Tuesday, October 13, 2009

Misha,Tomok Gamatkan Dectar

Bukan sahaja panas dengan aksi permainan futsal, persembahan artis popular dan band indie tambah menggamatkan lagi Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi kelmarin.
Itulah yang berlaku pada acara DiGi Music Showcase yang menjadi selingan final Kosmo! Varsiti Futsal Ahad lalu. Kejohanan itu menobatkan pasukan Sayor FC dari Universiti Teknologi Mara sebagai juara kategori B-23 sekali gus membawa pulang wang tunai RM15,000.
DiGi Music Showcase menampilkan penyanyi terkenal Misha Omar dan juara One In A Million ketiga, Tomok selain memberi peluang kepada band indie beraksi di pentas aliran utama.
Band indie 40 Winks membuka pentas persembahan dengan lagu-lagu unik mereka yang menggabungkan muzik ska dengan beberapa irama lain seperti latin, jazz dan rock.


Ternyata muzik ska mudah melekat di hati penonton biarpun lagu-lagu 40 Winks tidak begitu dekat dengan halwa telinga mereka. 40 Winks mempersembahkan lima buah lagu iaitu It's Up To You, I Want You, Tiada Masa, Mak Minah dan Your Guts.
Vokalis kumpulan New Boyz, Tomok kemudian mengambil alih pentas dengan mendendangkan dua buah lagu termasuk lagu hitnya, Rindu Ku Terhenti. Penyanyi muda itu ternyata berjaya memukau penonton yang teruja dengan kehadiran Tomok di pentas Dectar tersebut.
Selepas Tomok mengundur diri, penyanyi indie Monoloque membuai penonton dengan lagu-lagunya yang sarat dengan mesej. Dia yang lebih mesra dipanggil LoQue merupakan salah seorang pengasas band terkenal Butterfingers.
Dengan sebuah gitar LoQue yang juga seorang komposer dan penulis lirik mendendang lagu-lagu popularnya seperti Jika Aku Seorang Robot dan Semboyan.
Pentas Dectar kemudian terus hangat dengan band indie Love As Arson dari Kemaman, Terengganu. Menampilkan empat buah lagu berjudul Rey, A Walk Home, Things We Lost in Fire dan Temperature Rising Love As Arson membuatkan ramai penonton turut sama bersorak apabila kebanyakan lagunya berentak hardcore.
Saat penyanyi cilik kelahiran Kelantan, Misha tampil di atas pentas penonton Dectar ternyata sudah tidak sabar mendengar suara merdunya apabila ramai yang menjerit-jerit memanggil nama Misha. Membuka persembahan dengan lagu raya, Misha bijak berkomunikasi dengan peminatnya apabila tidak kaku di pentas.
Biar pun dikerumun peminat yang mahu bergambar dengannya, Misha dengan selamba turun dari pentas dan bernyanyi bersama penonton di bawah. Misha menghiburkan peminatnya dengan tiga buah lagu lagi iaitu, Pupus, Pulangkan dan lagu berhantunya, Bunga-bunga Cinta.

No comments:

Post a Comment