Wednesday, July 1, 2009

Farawahida is free now..


APA sebab harus saya bertanya kepadanya untuk menerima mana-mana tawaran persembahan? Apa yang pasti kontrak saya bersama syarikat pengurusannya sudah pun tamat Februari lalu," kata penyanyi Farawahida yang didakwa melakukan persembahan pada malam akhir pertandingan Bintang RTM 2009 (BRTM 2009) tanpa pengetahuan syarikat yang menguruskannya Millennium Art milik komposer Julfekar. Kemelut yang melanda di antara Farawahida dan pengurusnya Julfekar berpunca daripada salah faham yang tidak akan menemui jalan penyelesaian sekiranya kedua-dua pihak gagal untuk bertemu dua mata bagi menyelesaikan masalah ini.



Farawahida yang ditemui sebaik selesai mengadakan persembahan malam akhir BRTM 2009 bersedia dengan apa saja kemungkinan yang bakal berlaku memandangkan tawaran mengadakan persembahan sudah mendapat nasihat orang perseorangan yang mahir dalam undang-undang. “Saya bersedia sekiranya dia betul-betul ingin menyaman saya. Apa yang ingin saya takutkan jika saya di pihak yang benar buat apa saya harus takut. "Saya menerima tawaran daripada RTM bukan sebab suka-suka untuk mendapatkan 'show'. Saya ada bertanya kepada seorang yang mahir dalam undang-undang dan sebab itu saya tidak menyanyi mana-mana lagu menerusi album saya.
"Lagipun tawaran yang ditawar oleh pihak RTM sebagai membalas jasa pihak RTM yang banyak membantu karier saya dalam bidang nyanyian selama ini," katanya. Dia yang mendakwa kontrak yang ditandatangani sejak 2004 sudah pun tamat pada Februari lalu dan penyambungan setahun lagi seperti yang didakwa oleh Julfaker adalah sebahagian daripada pilihan sekiranya kedua-dua pihak masih ingin bekerjasama. "Memang kontrak saya lima tahun bermula 2004 dan berakhir Februari tahun ini. Dan apa yang dikatakannya kontrak saya sepatutnya tamat pada tahun depan adalah tidak benar kerana itu adalah 'option' sekiranya saya ingin menyambungnya. "Saya hanya diberi 'option' sama ada hendak menyambung atau tidak dan saya mengambil keputusan untuk tidak menyambungnya. Lagipun saya dan dia masing-masing tidak pernah mengeluarkan apa-apa surat untuk menyatakan ia atau tidak.
"Apa yang saya tahu, sambungan kontrak ini akan dibuat sekiranya masing-masing mendapat persetujuan bersama," katanya. Menurut Farawahida, sepanjang menandatangani kontrak bersama Millennium Art lima tahun yang lalu, Farawahida mendakwa tidak pernah menerima apa-apa salinan kontrak. "Memang benar saya tidak pernah menerima apa-apa salinan kontrak yang sepatutnya menjadi tanggungjawabnya untuk memberikan satu salinan kepada saya. Bukannya saya tidak pernah meminta kepadanya selama ini dan pada bulan Mei tahun ini baru saya menerimanya selepas sekian lama," katanya. Sepanjang lima tahun bekerjasama pelbagai suka duka sudah diharungi, namun Farawahida mengakui tidak sedikitpun dia melupai segala jasa yang pernah ditabur ke atasnya. "Saya dan keluarga sangat hargai usahanya selama ini dalam membawa saya jauh ke dalam industri. Saya tetap hargai namun saya seperti malas untuk kembali meneruskannya lagi. Biarlah saya membawa haluan saya sendiri. "Buat masa ini saya sudah tidak terikat oleh mana-mana syarikat rakaman, namun saya ingin berehat dan melupakan segala-galanya. Tengoklah sekiranya saya sudah bersedia untuk kembali bernaung di mana-mana syarikat rakaman akan saya teruskan jugalah," katanya yang tidak pernah mendiamkan diri selama ini seperti yang didakwa oleh pihak media.

No comments:

Post a Comment