Tuesday, October 13, 2009

Stacy Memang Gempak!

Akhirnya, penantian mereka berbaloi apabila kelibat Stacy dan juga abangnya, Chaq memasuki dewan hotel, justeru menggamatkan lagi suasana. Sudah tentu, tiada apa yang diinginkan selain dapat melihat secara dekat persembahan bertenaga Stacy dan wajahnya yang comel itu.Justeru, apabila langkah penyanyi kelahiran Sabah ini menuju pentas menyanyikan lagu yang kini mendapat perhatian ramai, Pakai Buang, masing-masing terpaku malah terpesona dengan kelantangan dan rentak tarian yang dipersembahkan Stacy. Melihat pada aksinya yang begitu bertenaga, maka tidak menghairankan apabila ada sesetengah pihak menggelarnya, Anita Sarawak versi muda. Menyentuh pada gelaran itu tatkala bertemunya selepas majlis Warna-Warni Aidilfitri Bersama Stacy dan Chaq, di Hotel Brisdale, baru-baru ini, Stacy, 19, hanya tersenyum di kala persoalan itu diajukan kepadanya. Malah, percakapan mesranya sebelum itu terhenti seketika mungkin memikirkan jawapan sesuai untuk diberi.Akui Stacy, dia sememangnya meminati penghibur bertaraf antarabangsa itu tetapi untuk menyamainya bagaikan langit dengan bumi. Apatah lagi, perjuangannya dalam industri baru bermula dan tidak mungkin layak digelar sebegitu."Pertama kali terdengar gelaran itu, terkejut juga. Rasanya, rentak lagu dan persembahan yang saya pamerkan berdasarkan personaliti sendiri dan tidak terniat langsung untuk terikut-ikut dengan penyanyi yang sudah ada nama dalam industri ini, apatah lagi kak Nita."Karakter saya memang seperti ini, seorang yang lincah, peramah, gembira dan suka menari di atas pentas. Mungkin disebabkan itu, ada yang melihat saya seperti kak Nita versi muda. Tetapi, saya rasa tidak layak langsung digelar sebegitu kerana pengalaman masih cetek dan banyak perlu dipelajari."Bagaimanapun, saya bersyukur apabila perjuangan ini dihargai. Bagi saya, gelaran itu satu penghargaan yang tidak ternilai harganya sepanjang dua tahun membabitkan diri dalam industri. Namun, saya harap masyarakat menerima saya sebagai Stacy dan bukan orang lain. "Setiap hari, saya bekerja keras membentuk identiti yang memberi kelainan berbanding artis lain. Lagipun, ramai menasihati saya agar tampil dengan identiti tersendiri kerana peminat tidak suka artis yang hipokrit. Melihat saya di pentas, itulah diri saya yang sebenarnya," katanya.Bekerja dalam industri hiburan, secara tidak langsung memberi ruang besar kepada Stacy untuk bertemu dengan Anita. Atas alasan itu, Stacy sentiasa mengambil peluang mendekati Anita di mana-mana majlis yang dianjurkan oleh stesen televisyen mahupun syarikat korporat apabila berkesempatan bertemu dengannya
"Kalau berpeluang, memang menjadi idaman saya menjayakan persembahan pentas bersamanya. Bagi saya, kak Nita tidak pernah sombong atau lokek ilmu. Banyak nasihat dan motivasi yang dia berikan kepada saya. Paling saya ingat ialah kita perlu kental, banyak bersabar dan tidak mudah putus asa sekiranya mahu berjaya dalam industri," katanya
Karakter Stacy yang begitu lincah orangnya, ramai mengetahui dia berupaya menyanyikan lagu bergenre rancak dengan baik. Malah, lagunya sebelum ini iaitu Aku Stacy, Gagap dan terbaru Pakai Buang, semuanya berkonsepkan rancak. Justeru, timbul persoalan adakah Stacy hanya mampu menyanyikan lagu rancak saja?"Saya tahu peminat mudah bosan sekiranya tampil dengan satu konsep lagu saja. Walaupun diri amat meminati lagu rancak dan suka menari di pentas, sebagai penyanyi saya perlu mempelbagai serta mencuba semua genre lagu. Bukan tamak, kerana jauh dari sudut hati ada terlintas untuk tampil dengan lagu berkonsepkan balada malah ada permintaan dari peminat."Menyanyikan lagu balada, memberi cabaran tersendiri kerana menguji penjiwaan melodi seseorang penyanyi itu. Mungkin, selepas ini saya akan mempertaruhkan lagu balada dalam single terbaru. Ketika ini, saya dalam proses mengumpulkan material untuk album kedua."Masih banyak lagi yang perlu dilakukan iaitu anggaran dalam 99 peratus dan saya baru saja keluarkan single duet bersama Adam AF (2) berjudul Menggegar Dunia. Lirik dan gubahan adalah Edry Kru, masih mengekalkan konsep rancak. Ada permintaan dari peminat yang inginkan kami digandingkan bersama kerana masing-masing pandai menari," katanya.Mengenai perkembangan terkininya di bawah pengurusan baru, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) selepas tertutupnya operasi Maestro Talent & Management Sdn Bhd (Maestro), kata Stacy, kerjayanya lebih terurus berbanding sebelumnya."Bukan bermaksud Maestro tidak bagus. Cuma artis di bawah AESB tidak ramai jadi tumpuannya lebih banyak serta terurus. Mereka banyak bertanya mengenai masa depan dan tahu apa yang sesuai untuk seseorang artis itu," katanya.Berkaitan dengan majlis Warna Warni Aidilfitri, beritahu Stacy semuanya diuruskan oleh kelab peminatnya, Stacy Frenz. Walaupun dia bukan beragama Islam, namun Stacy tidak kekok menggayakan kebaya moden tajaan Noor Arfa Batik dan melayan mesra peminatnya. "Selepas keluar dari AF tahun lalu, saya agak terkejut apabila diberitahu yang saya sudah ada kelab peminat sendiri. Mereka banyak mengadakan majlis kepada saya seperti hari jadi dan hari raya. Ini adalah kali kedua mereka menganjurkan majlis hari raya dan saya tidak perlu keluarkan apa-apa langsung. Mereka uruskan semua dan saya cuma datang menghiburkan dan menyanyikan lagu saja," katanya.Selama satu jam setengah, peminat dihiburkan dengan kelantangan dan kerancakan Stacy ketika mendendangkan tiga buah lagu, Senandung Hari Raya, The Climate dan Pakai Buang. Selain itu, acara turut diselang-selikan dengan persembahan abangnya, Chaq bersama rakan rapatnya yang juga peserta Mentor musim ketiga iaitu Thye dan Hairul.Peminat bukan saja dilayan mesra oleh artis yang hadir malah turut berpeluang bergambar mesra bersama artis kesayangan mereka.

No comments:

Post a Comment