Tuesday, October 13, 2009

Astro Prima Bagi Bonus Kepada MIG

BIASANYA para penerbit akan memberi bonus kepada pengarah, penulis skrip, pelakon dan krew sesebuah filem apabila produk yang mereka tayangkan di pawagam-pawagam mengaut kutipan tiket yang tinggi.
Walau bagaimanapun, trend itu kini menular kepada stesen televisyen (TV) pula apabila mereka turut memberi bonus kepada penerbit yang berjaya mencatat jumlah rating penonton yang tinggi menerusi drama atau telemovie yang disiarkan di stesen masing-masing.
Saluran TV Astro Prima misalnya, memberi bonus kepada MIG Production Sdn. Bhd. (MIG) apabila drama Mertua vs Menantu yang ditayangkan melalui saluran itu mencatat rating penonton mencecah 2.7 juta ketika ia ditayangkan di saluran tersebut baru-baru ini.
Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, pemberian bonus kepada MIG itu diputuskan apabila pihaknya mendapati syarikat produksi terbabit berjaya melepasi sasaran penonton yang mereka sasarkan iaitu melebihi 600,000 pada satu-satu masa ketika tayangannya.
"Purata rating penonton Mertua vs Menantu ketika ia ditayangkan adalah 700,000 penonton untuk sekali tayangannya. Sasaran kami untuk tayangan sesebuah drama bersiri di Astro Prima adalah 600,000 penonton.
"22 daripada 26 episod drama bersiri terbitan MIG itu telah pun melepasi sasaran kami. Jumlah 600,000 penonton ke atas itu kami letakkan dalam senarai 10 rancangan siaran Astro Prima yang tertinggi ratingnya setakat ini.
"Bayaran bonus itu kita akan kira berdasarkan rating pada setiap episod ketika drama bersiri itu ditayangkan. Kita akan putuskan jumlah bonus itu tidak lama lagi," katanya kepada Hits ketika ditemui selepas pelancaran Mertua vs Menantu 2 di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.
Jelas Nizam, tidak semua pemberian bonus dijanjikan dalam setiap kontrak yang ditandatangani dengan pihak syarikat produksi, sebaliknya ia berdasarkan sambutan menggalakkan para penonton atas sesebuah produk yang disiarkan menerusi Astro Prima.
Insentif berupa bonus itu tambahnya, sebagai salah satu galakan atau motivasi buat para pembekal rancangan TV supaya sentiasa berusaha menerbitkan produk-produk yang bermutu untuk tayangan Astro Prima pada masa depan.
"Kami harap ini bukan sahaja sebagai suatu galakan buat para penerbit untuk berlumba-lumba mencapai sasaran rating yang tinggi tetapi pada masa sama ia juga boleh mempertingkatkan lagi mutu penerbitan sesebuah drama yang mereka terbitkan kelak.
"Namun, pada masa sama kami harap penerbit lain tidak berasa kecil hati kerana buat masa ini kami tawarkan bonus ini kepada MIG dulu. Pada masa depan kami juga akan pertimbangkan pemberian bonus kepada penerbit lain. Apa yang penting rating drama mereka mestilah mencecah sasaran kami," ujarnya penuh harapan.
Menyuntik semangat

Sementara itu, Penerbit MIG, David Teo pula menyifatkan pemberian bonus oleh Astro Prima kepada syarikatnya sebagai menyuntik semangat dan cabaran supaya menghasilkan lebih banyak drama bersiri yang mampu mencatat jumlah rating penonton yang tinggi.
Ekoran sambutan para penonton terhadap Mertua vs Menantu yang amat menggalakkan itu, MIG katanya kini sedang menerbitkan Mertua vs Menantu untuk musim yang kedua (Mertua vs Menantu 2) untuk memenuhi permintaan daripada para penonton saluran Astro Prima.
"Saya berjanji akan menerbitkan Mertua vs Menantu 2 dengan kos dan kualiti yang lebih tinggi berbanding Mertua vs Menantu iaitu membabitkan kos mencecah RM800,000 di mana terdapat kenaikan sehingga 15 peratus berbanding musim pertama.
"Saya juga yakin Mertua vs Menantu 2 akan mendapat sambutan yang lebih hangat berbanding musim pertama. Ini kerana, kami sudah mengenal pasti banyak kelemahan daripada segi jalan cerita dan sebagainya yang boleh diperbaiki pada musim ini.
"Dalam pada itu, walaupun Astro Prima memberi bonus kepada MIG tetapi kami tidak akan mengambil satu sen pun. Sebaliknya, kesemua bonus itu akan diagih-agihkan kepada para pengarah, pelakon dan krew-krew terbabit," katanya dalam nada ceria.
Kata David, setakat ini Mertua vs Menantu 2 masih mengekalkan pengarah yang sama iaitu Mohammed Feroz Kader dan pelakonnya seperti Erra Fazira, Aqasha, Rozie Othman, Jehan Miskin, Raja Farah dan Rozima Bidin.
Malah, drama bersiri itu turut dimantapkan lagi apabila MIG menampilkan ramai lagi pelakon popular seperti Farid Kamil, Lisa Surihani dan Ezani Nizariff bagi menguatkan lagi tarikan serta jalan ceritanya.
Drama bersiri itu mengisahkan tentang keluarga Datin Faridah diselubungi kegembiraan dengan kehadiran cucunya hasil perkahwinan Nurun Ain (lakonan Erra Fazira) dan Rosyam (Aqasha) di mana pelbagai persiapan telah diatur.
Datin Faridah juga telah menempah bidan bernama Kak Lijah bagi menjaga Nurul Ain semasa pantang tetapi pada masa sama, konflik antara mertua dan menantu itu belum berakhir di mana ia muncul satu persatu selepas itu.

No comments:

Post a Comment