Thursday, July 9, 2009

Khairul Pilihan Elyana-Bertunang 11 Julai

Penyanyi, pelakon berbakat bertunang Sabtu ini dalam majlis ringkas di sebuah restoran di Bangsar
MEMILIH jalan bahagia di antara persimpangan memuaskan hati sendiri dan orang lain, mungkin antara keputusan yang sukar perlu dibuat penyanyi dan pelakon, Elyana, 22. Bagaimanapun, pemilik bernama penuh, Erneelya Elyana Emrizal sedar kematangan dan keyakinan diri melebihi usia sebenarnya sudah mampu menjadi titik tolak kepada apa yang ingin dilakukan pada hari mendatang.
Apa yang dimaksudkan Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002 itu ialah merujuk kepada fasa kehidupan yang sedang dilaluinya. Mengenali hati budi sudah dan bercinta pun sudah, kini tiba waktunya untuk dia bergelar tunangan kepada Khairul Anuar Hussin, 34.
Ketika ini dia begitu berdebar-debar menanti detik majlis pertunangan yang dirancang pada 11 Julai ini di restoran Jeumpa D’Ramo, Jalan Maarof, Bangsar. Namun, kalau mengikut perancangan awal, mahu saja majlis itu diadakan bersempena tarikh hari lahirnya, 5 Julai lalu dan semestinya gelaran tunang itu sudah dipegangnya. Perancangan itu tidak dapat dilaksanakan kerana pada tarikh terbabit ibunya sedang mengikuti kursus haji. “Perasaan saya kini bercampur baur, takut pun ada. Sedar atau tidak, saya akan melalui alam baru dalam kehidupan. Harapnya majlis itu nanti akan berjalan lancar dan seadanya. Inilah kemuncak pertama dalam tingkat hubungan kami. Saya sememangnya sudah bersedia ke arah ini dan inilah yang saya tunggu selama ini.
“Apa yang saya harapkan sekian lama akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Orang selalu cakap dugaan masa bertunang ini memang maha hebat. Bagi saya, setiap langkah kehidupan kita sering diuji dan tak lepas diduga. Saya sudah bersedia untuk menghadapinya,” kata Elyana. Menurut penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu itu, majlis pertunangan dibuat seringkas mungkin dan hanya dihadiri keluarga terdekat dan kawan. Katanya yang bakal melaram busana rekaan pereka fesyen kegemaran, Zery Zamry, majlis itu masih mengekalkan kemanisan tradisi orang Melayu dan diadun dengan gaya kontemporari yang menyerlah sisi kematangan dirinya. “Konsep saya serahkan bulat-bulat kepada pakar majlis perkahwinan, Datin Lynda Rahim. Malah, dia turut sudi menaja majlis saya pada hari itu. Saya turut mencetuskan sedikit idea kepadanya dan kami gabung jalinkan untuk kebaikan bersama. Kalau nak tahu lebih lanjut, kenalah datang majlis saya.
“Saya hanya dapat katakan majlis itu nanti sedikit berbeza daripada majlis pertunangan yang lazim dilakukan sebelum ini. Begitu juga dengan busana yang bakal saya gayakan nanti. Pemilihan Zery Zamri juga dibuat kerana kerjasama kami yang terjalin sekian lama. Zery tahu apa cita rasa saya,” katanya yang akan disolek jurusolek artis popular, Saidatulnisa. Belum menetapkan berapa lama tempoh pertunangan bakal berjalan, pelakon drama Renjis itu turut melahirkan rasa gembira kerana kata sepakat yang dicapai ini bukan hanya datang daripada dirinya saja, sebalik Khairul turut menunjukkan kesungguhan dan setia menyokong dari belakang. “Perkenalan dan percintaan kami selama tiga tahun lebih mungkin banyak membantu kami untuk seia sekata. Keserasian itu terbit tanpa perlu dipaksa atau dibuat-buat. Malah, kami berdua memang bersungguh-sungguh dan berusaha untuk ke arah yang lebih baik (perkahwinan). “Dia (Khairul) pun tak lepas tangan, malah banyak membantu pihak keluarga saya melunaskan kerja dan persiapan majlis ini. Harapnya peminat saya akan mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan kami. Saya juga yakin peminat juga sudah mulai bijak untuk menilai di antara bakat dan status diri,” katanya tulus. Ditanya mengenai impian dan konsep perkahwinan yang diingini, Elyana belum mempunyai jawapan pasti kerana hal itu masih terlalu jauh untuk difikirkan. “Kalau dulu zaman remaja, macam-macam konsep dan gaya perkahwinan yang saya idamkan. Namun, seiring dengan peningkatan usia, cita rasa itu lama kelamaan berubah. Pernah dulu saya teringin memakai gaun pengantin gothic, tapi mungkin gaya itu sudah tidak sesuai dengan saya yang semakin hari semakin matang,” katanya yang banyak dibantu rakan baiknya, Hairie hingga dilantik sebagai ketua majlis hari pertunangannya. Sementara itu, ibu Elyana, Shamsidar Alias sedar apa yang bakal dilalui anaknya itu seiring dengan matlamat hidup yang ingin dicapainya. “Saya percaya setiap hubungan percintaan mana-mana insan di muka bumi ini pastinya diharap berakhir dengan ikatan perkahwinan dan kekal bahagia selama-lamanya. Begitu juga dengan Nana (panggilan kepada Elyana). Ini semua adalah keputusan Nana dan kami sekeluarga menghormati serta merestuinya. “Biarpun saya tahu dan sedar, ramai yang beranggapan Nana masih terlalu muda untuk melalui ini semua. Sudah nama pun jodoh dan inilah kuasa Tuhan yang tak mampu kita halangi lagi. Saya tidak boleh berkata apa lagi, melainkan mendoakan kebahagiaan dan jodoh mereka terus berkekalan,” kata Shamsidar. Mengenai bakal tunang anaknya, Shamsidar berharap Khairul akan dapat menjaga Nana sebaik mungkin ketika melalui alam pertunangan. “Setakat ini, saya nampak dia (Khairul) sangat baik terhadap Nana. Dia pun sayang kami sekeluarga. Nampak keikhlasan dan tanggungjawabnya untuk menjaga Nana. Semoga ikatan pertunangan ini akan berakhir dengan baik. Insya-Allah,” kata Shamsidar

No comments:

Post a Comment