Wednesday, October 14, 2009

Aznil Kagumi DJ 'Otai'

UMUM mengetahui figura unggul ini antara selebriti tempatan yang memiliki bakat yang cukup luar biasa. Semua bidang pernah dicubanya baik dalam dunia lakonan, nyanyian dan juga pengarahan filem sehingga dia pernah menerima kritikan hebat.
Namun kritikan dan hentaman bukanlah satu halangan dan langsung tidak menjadi kudis buat Aznil Nawawi untuk terus memperkukuhkan legasi seninya.
Sepanjang hampir dua dekad bergelar anak seni, bidang pengacaraan diakui berjaya meletakkan namanya di puncak yang paling tinggi sehingga dia layak menerima gelaran pengacara nombor satu negara.
Selain mempamerkan kehebatannya di pentas sebagai pengacara, Aznil juga tidak kurang hebatnya sebagai seorang penyampai radio di Era FM.
Sudah hampir empat tahun menggalas tanggungjawab itu, populariti yang dikecapinya ternyata memberi impak yang besar buat stesen radio itu.
Mungkin ramai yang tidak tahu, hubungan Aznil dengan gelanggang penyampaian radio bukanlah baru.
Tugas pertama beliau ialah di stesen radio Red FM selama dua tahun bermula tahun 1997 hingga 1999. Ketika itu, dia mengendalikan rancangan Hip Hop Remaja yang ke udara pada setiap hari Sabtu.
Apa yang uniknya, Aznil tidak memiliki sebarang pendidikan khusus untuk menjadi penyampai radio seperti mana sesetengah penyampai yang mempunyai latar belakang dalam bidang komunikasi dan penyiaran.
Sebaliknya, lulusan ekonomi dari Universiti Malaya (UM) ini belajar daripada pengalaman, pendengaran serta pemerhatiannya daripada tiga orang penyampai radio terdahulu yang amat dihormatinya.
Untuk itu, Mega menunaikan permintaan Aznil yang mahu digandingkan dengan tiga deejay 'otai', Chuari Selamat, Noramin dan Sazali Said dalam satu sesi fotografi istimewa yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Rona bahagia dan gembira terpancar jelas pada wajah selebriti yang tidak makan tua itu sebaik menghulur tangan dan berjabat mesra dengan tiga personaliti yang diangkatnya sebagai idola itu.
Harus diakui, kehebatan Chuari, Noramin dan Sazali sebagai penyampai radio sudah termaktub sebagai antara yang terbaik dan memiliki kualiti serta gaya persembahan yang tersendiri.
Seorang lagi penyampai, Zainaldin Zainal juga merupakan seorang lagi idola Aznil. namun, atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan, Zainaldin tidak dapat turut serta.
"Mereka bertiga ini sebenarnya telah memberikan impak yang besar dalam kerjaya seni saya terutama dalam bidang radio.
"Saya banyak belajar daripada mereka untuk membentuk diri saya menjadi seorang penyampai radio yang baik dalam situasi yang berbeza," ujar personaliti yang genap usianya 47 tahun pada 6 November depan.
Ketiga-tiga mereka dari kaca mata Aznil memiliki kelas dan berada di liga tersendiri.
Vokal unik Chuari
Satu yang pasti kata Aznil, kehadiran Chuari telah membuka matanya bahawa untuk menjadi seorang penyampai radio tidak seharusnya memiliki suara yang tebal dan garau.
Chuari telah membuktikan bahawa dengan suara nipis dan halusnya itu membuatkannya dikenali ramai, terutama sekali jika beliau mula berpantun.
"Itu yang buat saya kagum dengannya kerana apabila dia membaca pantun, kedengaran sungguh sedap sekali.
"Saya masih ingat lagi sekitar tahun 1984 apabila saya menjemput Chuari untuk satu pertandingan berbalas pantun sewaktu menuntut di Universiti Malaya (UM).
"Kerana terlalu minat dengannya, saya hanya duduk memerhatikan cara dia bekerja. Satu lagi kelebihan yang ada pada Chuari ialah dia begitu spontan sewaktu bekerja," kata Aznil yang juga kagum dengan semangat serta dedikasi yang dimiliki oleh Pengawal Radio Klasik Nasional itu.
Tambahnya, kelebihan yang dimiliki Chuari itulah yang diterapkan Aznil sewaktu berada di konti saat berkomunikasi dengan pendengar.
Gelombang baru Noramin
Sementara itu, kehadiran Noramin dalam bidang penyiaran radio telah membawa satu gelombang baru yang pantas diterima dengan cukup baik oleh pendengar ketika itu.
Masakan tidak, menurut Aznil, sebelum ini penyampai radio begitu menjaga tutur kata dan adab sewaktu menyampaikan maklumat.
Tetapi, Noramin telah memecah tradisi itu dengan menjadikan radio sebagai medium yang cukup ceria, menarik dan menghiburkan.
"Dulu kalau tak dengar suara Noramin, saya bagai hilang sesuatu dan tidak lengkap rasanya hari-hari saya.
"Noramin berjaya mewujudkan identiti serta membuka minda saya bahawa kita perlu menjadi diri kita sendiri apabila berada di konti.
"Hanya dengan cara itu, pendengar akan berasa selesa dan kita sebagai penyampai radio juga akan menjadi dekat dengan pendengar," ujarnya yang merupakan pendengar setia Radio Malaysia Ibu Kota (RMIK) ketika itu.
Jika Chuari dan Noramin menjadi guru Aznil hanya melalui pendengaran dan pengamatan, lain pula halnya dengan Sazali.
