Wednesday, July 22, 2009

Astro Stesen TV No.1 Malaysia

Pelbagai program saluran bahasa Melayu terus catat rating tinggi STESEN TV berbayar Astro rancak mengorak langkah berterusan memastikan hasrat menawan hati pelanggan setianya sentiasa dijaga rapi. Sebagai bukti, menerusi statistik kajian yang dilaksana AGB Nielsen Media Research, baru-baru ini memberi petunjuk terbaik bahawa sambutan baik daripada pelanggan pastinya membuatkan stesen ini tersenyum bangga. Keputusan yang disimpulkan daripada kajian terbabit mendapati lapan saluran berbahasa Melayu di Astro mula menguasai jumlah penonton di negara kita. Perolehan itu membolehkan stesen itu menguasai hampir 50 peratus daripada jumlah kediaman di Malaysia yang memilih melanggan Astro sehingga Jun lalu.
Ia juga jelas menunjukkan aliran terkini penonton saluran Melayu khususnya sudah mula menukar tabiat menonton mereka daripada satu saluran kepada pelbagai saluran yang lebih pelbagai mengikut pilihan dan keinginan masing-masing. Dikecilkan skop statistik yang diperoleh itu, kejayaan Astro disumbang kepada pecahan program drama dan realiti terbitan sendiri. Perkara ini dimaklumkan sendiri Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh pada majlis pratonton Gempak Universe di ibu negara, baru-baru ini. Majlis yang turut mengundang rakan niaga termasuk pihak pengiklan itu selain menghebahkan pencapaian Astro, ia turut dimanfaatkan dengan menghebahkan program baru bakal menemui penonton termasuk program meraikan Ramadan dan Aidilfitri.
“Kekuatan Astro masih pada program realiti. Sebagai contoh dengan kejayaan pertandingan realiti nyanyian nombor satu negara, Akademi Fantasia (AF) yang sudah bersiaran sejak tujuh musim. Sejak bermula lagi, pelanggan Astro menjadikannya pilihan utama untuk ditonton. Selain itu, kita menyajikan Raja Lawak, Jangan Lupa Lirik, Sehati Berdansa dan terbaru, Anak Wayang. “Program drama realiti Gugu Gaga Erra yang memaparkan kehidupan Erra Fazira selepas bergelar ibu turut mendapat rating tinggi biarpun tidak bersandarkan kepada program pencarian bakat. Dalam lapan saluran Melayu 24 jam yang ada, tak dinafikan Astro Ria masih mendapat rating tinggi kerana skop penontonnya lebih luas. “Bagaimanapun, setiap saluran mempunyai segmen penonton tersendiri. Jika dulu kita hanya ada saluran beberapa saluran saja, kini seiring pertambahan jumlah penonton, kepelbagaian saluran yang ada kini mampu memenuhi selera dan keinginan penonton daripada pelbagai lapisan umur,” kata Khairul. Hadir sama ialah Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Bakar dan Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani.
Mengenai slot tayangan drama, ia juga antara tarikan yang membuatkan pelanggan Astro untuk terus kekal tanpa mengalih kepada stesen TV lain. Drama Mertua VS Menantu yang disiarkan dalam slot Primawara di Astro Prima juga berjaya meraih purata 2.7 juta penonton pada setiap minggu, malah episod akhir drama musim pertama itu turut meraih bilangan penonton ramai.
Astro Oasis sediakan program Ramadan lebih awal Pencapaian itu memberi semangat kepada semua saluran Astro berbahasa Melayu untuk terus menghidangkan pilihan program dan hiburan hebat untuk penonton atau pelanggannya. Menurut Khairul Anwar, Astro sentiasa membuat kajian untuk mengisi ruang kelemahan yang ada termasuk membuka peluang kepada bintang realiti kelahiran mereka. “Bagi penggal yang akan datang, beberapa drama baru bakal disusun di saluran Melayu Astro ini. Antaranya, drama muzikal ala High School Musical dan filem Grease iaitu Kau & Aku. Pelakon yang terbabit kebanyakannya adalah bintang AF seperti Mila, Aril, Akim dan ramai lagi. Drama ini disadur daripada format sebuah drama luar negara dan mendapat kerjasama produksi Indonesia. “Drama ini sebagai bukti Astro memberi sokongan kepada graduan pelajar AF. Bahkan, ia mungkin menjawab persoalan sesetengah pihak mengenai hala tuju pelajar AF sendiri. “Memang sejak dari dulu pun kita pernah menerbitkan drama Akademi membabitkan pelajar AF. Daripada pengalaman kita belajar, malah saya akui ada perancangan dibuat menjadi dan begitulah sebaliknya,” jelas Khairul Anwar. Selain itu, ada barisan tajuk drama baru seperti Belalang, Segunung Harapan, Cinta Sempurna, Senja Hight dan siri animasi Mat Kacau. Malah, dengan memperkenalkan pakej Astro Mustika merangkumi Astro Citra, Warna dan B4U, Astro terus memandang hadapan dengan menawarkan perkhidmatan terbaik dari semasa ke semasa. Sementara itu, Izelan pada majlis sama berkata, kejayaan saluran Melayu Astro ini sebagai dasar untuk terus memastikan saluran di bawah pengurusannya iaitu Astro Oasis terus berkembang maju. Astro Oasis mencipta kejayaan apabila berjaya memenangi kategori Best Halal Related Services Provider pada Halal Journal Awards 2009. Pada Aidilfitri ini genaplah usia dua tahun penubuhan saluran Oasis. Sempena Ramadan nanti, Oasis giat memastikan kandungan program istimewa sebagai usaha menarik perhatian penonton. “Insya-Allah, Ramadan nanti diharap akan terus menjadi bulan kejuaraan buat saluran kami. Kita akan memulakan program bulan puasa beberapa minggu lebih awal iaitu sebulan sebelum Ramadan lagi. “Seperti lazimnya, kita akan adakan majlis tadarus dan bacaan al-Quran. Dalam drama Cinta Sempurna, penyanyi Yuna turut tampil sebagai cameo. Sebuah drama bersiri Arab yang cukup menginsafkan juga bakal disiarkan,” kata Izelan.

No comments:

Post a Comment