Monday, July 6, 2009

Doakan Zaquan&Ayu Raudhah

GARA-GARA keluar makan di Hartamas Square dengan pemain bola sepak kebangsaan Mohd Zaquan, Ayu Raudah dikatakan sedang dilamun cinta. Tetapi si cantik manis ini dengan pantas menafikan cinta sudah mula berputik.
“Kami sekadar berkawan. Hubungan itu masih baru dan soal perasaan itu agak terlalu awal untuk dijangkau dek akal fikiran. Ayu tak nafikan ada keluar beberapa kali dengannya. Malah, ada juga pertemuan kami itu dituruti rakan yang lain. “Ayu tak harapkan apa-apa dalam hubungan ini. Hanya mengikut rentak saja. Kalau berhasil hubungan itu, maka jadilah. Ayu reda.
Ada jodoh tak ke mana. Ayu tidak mahu terlalu serius memikirkan soal ini. Sebelum ini pun, Ayu berkawan enam tahun (merujuk kepada hubungannya dengan Pekin) tapi tidak menjadi juga,” katanya ringkas mengenai hubungannya dengan adik kepada kembar, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak yang juga suami kepada Rita Rudaini.
Adik kepada Rozita Che Wan ini ditemui di lokasi penggambaran filem sulung lakonannya, 4 Madu arahan Prof Madya Razak Mohaideen di Sepang Goldcoast, Bagan Lalang, baru-baru ini. Gosip cinta itu sekurang-kurangnya melenyapkan kisah cinta Ayu dengan Pekin yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini. Bagi yang mengenali Ayu, dia tidak pernah berselindung mengenai hubungan ‘sekejap ada, sekejap tak ada’ dengan Pekin. “Mungkin juga kami tiada keserasian untuk terus menjalinkan cinta. Mungkin dia (Pekin) bukan jodoh saya. Bercinta panjang mana pun, kalau sudah tiada jodoh, tak berhasil juga akhirnya. Barangkali kami lebih sesuai sebagai kawan saja,” katanya.
Dua tahun menjalani kehidupan sebagai anak wayang, simpati Ayu terhadap kakaknya, Rozita yang sering dihimpit gosip cinta VIP bagaikan sudah berjangkit kepada dirinya. Malahan, sejak awal membabitkan diri dalam dunia seni, dia menetapkan pendirian untuk tidak sesekali menjerat diri dalam situasi sedemikian. Namun apakan daya, pandangan masyarakat mula terdorong dengan persepsi negatif yang mula mengaitkan selebriti wanita dengan golongan VIP. Ibarat nila setitik, habis susu sebelanga. Mengakui sukar menghakis tanggapan itu, Ayu sedar dia tidak mampu memuaskan hati orang sekalipun dia tulus mengakui tidak pernah ada sebarang ikatan dengan mana-mana VIP. “Macam Kak Ta, semakin dia menafikan gosip, semakin bertalu-talu pula cerita kurang enak menghimpitnya. Mujur nasib Ayu tidak seteruk dia. Kadang-kadang Ayu sendiri kasihan dengan dia yang terpaksa berdepan dengan macam-macam dugaan. “Tapi inilah bayaran yang harus diterima golongan seni seperti kami yang sering dilabel menginginkan kemewahan segera tanpa perlu berusaha. Ayu sendiri tak terlepas dihubungi panggilan misteriyang menyesakkan dada. Bila Ayu angkat, ada yang tidak bersuara.
“Sekarang jalan mudah, Ayu malas nak angkat langsung panggilan sebegitu. Ayu sendiri hairan macam mana nombor Ayu boleh mudah tersebar. Mungkin juga ada orang yang tak bertanggungjawab menyerahkan nombor Ayu. Ayu memang malas nak layan. Hakikatnya, kalau Ayu sendiri yang beri nombor, takkan Ayu tak nak layan,” kata duta produk Giena Skincare itu. Sementara itu, mengalih bicara dalam soal kerjaya lakonannya, Ayu baru saja selesai menjalani penggambaran filem 4 Madu yang membabitkan wataknya sejak 24 Jun lalu. Selepas itu, Ayu ke set penggambaran drama Nur Kasih yang sedang hangat disiarkan di TV3. Bagaimanapun episod yang menampilkan watak Ayu di dalam drama itu hanya akan mula disiarkan dalam episod 15. Akhirnya rezeki Ayu untuk ke layar perak menerusi filem 4 Madu. Selepas sekian lama menanti peluang dan ruang waktu yang sesuai, tercapai juga hasratnya berlakon filem. Bukan tiada tawaran berlakon filem yang kunjung tiba sebelum ini, namun kesibukan Ayu berlakon di kaca TV terpaksa menghampakan penerbit yang berminat menyuntingnya sebagai bintang filem. “Ayu menerima tawaran berlakon filem sejak berbulan-bulan lalu. Pihak produksi filem ini sudah menghubungi Ayu, namun beberapa kali juga tawaran ini terpaksa ditolak kerana Ayu terikat dengan penggambaran drama Nur Kasih. Tapi akhirnya ‘jodoh’ Ayu kuat dengan filem ini. Dapat pula berlakon dengan Kak Ta buat julung kalinya. Tak sangka akhirnya Ayu dapat juga berlakon filem. “Jujur Ayu akui memang teruja, seronok dan rasa lain sangat dapat berlakon filem. Ayu memegang peranan sebagai Tipah dan ‘bermadu’ dengan Kak Ta dalam filem ini. Secara peribadi, Ayu sendiri sukakan watak Tipah yang memberi sisi berbeza dengan watak yang Ayu pernah dapat sebelum ini,” katanya sambil tersenyum manis.

No comments:

Post a Comment