Tuesday, July 21, 2009

Siti Sarah ke Los Angeles

Cita-cita menjadi penyanyi, penghibur berjaya tak pernah pudar ANDAI dapat diputarkan kembali masa sudah berlalu, mahu saja dia memadamkan semua kontroversi yang pernah dilakar dalam kehidupan peribadinya. Didakwa sebagai antara artis bermulut celupar, sering bertukar pengurus, tidak berdisiplin, kisah putus tunang dan berselisih faham dengan bapa yang juga pengurusnya kerana beristeri baru adalah antara rentetan peristiwa yang membelenggu diri penyanyi bernama Siti Sarah Raissudin. Dan kerana peristiwa itu, namanya yang suatu ketika dulu pernah berada di puncak akhirnya tenggelam begitu saja. Kehebatan vokalnya dan kemampuannya beraksi di atas pentas dibayangi dengan cerita sensasi yang memualkan sehinggakan karier seninya yang pernah diramalkan cerah berakhir dengan kesuraman.

Begitupun, dengan mengumpulkan kekuatan dalaman, perlahan-lahan penyanyi bertubuh kecil ini kembali melangkah ke persada seni dengan semangat baru serta melupakan semua episod gelap yang terpalit dalam kerjaya seninya. Tanpa mahu menoleh ke belakang, Sarah yang pernah menggegarkan industri seni dengan lagu Kesetiaan ini berhasrat menggilap kembali namanya yang kian pudar. Malah, jauh di sudut hati dia mula merancang mengembara ke negara luar demi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang penghibur berjaya.
Hip: Apa tujuan Sarah menyertai World Championships of Performing Arts (WCPA) 2009? Adakah kerana Sarah mahu orang ingat kembali nama Sarah?
Sarah: Sebenarnya Sarah memang mahu sangat ke Amerika Syarikat terutama Los Angeles, dan alhamdulillah impian Sarah tercapai. Sarah masuk pertandingan ini kerana mahu lihat sejauh mana kemampuan Sarah dalam bidang ini. Terbukti selepas pertandingan nama Sarah termasuk dalam antara enam penyanyi terbaik dunia. Pertandingan ini banyak membuka mata Sarah mengenai realiti industri hiburan. Menerusi seminar yang Sarah dan peserta lain sertai, banyak yang kami pelajari terutama dari segi bakat dan pengurusan. Di sini, mereka memang utamakan bakat. Bagi mereka, bakat adalah perkara yang amat penting dan mereka tak kisah dari segi bentuk fizikal atau rupa paras. Bakat menurut mereka, tidak boleh dijual beli atau dibentuk dan ia adalah kurniaan semula jadi dan tak semua orang ada. Dan yang lebih penting Sarah belajar adalah soal pengurusan. Memang banyak bezanya antara pengurusan di sini dan negara kita.
Mungkin orang anggap Sarah bermulut lancang tapi memang Sarah lihat pengurusan di Malaysia ada banyak yang tak kena. Di sini, tugas pengurus mencarikan kerja untuk artis. Itulah tugas utama mereka. Tetapi di Malaysia, dialah pengurus, jurusolek dan lebih menjengkelkan membuat gosip mengenai artis jagaan mereka. Malah, ada pula yang mengarah-arahkan artis walaupun artis itu adalah majikan mereka. Mereka harus tahu artis adalah produk. Di sini, sebelum seseorang itu diterima jadi pengurus, dia akan ditanya terlebih dulu berapa banyak hasil boleh dia berikan kepada artis yang diuruskannya dalam sebulan. Memang agak kasar bunyinya tetapi itulah hakikat sebenar.
Hip:Apakah Sarah yakin boleh buat seperti ini jika kembali ke tanah air nanti?

Sarah: Tak salah kalau ingin mencuba. Sarah lihat ada beberapa pengurus di Malaysia yang mempunyai ciri-ciri yang Sarah sebutkan tadi. Mereka berpotensi dan Sarah akui berminat untuk bekerjasama dengan mereka. Contohnya Vernon Kendit (bekas pengurus Ning Baizura) dan Rohila (pengurus Anuar Zain). Mereka cukup profesional dalam menguruskan artis di bawah jagaan mereka. Sarah ada cita-cita yang ingin dicapai. Selepas menyertai pertandingan ini, Sarah berjumpa dengan ramai orang yang berminat untuk mengembangkan kerjaya seni Sarah di sini (Amerika Syarikat). Tidak mustahil satu hari nanti Sarah akan kembali ke sini dan mengotakan impian itu. Sarah tak gentar dengan cabaran kerana sebelum ini pun sudah banyak berkorban demi kerjaya nyanyian Sarah.
Hip: Sarah sendiri dilihat banyak sekali bertukar pengurus. Apa masalahnya?
Sarah: Selepas abah, Sarah tidak pernah lantik pengurus baru. Kebanyakan mereka yang mendakwa sebagai pengurus Sarah sebelum ini sebenarnya adalah pembantu peribadi saja. Mereka saja yang tak tahu membezakan tugas sebagai pengurus dan pembantu peribadi. Hip: Mengapa Sarah tidak lagi menggunakan khidmat bapa Sarah sebagai pengurus? Apakah kerana isu bapa Sarah berkahwin lain? Sarah: Sarah memutuskan untuk tidak menggunakan khidmat abah sebagai pengurus hanyalah kerana kecewa dengannya. Sarah cuma mahu menguruskan kerja sendiri. Ia juga tidak membabitkan soal peribadi antara kami berdua. Malah, abah sendiri bertanya soal sama dan Sarah sudah jelaskan perkara ini. Soal abah berkahwin lagi, Sarah tidak mahu komen perkara itu. Sarah tidak akan bercerita mengenai hal keluarga kepada umum. Apa yang orang luar perlu tahu adalah antara kami tiada konflik. Dan cerita yang mengatakan abah akan kembali menguruskan Sarah adalah tidak betul sama sekali.
Hip: Sebelum ini, Sarah dikatakan mempunyai masalah sikap tetapi Sarah sudah berikrar untuk berubah. Namun, masih ada cakap-cakap belakang mengatakan Sarah masih Sarah yang dulu.
Sarah: Setakat ini, Sarah tak ada pula mendengar cerita sedemikian. Begitu juga dengan soal disiplin seperti lambat datang sesi fotografi. Cuma, Sarah ingat pernah sekali Sarah datang lewat sesi fotografi kerana masalah trafik. Itupun Sarah sudah maklumkan kepada wartawan berkenaan lebih awal. Selain itu, Sarah rasa semuanya okey saja.
Hip: Sarah masih sendirian? Tidak berniat mahu mencari pengganti?
Sarah: Ya, buat masa ini masih sendirian. Hendak kata mahu mencari pengganti, mungkin ya kerana bagi Sarah bila kita ada seseorang di sisi, kita akan lebih bersemangat dengan apa yang kita lakukan kerana ada yang mendorong. Lagipun buat apa kita nak menipu kata tak mahu mencari pengganti bila tiba-tiba jodoh datang, nanti orang tempelak kita balik kata cakap tak serupa bikin. Namun, segala-galanya terserah pada jodoh. Kalau jodoh dengan lelaki Inggeris, Sarah terima begitu juga kalau ditakdirkan dengan lelaki Melayu, Sarah memilih.

No comments:

Post a Comment