Tuesday, October 13, 2009

Dua Wanita Pisau Cukur

Itu hanya dari segi luaran, hakikatnya, Maya dan Fazura mampu hidup selesa hari ini dengan mempertaruhkan bakat besar mereka dalam bidang seni. Namun, siapalah mereka untuk menghalang cakap-cakap negatif orang di luar sana ?Kata Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke, 29, sebelum bergelar selebriti, dia mengakui pernah berkawan dengan anak orang berada."Saya pernah 'berdating' dengan lelaki kaya ketika masih belajar dulu. Ketika itu, saya masih muda remaja. Sebenarnya, saya tertarik dengan personalitinya yang menarik dan bukan harta dan wang ringgitnya. Saya juga tahu, saya berkawan dengannya ikhlas dan memang bukan ke arah itu. "Tapi, saya hanya berkawan dengannya selama dua tiga bulan saja kerana berasa takut dengan diri sendiri jika ada orang menganggap saya gadis pisau cukur yang mengikis duit lelaki kaya. Pada masa sama, saya juga bertanya pada diri sendiri, kenapalah si dia itu kaya sangat dan bukan di kalangan orang biasa saja?," katanya. Secara peribadi, kata Maya yang kini sudah lebih setahun bergelar isteri, dia juga memandang serong terhadap 'wanita pisau cukur' atau dalam bahasa Inggerisnya 'gold digger' ini ketika usia masih muda dan remaja. "Sebenarnya, saya tidak setuju gadis muda menjadi pisau cukur untuk menjalani hidup mewah. Namun, apabila usia meningkat dewasa, saya lebih faham dengan situasi mereka atau kenapa mereka memilih jalan hidup sedemikian."Tidak dinafikan, ramai gadis muda sekarang yang mengejar lelaki kaya untuk hidup mewah. Saya memang tidak setuju jika mereka memilih cara hidup seperti itu. Bagaimanapun, itu adalah jalan hidup yang mereka pilih dan tiada kaitan dengan hidup saya. Siapalah saya untuk menghalang mereka memilih jalan hidup seperti itu?," katanya. Kata Maya, dia memang tidak boleh terima jika wanita pisau cukur yang berkahwin dengan orang kaya, tetapi berlagak sombong selepas hidup senang lenang."Lebih teruk lagi, wanita pisau cukur yang hidup mewah itu tidak sedar diri dan asal usul mereka. Saya juga lebih menghormati wanita yang hidup mewah kerana usaha dan titik peluh mereka sendiri dan bukan menumpang kesenangan orang dengan mengikis harta mereka," katanya. Terus terang, kata Maya, ketika ditawarkan berlakon dalam Pisau Cukur, dia memang terkejut sedikit kerana bimbang dengan tanggapan serong orang kepadanya selepas ini.
"Tapi apabila mendapati watak Bella sangat menarik, saya terus menerimanya. Watak Bella yang mengada-ngada dan kelakar ini memang jauh berbeza daripada karakter sebenar saya dan watak itu lebih ringan berbanding beberapa filem saya yang terdahulu," katanya.
Maya juga berkata, ini gandingan julung kalinya dengan Fazura yang pernah mengungguli Pelakon Harapan pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-17. Pada mulanya, saya bimbang juga untuk bergandingan dengannya kerana dia pelakon muda yang berbakat besar."Tapi selepas kami bekerjasama dalam filem ini ternyata memang ada keserasian antara kami berdua. Apa yang penting, kami saling menghormati antara satu sama lain dan saling membantu di lokasi penggambaran. Kami juga sering berbincang dan berkongsi idea untuk memantapkan prestasi lakonan sedia ada," katanya. Jika Maya takut jika dirinya disalah anggap sebagai wanita pisau cukur, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 26, pula mengakui sudah lali dengan cakap-cakap orang yang menganggap dirinya wanita yang mengejar lelaki kaya, sejak dulu."Secara peribadi, pada pandangan saya, wanita pisau cukur adalah isu sensitif untuk diperkatakan orang. Apapun, ia terpulang pada individu itu sendiri kerana setiap orang mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara ini."Sebelum bergelar artis, memang ada orang yang menganggap saya mengejar lelaki kaya untuk hidup mewah. Secara peribadi, saya tidak