Cerita Aznil, dia sempat menjalani sesi orientasi selama dua minggu selama tiga jam sehari hanya untuk melihat dan mengamati cara Sazali bekerja sewaktu di Red FM.
Daripada situ, Aznil mengutip pengalaman dan ilmu pengetahuan terutama sekali bagaimana hendak berkomunikasi dengan pendengar serta pemanggil agar mereka menjadi lebih dekat dengan kita.
"Sazali melayan pendengarnya seperti seorang kawan yang sudah lama dikenalinya. Jadi, saya lihat pendengar menjadi mesra dan atmosfera itu menjadi lebih intimasi.
"Kelebihan yang ada pada Sazali juga adalah kecekapannya mengendalikan sistem komputer yang baru sahaja diperkenalkan ketika itu.
"Bukan itu sahaja, cara dia bergurau juga cukup bijak. Apabila kita ke udara, ada kalanya nada suara kita itu mampu disalah tafsir sedangkan kita tidak berniat apa-apa pun," tuturnya bersungguh.
Aznil versatil - Sazali
Ternyata Sazali tidak dapat menyembunyikan perasaannya saat diberitahu Aznil mengangkatnya sebagai salah seorang idolanya.
Malah Sazali dengan penuh jujur memberitahu, dia juga menganggap Aznil sebagai mentornya dan banyak yang dipelajarinya daripada pengacara unggul itu.
Kehebatannya cukup terserlah sehinggakan dia mampu membawa dirinya dengan baik baik menerusi televisyen mahupun radio.
"Dia sungguh bersahaja dan bijak mengawal situasi serta keadaan. Itu kelebihan yang ada pada diri dia.
"Aznil juga merupakan contoh terbaik kepada anak-anak muda yang mahu menjadikan bidang pengacaraan dan penyampaian radio sebagai kerjaya," katanya yang berkhidmat dengan RTM selama 15 tahun dari 1982 hingga 1987.
Sazali yang mengendalikan rancangan Pupok dan Tutu di Radio 1 bermula tahun 1983 selama lima tahun sempat menitipkan nasihat dan pesanan buat mereka yang meminati bidang penyiaran radio.
Jelasnya, untuk menjadi penyampai radio yang baik seseorang itu juga perlu mempunyai sense of humour selain petah berkata-kata.
"Kita mahu pendengar rasa terhibur dengan celoteh kita dan dengan cara itu, mereka tidak akan cepat berasa bosan," ujarnya yang kini mengendalikan unit berita dan ehwal semasa di stesen radio Suria FM.
Aznil ada gaya tersendiri - Chuari
Bagi Chuari pula, beliau mula mengenali Aznil pada 1984 sewaktu penyampai radio Era itu masih menuntut di UM.
Terlibat dengan satu program berbalas pantun antara Radio Malaysia Rangkaian Nasional dan UM, Aznil ketika itu, jelasnya, merupakan salah seorang ahli jawatankuasa program berkenaan.
Aznil dari kaca mata Chuari merupakan seorang lelaki yang bersemangat tinggi dan begitu komited dengan kerja.
"Saya kagum dengan kebolehan dia. Aznil mempunyai kebolehan untuk menguasai penonton dan mampu menghiburkan orang di semua peringkat.
"Paling penting, Aznil cukup peramah dan tidak sombong serta tidak lokek untuk berkongsi ilmu,'' katanya.
Chuari yang sudah 37 tahun berkhidmat di sektor radio berkata, Aznil memiliki gaya tersendiri dan lawak yang dipersembahkan semasa bertugas di konti merupakan lawak pintar.
Menasihatkan penyampai-penyampai radio lain menjadikan Aznil sebagai contoh, jelasnya, mereka harus ada daya usaha untuk menambah ilmu agar cara penyampaian lebih bertambah berkesan.
"Seperkara lagi, jika bercakap di hadapan mikrofon, tidak perlulah terjerit-jerit. Cakap seperti biasa sahaja.
"Kami dahulu cukup ditegah menjerit," jelasnya yang sehingga kini masih aktif mengendalikan rancangan khas malam raya sempena Aidilfitri biarpun sudah bergelar 'orang atasan' dalam Klasik Nasional.
Tiga faktor kekuatan Aznil
Dalam pada itu, Noramin yang cukup popular dengan program bahasa Jepun Moshi-Moshi di RMIK suatu ketika dulu berkata, kejayaan yang ditempa Aznil sebagai penyampai radio dan pengacara boleh disandarkan kepada tiga faktor.
Beliau yang juga pensyarah di Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR) berkata, tiga faktor tersebut ialah apa yang dinamakan sebagai akademik, kosmetik dan kreatif radio.
Untuk akademik radio, jelasnya, Aznil diakui mempunyai pengetahuan radio dan dasar penyiaran serta etika penyampaian yang tinggi.
Begitu juga kepada kosmetik radio, Noramin memberitahu, bahawa kebanyakan penyampai radio atau pengacara tidak memiliki faktor ini.
"Melalui kosmetik radio, Aznil mampu menjadi satu 'produk' yang jangka hayatnya panjang. Dia pandai memikirkan sesuatu yang baru bagi membolehkan namanya kekal bertahan sepanjang masa.
"Penyampai lain bagus tetapi mereka sekadar bertindak sebagai pengantara sahaja. Ramai yang tidak ada asas penyiaran. Sejarah radio pun mereka tidak tahu.
"Terakhir sekali, faktor kreativiti. Saya melihat Aznil sebagai seorang yang cukup kreatif dan memiliki tahap waspada serta peka yang baik ketika bertugas," katanya.
Menurut Noramin, unsur-unsur populariti dan imej juga menjadi faktor sampingan untuk membolehkan seseorang itu relevan dalam apa sahaja tugasan yang dipertanggungjawabkan.

No comments:

Post a Comment