Tuesday, February 23, 2010

Din Beramboi Ada Kelas...

DARIPADA raut wajahnya yang agak serius ditambah pula dengan bertubuh sasa, tiada banyak perkara yang boleh mencetuskan gelak ketawa apabila melihat karakter selebriti di stesen penyiaran Astro ini.

Senang dikenali dengan panggilan komersial, Din Beramboi, personaliti ini sudah lebih sedekad menceburi gelanggang lawak jenaka tanah air.

Memilih kerjaya sebagai pelawak bukan sesuatu yang menyenangkan kerana hakikatnya, tidak semua jenaka yang dipertontonkan disenangi ramai.

Barangkali, sesetengah daripada kita memilih untuk ketawa dengan seloka Din dan mungkin juga separuh daripada kita hati kecil, tidak terhibur, jauh sekali untuk ketawa.

Itulah asam garam yang harus dilalui oleh lelaki seperti Din.

Dari pandangan mata kasar kita, tentunya ramai yang beranggapan Din menempa populariti dengan cara yang mudah.

Sudah 14 tahun dalam bidang ini, tentunya semua keinginan datang bergolek.

Tetapi hakikatnya selebriti berusia 44 tahun ini pernah melalui episod memeritkan ketika di awal penglibatannya.

Pernah dilabel sebagai orang gila atau sasau dek namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berlawak.

Mujur, Din atau nama sebenarnya, Mior Ahmad Mior Badri memiliki semangat dan iltizam tinggi.

Kritikan dan kadang-kadang menjadi celaan tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mengembangkan bakat dan kreativitinya dalam dunia lawak jenaka.

Ketika diri dicela dan dinista dengan tuduhan ekstrem seperti gila dan merapu oleh sesetengah pihak, Din meneruskan langkahnya tanpa sebarang tekanan.

Dia bukan sahaja tidak kisah dilabelkan sebegitu, malah dengan idea merapu itulah dia membina identitinya dan kini semakin diterima oleh para peminat lawak jenaka di negara ini.

"Saya tidak kisah apa orang hendak kata. Memang ada yang kata lawak saya merapu, saya macam orang gila dan macam-macam lagi. Lantak dia oranglah," tenang dia menjawab soalan yang dikemukakan pada awal pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Pandangan serong yang diterima 14 tahun lalu menjadi semangat, pengalaman dan ilmu yang berguna untuk dia berada di kedudukan hari ini.

Din hari ini semakin diterima ramai. Bahkan, dia sangat bangga jika ada yang berpendapat dia memonopoli genre lawak merapu berbanding pendekatan pelawak lain.

"Kalau boleh saya mahu jadi pencetus budaya dalam jenis lawak merapu yang saya ketengahkan selama ini.

"Walaupun ada juga yang kata lawak saya macam tidak ada hujung pangkal. Tetapi apa yang penting para penonton boleh ketawa dengan persembahan saya," jawabnya penuh yakin.

Sebetulnya, berbual dengan Din, anda tidak dapat tidak daripada melabelkannya sebagai seorang yang 'merapu'.

Gambaran 'merapu' jelas diterjemahkan oleh bapa kepada tiga anak ini menerusi pelbagai watak yang dipersembahkan olehnya seperti karakter orang gila.

Begitu juga dengan kecenderungannya meniru gaya dan karakter individu-individu lain daripada pelbagai kaum.

Contohnya, watak Jason Tan iaitu seorang lelaki Cina yang mengusahakan agensi pengiklanan yang sarat dengan idea-idea merapu hasil lontaran dialog yang ada ketikanya tidak masuk akal.

Namun itu yang menawarkan rezeki buat Din. Mana tidaknya, dia kini menjadi pilihan stesen televisyen berbayar, Astro untuk berkongsi idea-idea spontan dengan peminat dan penonton.

"Saya rasa kini saya boleh berbangga dengan konsep lawak jenaka yang saya ketengahkan. Esok atau lusa kalau saya sudah meninggal dunia, mungkin orang akan ingat dengan konsep lawak yang sebegini.

"Dulu para peminat mungkin sukar menerima gaya lawak merapu tetapi sekarang ini orang seakan-akan sudah hilang punca.

"Para peminat sekarang sudah boleh berfikir tentang apa yang ada di sebalik lawak jenaka saya.

"Walaupun nampak merapu tetapi itu tidak bermakna lawak saya tidak bermaklumat. Pada dasarnya mungkin lawak saya kedengaran tidak masuk akal tetapi kalau dikaji semula mungkin ia ada betulnya," tegas Din mempertahankan prinsipnya dalam berkarya.

