MELODI Seribu Tahun berjaya memperkenalkan lelaki ini ke persada seni muzik tanah air hampir tiga tahun lalu. Berbekalkan irama yang indah serta liriknya yang menyentuh perasaan membuatkan nama si penyanyi, Imran Ajmain kian diingati peminat. Dan bermula dari situlah, kerjaya seni penyanyi yang berasal dari Singapura ini terus berkembang sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara penyanyi dari luar yang berjaya menempa nama di Malaysia. Bukan saja mempunyai bakat sebagai penyanyi tetapi penyanyi tinggi lampai ini juga berkebolehan mencipta lagu. Malah, untuk album keduanya yang berjudul Punca dan Tindakan, kebanyakan lagu yang dimuatkan dalam album itu adalah hasil tulisannya sendiri. Antara lagu yang semakin mendapat perhatian di corong radio adalah Selamat Ulang Tahun Sayang dan Jika Kau Pergi, yang juga menjadi lagu tema untuk drama bersiri Yusof, yang disiarkan di saluran TV3.
Namun, di sebalik bakatnya yang bervariasi itu, timbul juga cakap-cakap belakang yang mengatakan Imran sebenarnya tidak boleh menyanyi. Malah ada juga yang menyarankan jejaka berkulit putih melepak ini supaya berhenti menyanyi dan menumpukan sepenuh perhatiannya dalam bidang penciptaan lagu. “Saya juga tahu yang ada orang mengatakan suara sengau. Dakwaan itu memang saya tak boleh terima dan saya tak rasa suara saya sengau. Saya akui suara saya memang tak sehebat penyanyi lain. Jadi apa yang saya lakukan adalah kebanyakan lagu yang saya cipta untuk nyanyian saya sendiri, adalah bersesuaian dengan vokal saya,” jelas Imran ketika ditemui pada majlis rumah terbuka dan pelancaran klip video Selamat Ulang Tahun Sayang dan Jika Kau Pergi di Red Box The Gardens, MidValley City, baru-baru ini. Kata Imran lagi, dia bersyukur kerana dalam pada ada yang mendakwa kononnya dia tidak boleh menyanyi namun masih ada juga peminat yang menggemari lagu nyanyiannya.

Jika dulu ke mana saja langkah Imran pasti akan diiringi pengurusnya Aszuad. Pun begitu sejak kebelakangan ini, kelibat Imran sering kelihatan berseorangan. Ada ‘angin lintang’ membawa perkhabaran kononnya Imran dan Aszuad kini tidak lagi sehaluan membuatkan kerjasama antara mereka tidak dapat diteruskan. “Sebenarnya Aszuad sudah tidak menguruskan saya sejak April lalu. Buat masa ini saya lebih senang menggunakan khidmat pembantu peribadi (PA) saja. Kalau ada apa-apa urusan rasmi, saya menggunakan khidmat Metadome kerana saya sekarang bernaung di bawah syarikat rakaman itu. Saya tahu apabila saya tidak bersama dia, ramai yang mengatakan saya dan dia bergaduh atau bermasam muka. ”Keputusan yang kami ambil ini dibuat secara profesional dan hubungan kami masih baik. Malah dia ada mengundang saya untuk menyaksikan persembahan sebuah kumpulan dari Indonesia. Apa yang boleh saya katakan, kami tidak lagi bekerjasama kerana haluan kami sudah berbeza. Rasanya lebih baik saya uruskan sendiri. Secara tidak langsung, saya belajar selok belok dalam industri ini. Senang nanti apabila saya mahu menguruskan sendiri kerjaya nyanyian saya,” katanya yang menjadikan penyanyi Ning Baizura, yang ketika ini menguruskan sepenuhnya kerjaya seninya sebagai contoh terdekat. Mengulas pembikinan klip videonya yang berkonsepkan 1Malaysia itu, Imran berkata apa yang dipaparkan itu adalah ideanya sendiri. “Untuk klip video Selamat Ulang Tahun Sayang, kami hasilkan klip video itu berdasarkan inspirasi kepada hasil kerja Allahyarham Yasmin Ahmad. Klip video ini mempunyai jalan cerita dan pendekatan yang pernah diambil arwah dalam setiap filem arahannya. Kira ini adalah penghargaan kami terhadap hasil kerjanya selama ini. Begitu juga dengan lagu Jika Kau Pergi. Saya juga suka dengan klip video ini kerana konsepnya yang agak klasik dan menggunakan kesan khas, selain jalan ceritanya yang menarik,” kata Imran mengenai klip video yang kedua-duanya diarahkan Shegar dari Eye Design.

No comments:
Post a Comment