pernah peduli dengan cakap-cakap orang pada saya selama ini," katanya. Apapun kata Fazura, dia tidak faham kenapa apabila seseorang selebriti yang memakai jenama mewah atau jam mahal pasti orang menganggap ada pihak yang menajanya. "Tidak cukup dengan itu, apabila seseorang selebriti itu memakai kereta mewah, orang juga menganggapnya dia ditaja Datuk atau perempuan simpanan VIP. Apa, mereka fikir artis kita ini sengkek (tidak berduit) sangat ke?," katanya. Mengenai lakonannya sebagai Intan dalam Pisau Cukur, kata Fazura, dia terima tawaran berlakon filem itu kerana ada kelainan."Saya memang rindu untuk berlakon filem lagi. Apabila berlakon, saya juga berpeluang menjadi orang lain. Watak Intan juga sangat berbeza daripada yang pernah dilakonkan sebelum ini."Intan wanita matang yang mengetahui apa yang dimahukannya dalam hidup. Seperti wanita muda lain, Intan juga ingin hidup senang-lenang. " katanya.Fazura berkata, dia juga sudah biasa bekerja dengan Red Communications Sdn Bhd termasuk berlakon dalam siri Gol & Gincu, sebelum ini."Apabila ditawarkan berlakon cerita ini, saya tidak dapat menolak tawaran itu kerana percaya dengan kredibiliti mereka. "Jika Red Communications buat drama atau filem, ia memang sesuatu yang menarik. "Saya juga memang suka watak Bella kerana ia cukup istimewa dan menyerlahkan lakonan saya.Buat peminat di luar sana, ia adalah lakonan terbaik saya setakat ini," katanya. Fazura berkata, dia juga membuat persediaan lengkap sebelum berlakon filem itu. "Watak Intan juga menggambarkan karakter sebenar wanita pisau cukur itu sendiri. Bagi menjiwai watak ini, saya juga membuat kajian mengenainya dengan menonton siri popular seperti Sex & The City dan Ugly Blonde," katanya. Ditanya gandingannya dengan Maya, kata Fazura, mereka memang mempunyai keserasian untuk bekerjasama dalam filem itu."Saya suka berkawan dengan Maya kerana dia mempunyai sikap yang sama seperti saya iaitu tidak hipokrit dan dia juga pelakon yang hebat," katanya.Filem komedi terbaru arahan Bernard Chauly dan diterbitkan Red Communications Sdn Bhd ini turut dibintangi Aaron Aziz, Eizlan Yusof, Redza Minhat, Khatijah Tan, Umie Aida, Sharifah Sofia, Liyana Jasmay dan Nas-T.Cerita ini mengisahkan dua gadis pisau cukur, Intan dan Bella yang juga terperangkap di atas sebuah kapal percutian mewah. Intan dan Bella juga bertembung dengan tiga Datuk, tiga isteri Datuk, dua anak Datuk, seorang detektif dan seorang peminat setia Bella dalam kapal itu. Siapakah yang memburu dan siapa pula diburu dalam pelayaran penuh kejutan dan kelucuan ini? Pisau Cukur akan menemui penonton di pawagam bermula 5 November ini.
>Profil
NAMA SEBENAR: Maya Karin Roelcke
TARIKH LAHIR: 29 Oktober 1979
TEMPAT LAHIR: Bayreuth, Bavaria, Jerman
STATUS: Berkahwin
PROFESION: Pelakon, Penyanyi, Model, Pengacara
SUAMI: Muhammad Ali @ Steven Shorthose
FILEM: No Problem, Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum SundalMalam II, Mr Cinderella 2, Tujuh Perhentian, Waris Jari Hantu, AnakHalal, 1957: Hati Malaya, Duyung, Punggok Rindukan Bulan, Pisau CukurALBUM: Erti Cinta, Bukan Qalamaya
PENCAPAIAN: Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001(ABPBH2001), Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka Jepun (2004), Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona Malaga Sepanyol (2005), Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH2005, Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Ke-6 dan Pelakon Wanita Terbaik FFM21.
NAMA SEBENAR: Nur Fazura Sharifuddin
TARIKH LAHIR: 27 September 1983
TEMPAT LAHIR: Pekan, Pahang
STATUS: Bujang
PROFESION: Pelakon, Pengacara, Model
FILEM: Bicara Hati, Senario XX, Qaisy & Laila, Gol & Gincu, Kayangan,Selamat Pagi Cinta, Kantoi, Pisau Cukur
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Terbaik FFM17

No comments:

Post a Comment