Saturday, August 8, 2009

Erra Mula Terima Watak Gelap


Erra akan menjayakan drama bersiri 26 episod arahan Rashid Sibir berjudul Kasih Tercipta SEBELUM ini, dia sering diberikan watak gadis atau wanita yang baik. Daripada seorang gadis yang kecewa cinta, kakak yang bertanggungjawab sehingga anggota polis yang berdedikasi, semuanya pernah dipegang pelakon bernama Erra Fazira. Namun, sedikit masa nanti, peminat akan dapat menonton pula sisi hitam pelakon ini apabila dia mula menerima watak lebih gelap dalam drama dan filem.
Terbaru, dia akan menjayakan drama bersiri 26 episod arahan Rashid Sibir berjudul Kasih Tercipta, untuk siaran Astro. Berbeza dengan watak dipegangnya sehingga kini, watak yang diberikan kepadanya dalam drama itu memerlukan dia menjadi perempuan yang bersikap negatif. Menggambarkan watak itu sebagai hitam kelabu, Erra berkata, antara lain dia perlu menghidupkan watak bagaimana seorang perempuan terpaksa melakukan kejahatan ke atas pasangan kekasih atas desakan tertentu. "Erra sebenarnya sukakan watak jahat, tetapi biarlah watak berkenaan ada kelasnya tersendiri, bukannya peranan jahat yang nampak sangat kejahatannya seperti yang selalu kita saksikan dalam sinetron. Dalam drama bersiri Indonesia itu, contohnya, kita nampak yang baik terlalu baik dan yang jahat pula terlalu jahat
"Erra juga rela menerima watak hitam sekiranya sesuai dengan diri Erra. Bagi drama Kasih Tercipta umpamanya, Erra terima setelah pihak Astro meminta Erra membawakan watak berkenaan. Lagipun, ia lebih berupa cabaran untuk Erra mempelbagaikan corak lakonan," katanya ketika ditemui selepas menyerikan majlis pelancaran televisyen terbaru keluaran Philips, Cinema 21:9 LCD TV di Hotel JW Marriott Kuala Lumpur. Majlis pelancarannya disempurnakan Erra bersama-sama Pengarah Ketua Organisasi Jualan Philips, Eddie Ong dan Pengurus Kanan Pemasarannya, Teoh Tze Ping. Menurut Erra, bukan hanya drama terbabit bakal menyaksikannya menggalas watak gelap, sebaliknya dia juga tertunggu-tunggu penggambaran sebuah filem baru pada tahun depan yang memerlukannya menjayakan watak seorang pembunuh upahan bisu. Tentu sekali ia pengalaman cukup berbeza buat aktres yang juga seorang ibu ini, walaupun filem komedi Sifu & Tongga yang ditayangkan awal tahun ini turut memperlihatkan Erra memegang watak penjahat.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pandangannya terhadap saingan yang dijelmakan oleh pelakon baru, apatah lagi dia sendiri agak jarang muncul di layar lebar sejak akhir-akhir ini, Erra memberitahu, dari segi persaingan, ia sebenarnya sudah wujud sejak dulu lagi. "Cuma sejak akhir-akhir ini Erra sudah agak kurang berlakon filem. Erra pula tidak menganggap mereka sebagai pencabar, sebaliknya generasi pelakon pelapis. Inilah masanya untuk barisan pelakon baru itu pula menyerlah, apatah lagi mereka lebih layak untuk memegang watak-watak muda yang ditawarkan produser. "Antara pelakon hari ini yang Erra lihat berjaya menempa nama dan boleh melangkah lebih jauh dalam industri perfileman kita ialah Maya Karin. Erra juga tertarik dengan lakonan Noorkhiriah dan Nabila Huda. Mereka antara pelakon yang Erra nampak menyerlah di kaca TV mahupun layar perak," katanya. Begitupun, aktres yang menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia edisi ke-15 (menerusi Soal Hati) dan ke-18 (Hingga Hujung Nyawa) ini mengaku, agak sukar untuknya membuat ramalan siapakah antara barisan pelakon muda hari ini yang akan menempah nama pada masa akan datang berikutan kewujudan terlalu ramai artis baru yang membanjiri dunia seni. "Satu ketika dulu, Erra sendiri risau memikirkan siapalah yang akan sama-sama memeriahkan layar lebar pawagam kita. Orang klata, asyik-asyik muka Erra saja, peminat pun mungkin naik rimas. Sekarang, industri kita bertambah baik dan semakin ramai pelakon pelapis yang diberikan peluang oleh produser," katanya. Pada pertanyaan apakah dia sudah bersedia menyerahkan mahkota Primadona Filem Melayu Alaf Baru kepada pelakon lain, sambil tersenyum Erra berkata, bukan dia yang menghadiahkan gelaran itu kepada diri sendiri, sebaliknya pihak medialah yang mengaitkannya dengan status berkenaan. Justeru, media jugalah yang layak menentukan sama ada gelaran itu harus diberikan kepada aktres lain atau sebaliknya. "Sejak awal pembabitan dalam industri seni, Erra berpesan pada diri sendiri supaya sentiasa beringat, populariti dan segala peluang yang diperoleh hari ini hanyalah bersifat sementara. Sampai masanya, ada orang lain yang akan mengambil tempat berkenaan," katanya yang tidak berkecil hati dengan keadaan itu, seandainya ia membantu industri seni tempatan untuk lebih berkembang. Pelakon yang bakal menyambung siri Mertua Vs Menantu selepas Aidilfitri ini turut memberitahu, berkemungkinan besar dia akan menyambung kontrak sebagai artis eksklusif Astro untuk jangka masa setahun lagi. "Sebenarnya, amalan sebagai artis eksklusif ini sudah lama dipraktikkan di negara luar. Hanya di Malaysia peminat baru didedahkan dengan amalan sedemikian apabila Astro memperkenalkannya beberapa tahun lalu. Sebagai artis eksklusif, banyak faedah yang diperoleh seseorang artis. Selain bayaran yang berbaloi, wajah kita juga tidak akan muncul di merata-rata," kata Erra yang kini masih berusaha untuk menurunkan sebanyak lima kilogram lagi untuk mencapai berat badan idaman, 55 kilogram.

No comments:

Post a Comment