Thursday, October 15, 2009

Ujibakat Raja Lawak 4 Bermula

SELEPAS melahirkan juara pelawak ala kampung, Yus, pelawak remaja alaf baru, Nabil dan pelawak yang diibarat kelahiran semula tiga sahabat dalam filem Seniman Bujang Lapok, Sepah, program realiti yang mencari pelawak pelapis, Raja Lawak bakal memasuki musim ke empat tidak lama lagi. Program Raja Lawak musim keempat yang akan mula disiarkan stesen televisyen rasmi, Astro Prima pada 26 November ini sedang rancak menyediakan persiapan yang kini memasuki peringkat uji bakat bermula 17 Oktober ini sehingga 15 November depan di lima zon Timur, Utara, Selatan, Tengah dan Sabah. Pencarian bakat baru ini dilihat lebih mencabar apabila juara yang bakal dinobatkan dalam tempoh 10 minggu bermula tarikh pertama siarannya menepati pelbagai pakej dalam bidang seni dan penyiaran.
Pengurus Saluran Prima, Nizam Sani berkata, sasarannya kini melahirkan pelawak yang mempunyai pakej agar dapat mengisi kekosongan pelbagai program terbitan Astro tidak lama lagi. “Astro mempunyai platform yang cukup kukuh untuk artis keluarannya. Tahun ini kita mencari bakat pelawak yang mempunyai pakej bukan saja pandai berlawak tetapi mampu mengawal pelbagai situasi apabila berada di pentas. “Selepas tiga musim program ini berjalan, saya dapati sambutan semakin meningkat. Kita sedar program ini mempunyai pengikut yang cukup ramai dari pelbagai kaum.
“Buat pertama kalinya, program ini akan ke negeri Sabah untuk mengadakan uji bakat kerana kita menerima permintaan yang tinggi daripada penduduk sana. Biarpun masih mengekalkan konsep, namun program kerjasama Astro dan Homegrown akan memperkenalkan tiga juri baru. “Bagi melahirkan bakat pelawak yang menepati pakej yang ingin kita lahirkan, kami turut mendapat kerjasama tiga selebriti popular tanah air yang bakal mengubah program ini lebih meriah iaitu pelakon dan pengarah Afdlin Shauki, penyampai radio, Din Beramboi dan pengacara TV, Bob Lokman yang juga dilantik sebagai juri tetap setiap minggu. “Kami memilih kombinasi juri ini sebagai pilihan terbaik dan percaya kredibiliti mereka mampu mengangkat hiburan komedi ke satu peringkat yang lebih tinggi. Pengalaman mereka dalam bidang seni juga adalah satu bonus dalam memberi hujah kritikan yang bernas setiap minggu,” katanya. Menurut Afdlin, kesempatan yang diberi untuk terbabit sama dalam program ini sebagai membantu bakat baru untuk dijadikan pelapis pelawak yang sedia ada.

“Sebenarnya sejak Raja Lawak musim kedua lagi saya ditawar Astro untuk terbabit sama tetapi jadual yang padat membuatkan saya menolak secara baik. Nampaknya mereka tidak serik untuk memanggil saya sekali lagi menyebabkan saya tidak ada pilihan. Lebih-lebih lagi gandingan seperti Din Beramboi dan Bob Lokman membuatkan saya lebih bersemangat untuk turut serta,” katanya. Afdlin juga tidak mempunyai masalah untuk menarik sesiapa saja peserta yang berbakat untuk terbabit sama dalam projek filem selepas ini. “Ini juga memberi peluang untuk melihat peserta yang berbakat untuk terbabit sama di dalam pembikinan filem saya selepas ini. Saya berharap mereka cuba mencari kelainan di dalam bidang lawak ini agar mudah untuk dikesan,” katanya lagi. Bagi Bob Lokman pula, sejak musim pertama lagi, program ini tidak pernah terkecuali ditontonnya memandangkan lawak adalah sebahagian daripada terapi dirinya. “Saya tidak pernah terkecuali menonton program ini. Bagi saya lawak adalah lakonan individu. Sepanjang pengamatan saya, peserta yang tidak dapat memberi penghayatan dalam lawaknya adalah disebabkan dia tidak boleh membalas situasi yang sedang dia hadapi. “Bukan semua peserta yang terkeluar itu tidak bagus, tetapi tidak dapat membiasakan diri dengan situasi yang sedang dihadapi membuatkan dia tidak mampu memberikan lawak yang spontan,” katanya yang menasihatkan peserta agar harus ada keberanian dan keyakinan dalam diri. Lokasi dan Tarikh uji bakat 17 & 18 Oktober - Plaza Kota Raya, Johor Bahru24 & 25 Oktober - Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang31 Oktober & 1 November - Megamall, Kuantan, Pahang7 & 8 November - Plaza Alam Sentral, Shah Alam.14 & 15 November - One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah.

No comments:

Post a Comment