadaan pasaran muzik yang turun naik. Biarpun begitu persaingan artis baru cukup hebat dan di sinilah cabaran bagi setiap artis untuk memberikan kelainan serta variasi dalam jalur muzik yang dipersembahkan.

Jika kita terus statik tanpa sebarang pembaharuan, mungkin laluan seni kita berdepan dengan kesukaran. “Sepanjang Ayu berada di dalam liga seni, Ayu boleh katakan nampak sedikit peningkatan terutama dari segi vokal dan corak persembahan. Yang Ayu paling lemah dan harus akur ialah kurang keyakinan apabila berdepan dengan media. Secara tiba-tiba, Ayu akan mula gementar apabila bertemu rakan wartawan. Ayu masih takutkan mereka barangkali,” usiknya yang senang sekali digandingkan dengan kumpulan Bunkface dan tidak menolak peluang andai ada kesempatan berduet.

No comments:

Post a Comment