Peningkatan populariti dan penerimaan para peminat selebriti dengan jambul berwarna perang itu dapat dilihat menerusi rancangan-rancangan kendaliannya yang semakin bertambah sama ada melalui radio dan televisyen.

Selain menjadi penyampai bersama Aznil Nawawi di radio Era, mulai 23 Februari ini Din juga akan mengendalikan rancangan TV berjudul Wuhai Beramboi melalui saluran Warna (saluran 132, Astro) setiap Selasa pukul 9.30 malam.

Di sebalik lawak-lawak jenakanya yang seperti bodoh-bodoh alang, ramai yang mungkin tidak mengenali karakter sebenar selebriti ini terutamanya sewaktu berada di luar bidang-bidang yang diceburinya itu.

"Sebenarnya saya ini seorang yang berjiwa serius. Jiwa saya penuh dengan protes dalam pelbagai isu termasuklah politik, agama dan sosial yang saya cuba ketengahkan. Saya gunakan gaya merapu sewaktu menyampaikan isu-isu.

"Bagi orang yang berfikir dan dapat menangkap apa yang tersirat di sebalik lawak-lawak jenaka saya, maka mereka akan faham tentang kritikan sosial yang ingin saya sampaikan dalam persembahan-persembahan saya.

"Saya memprotes dengan cara yang positif dan santai. Bak kata orang sambil ketawa pun orang boleh berfikir. Namun, pada masa sama saya juga sentiasa akan menjaga sensitiviti yang melibatkan bangsa dan agama," ujar Din.

Pengkritik tetap dalam pertandingan Raja Lawak musim keempat itu juga sama sentiasa mengambil kira pandangan pihak-pihak tertentu termasuklah media berhubung lawak jenakanya.

Ia termasuk gaya lawak dan lontaran dialog yang adakalanya dikatakan melampaui batas dengan penggunaan kata-kata kesat seperti anjing dan bodoh sewaktu berlawak ataupun mengkritik peserta program terbitan Astro Prima tersebut.

Dalam isu itu, Din mengakui, keterlanjuran komennya itu bukan disengajakan.

Sebaliknya, perkara itu berlaku secara spontan dan dia menjadikan insiden itu sebagai teladan agar perkara yang sama tidak berulang pada masa depan.

"Saya sedikit pun tidak marah ataupun kecil hati apabila ada penonton atau wartawan yang menegur keceluparan saya. Bagi saya, itu tandanya mereka tonton rancangan saya dan mereka prihatin terhadap saya.

"Itu juga menunjukkan bahawa mereka mahukan saya supaya menjadi lebih baik dan bagus daripada sebelumnya. Daripada situ jugalah saya dapat mempelajari kesilapan saya. Saya berjanji akan lebih peka dan berhati-hati selepas ini," ikrar Din bersungguh-sungguh.

Selain mencipta nama sebagai penyampai radio dan pengacara TV, beliau yang mula terbabit dalam bidang lawak jenaka sejak tahun 1996 bakal menceburi bidang baru iaitu sebagai pelakon dalam waktu terdekat ini.

Din kini sedang membuat persiapan bagi membintangi filem komedi arahan Afdlin Shauki berjudul Ah Long Bukit Beruntung dengan diberi peluang melakonkan watak hero dalam filem tersebut.

"Sebelum ini saya memang ada berlakon dalam sitkom, drama dan telemovie tetapi hanya diberikan watak-watak sampingan sahaja. Kalau jadi filem itu, ia merupakan filem pertama yang menampilkan saya sebagai heronya.

"Saya mungkin akan ambil cuti selama sebulan sewaktu penggambarannya bagi memberi sepenuh tumpuan kepada filem itu nanti. Sebelum ini saya sudah lama hendak berlakon filem tetapi masa tidak mengizinkan," kata Din menyuarakan hasrat hatinya.

Ketika ini juga, ramai yang sibuk bertanya pada Din apakah rancangan masa depannya.

Bagi tuan punya badan, Din sukar untuk meramal apa yang akan jadi padanya.

Untuk itu, Din lebih selesa menyerahkan segala-galanya kepada masa dan keadaan serta ketentuan Allah sama ada pembabitannya dalam bidang pengacaraan, lawak jenaka dan lakonan dapat diterima khalayak.

"Saya akan teruskan karier saya ini selagi ada umur dan kesihatan yang baik. Ini kerana, urusan esok, lusa dan hari hari seterusnya adalah perkara-perkara ghaib yang hanya Allah sahaja yang tahu," kata Din menutup perbualan.

No comments:

Post a Comment