Saturday, August 8, 2009

Sedih Dan Gembira


"SAYA sendiri tidak menyangka kategori itu berpihak kepada saya. Saya bersyukur dan anugerah ini satu yang cukup istimewa kepada saya. Saya gembira dan dalam masa yang sama sedih juga sebab Mak (merujuk kepada Allahyarham Yasmin Ahmad) tidak dapat berkongsi detik manis ini. “Saya harus berterima kasih kepada Mak yang memberi peluang untuk saya merasai nikmat bergelar pelakon. Ia satu kenangan indah untuk saya ingat sampai bila-bila. Sampai sekarang, saya akui masih tertanya-tanya kenapa Mak memilih saya untuk memegang watak itu,” kata Jaclyn Victor yang hanya mengetahui dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia ke-22 yang berlangsung di Centre Atrium, 1 Borneo, Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin. Kemenangan Jaclyn sekali gus membenamkan hasrat calon lain, Heliza Helmi, Zalina dan Yasmin Khaniff yang turut bertanding. Jaclyn yang dihubungi Hip masih berada di Kuala Lumpur kerana komitmen yang perlu dipenuhi dan hanya akan terbang ke Sabah pada Sabtu ini.
Jaclyn yang mendapat tahu mengenai kemenangan itu menerusi SMS sejujurnya tidak menyangka keputusan itu diumumkan awal kerana menjangkakan ia hanya akan diumumkan pada malam kemuncak esok. Jaclyn yang pernah bergelar Juara Malaysian Idol musim pertama mencipta kejutan apabila filem sulung lakonannya, Talentime yang diarahkan Allahyarham Yasmin Ahmad berjaya melayakkan dirinya memiliki trofi Pelakon Harapan Wanita. Watak Bhavani yang dipegangnya di dalam filem itu ternyata cukup mengesankan apabila berjaya mencuri perhatian juri. Bagi Zahiril Adzim pula, dia akan terus mengukuhkan pandangan pemerhati seni apabila dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Lelaki menerusi filem Kami The Movie. Bersaiz genit ternyata tidak menjadi penghalang kepadanya untuk terus mara membina nama dan terus mengembangkan bakat yang ada.
Zahiril yang bakal terbabit dalam pementasan teater Kompilasi Volum 2 mulai 11 Ogos ini di Stor Dewan Bahasa & Pustaka itu menewaskan Bintang Paling Popular, Nabil yang dicalonkan menerusi filem Sifu & Tongga. Zahiril, Jaclyn dan Hadziq masing-masing menerima trofi dan wang tunai RM10,000. “Anugerah ini sebagai pengiktirafan atas hasil kerja yang kita lakukan. Tapi ia tidak bererti mutu kerja kita sudah bagus. Anugerah ini sebenarnya sebagai ruang untuk saya sendiri melipat gandakan usaha pada masa mendatang. Ia boleh diibaratkan sebagai suntikan semangat untuk kita terus memacu ke depan,” katanya yang melihat Isma Yusof sebagai saingan terdekatnya. Sementara itu bagi adik Hadziq, saat disebut namanya sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, bakat cilik yang cukup petah berbicara ini melonjak keriangan. Dia yang ditemani neneknya ke Sabah, memanjat kesyukuran di atas kurniaan yang cukup berharga itu. “Saya harus berterima kasih kepada David Teo dan Ahmad Idham yang memberi peluang untuk saya terus mengembangkan sisi bakat seni yang ada. Tak dilupakan juga kepada Aznil Nawawi yang sentiasa memberi sokongan kepada saya selama ini. Mereka inilah antara insan yang membuka pintu untuk sampai ke tahap ini.
“Kalau ada peluang lagi, saya tak teragak-agak untuk berlakon filem. Pengalaman berada di dalam produksi filem Syurga Cinta menjadi pengalaman yang akan terus saya titip buat masa mendatang. Dalam saya mengejar cita-cita, saya sesekali tidak akan mengabaikan pelajaran,” katanya yang bersaing dengan tiga lagi calon lain, Nik Farid Idrus, Siti Nasrina dan Pathieswaran dalam kategori terbabit. Turut diumumkan malam itu ialah kategori Lagu Tema Asal Terbaik, Sayangku Di Sisimu (filem Jin Notti) dan Poster Terbaik (filem Histeria).

No comments:

Post a Comment