Tuesday, October 13, 2009

Sinar Fm Bukan Untuk Org Lama Sahaja

SEMUA sememangnya sedia maklum yang Sinar FM merupakan stesen radio swasta tempatan yang banyak memainkan lagu-lagu lama.
Persepsi orang, apabila sesebuah radio memainkan lagu-lagu yang retro dan klasik, maka pendengarnya juga terdiri daripada golongan yang membesar dengan lagu-lagu sebegitu.
Namun hakikatnya, Sinar FM bukan sahaja didengari oleh pendengar yang berusia, tetapi ia turut diminati oleh golongan muda.
Buktinya, kebanyakan yang hadir pada Rumah Terbuka Sinar Bersama Daisy kerana memenangi pertandingan Sehebat Chef @ Sinar baru-baru ini terdiri daripada golongan remaja.
Ternyata Sinar FM yang terkenal dengan tema Muzik Retro Terbaik diminati ramai tanpa mengira usia.
Pengurus Program Sinar Fm, Rostam Z. Said berkata, dia sangat bersyukur dan bangga dengan peningkatan mendadak pendengar Sinar FM dan penerimaan daripada pelbagai lapisan masyarakat terutamanya golongan muda.
"Memang, kalau diikutkan kami menyasarkan kepada pendengar yang matang dan hidup dengan muzik sebegini tetapi ternyata Sinar FM turut diminati ramai golongan muda.
"Minat setiap orang berbeza-beza dan ada antara golongan muda yang meminati lagu-lagu lama.
"Lagipun kami membawa konsep memainkan lagu retro yang berkualiti. Bagi kami, kualiti muzik adalah amat penting kerana ia perkara utama dalam sesebuah stesen radio," tambahnya pada Rumah Terbuka Sinar Bersama Daisy di Hotel Corus, Ampang, Selangor, baru-baru ini.
Pada Majlis itu, para pendengar Suria FM yang memenangi peraduan Sehebat Chef@Sinar berpeluang menghadiri rumah terbuka mereka dan beraya bersama penyampai-penyampai stesen radio tersebut.
Di samping beramah mesra dengan para penyampai Sinar FM iaitu Khairil Rashid, Salih Yaccob, Abby Fana, Linda Onn, Najman, Zaidi dan Jamal Jamaluddin, tetamu juga dihiburkan oleh artis seperti Aris Ariwatan, Aishah, Othman Hamzah dan M. Nasir.
Tambah Rostam, dia berharap Sinar FM akan terus cemerlang dan akan menambah bilangan pendengarnya pada masak akan datang.
Menurutnya, mereka belum mempunyai apa-apa perancangan baru dalam masa terdekat selepas hari raya ini tetapi mungkin akan hadir dengan aktiviti-aktiviti komuniti yang menjurus kepada alam sekitar.
Peraduan Sehebat Chef@Sinar
Peraduan Sehebat Chef@Sinar dibuka dari 7 hingga 18 September yang lalu. Ia hanya memerlukan para peserta menghantar gambar mereka bersama gambar produk minyak Daisy ke laman web sesawang Sinar FM.
Peserta diminta menggayakan gaya seperti seorang chef dalam gambar masing-masing pada setiap hari sepanjang pertandingan ini berlangsung.
Terdapat 30 orang pemenang kesemuanya di mana masing-masing mendapat empat jemputan eksklusif untuk menghadiri Rumah Terbuka Sinar bersama Daisy tersebut serta hamper bernilai RM150.
Pada majlis ini, penyertaan paling menarik menerima wang tunai RM2,000 manakala pemenang tempat kedua pula menerima wang tunai sebanyak RM1,000.

No comments:

Post a Comment