Tuesday, August 4, 2009

40 Minit Bebas Iklan Bukan Idea Baru


Radio Era tidak melatah, format 40 Minit Bebas Iklan bukan idea baru

FORMAT baru 40 Minit Bebas Iklan yang diperkenalkan stesen radio nombor satu Era sejak awal bulan ini dituduh menciplak idea sebuah stesen swasta berskala kecil. Stesen radio yang sudah bertapak selama 11 tahun dalam industri penyiaran tanah air ini bagaimanapun menepis tuduhan berkenaan malah langsung tidak terasa dengan kenyataan dibuat orang kuat stesen baru itu.

Pengurus Rancangan Era, Nazri Noran yang sebelum ini pernah berkhidmat di stesen radio Inggeris, Hitz.FM ketika ditemui pada majlis pelancaran Aznil & Din Beramboi Riuh Sana Sini di KL Sentral berkata, format itu bukanlah idea baru tetapi sudah diaplikasi stesen radio yang berpayung di bawah Airtime Management & Programming Sdn Bhd (AMP) sejak lebih sedekad yang lalu. Justeru, apabila Era dituduh meniru oleh pesaingnya, mereka tidak mudah melatah.

Format memutarkan lagu tanpa henti kata Nazri bukan idea baru tetapi format itu sudah lama diguna pakai stesen radio luar negara. Formula itu kemudiannya diambil dan diaplikasikan stesen radio tempatan.

“Kami tak kisah dituduh menciplak idea mana-mana stesen radio kerana AMP terlebih dulu sudah menggunakan format muzik tanpa henti sejak 1997 lagi. Jika mereka mahu menuduh kami meniru, itu terpulang kerana itu hak mereka.

“Dunia penyiaran radio kita masih terlalu kecil, di Malaysia stesen radio yang ada tak sampai 20 buah. Persaingan memang terlalu sengit, tapi kalau mereka boleh buat lagi bagus dari kami, Era gembira dengan usaha itu. Cuma saya kurang bersetuju apabila mereka menuduh Era menciplak idea mereka, idea itu tidak asli kerana format itu diguna di seluruh dunia.


“AMP satu ketika dulu juga menggunakan formula sama yang ditiru dari luar negara tetapi dari masa ke semasa kita perbaiki format itu. Kami pun tak pernah kata orang tak boleh tiru idea itu kerana kita juga ambil dari luar negara. Masing-masing ada strategi sendiri untuk meningkatkan jumlah pendengar, saya tiada masalah dengan ini kerana ia menunjukkan perkembangan sihat dalam dunia penyiaran radio,” katanya.

Bercerita mengenai program Aznil & Din Beramboi Riuh Sana Sini pula, Nazri menjelaskan program itu adalah sebahagian daripada strategi stesen radio itu untuk mendekatkan diri dengan peminat. Konsep berkenaan pernah diperkenalkan tiga tahun lalu ketika bekas penyampainya Kieran dan Khairil Rashid mengendalikan program K&K mereka. Bagaimanapun dengan kewujudan laman sosial seperti Facebook, Twitter, Friendster, MySpace dan Youtube, ia digunakan bersesuaian dengan arus semasa.

Selama tiga minggu, pendengar yang mengambil bahagian dalam kempen itu dikehendaki membawa papan poster Aznil & Din Beramboi ke mana saja bermula dari 27 Julai dan berakhir pada 14 Ogos. Mereka perlu merakamkan seberapa banyak gambar serta mendapatkan seberapa banyak publisiti untuk aktiviti mereka dengan meletakkannya di laman sosial. Pada hari tertentu pula, peserta yang sudah mendaftar perlu mengikut tema yang ditetapkan dan berusaha mencari publisiti meluas.

Sementara itu satu panel khas yang terdiri daripada wakil Era dan Carrefour akan mengadili serta memberi mata kepada peserta berdasarkan daya usaha dan kreativiti mereka. Peserta yang berjaya mengumpul jumlah mata paling tinggi pada penghujung kempen bakal memenangi wang tunai berjumlah RM50,000.

“Maklum balas yang kami terimasungguh menggalakkan. Jumlah pendengar yang mendaftar untuk kempen ini juga cukup memberangsangkan. Dari situ kita mengedarkan 1,000 poster Aznil & Din Beramboi kepada pendengar yang mendaftar.

“Dengan kemudahan teknologi yang ada, pendengar boleh meletakkan gambar mereka bersama Aznil dan Din Beramboi di laman sosial yang kami nyatakan. Melalui kemudahan itu, mereka boleh meletakkan gambar terbaru bersama Aznil dan Din dengan segera.

“Bagi pendengar yang tidak berkesempatan mendaftar untuk kempen ini pula, mereka masih berpeluang memenangi wang tunai setiap hari dengan menjadi papERAzi, di mana mereka perlu mengikuti aktiviti peserta yang berdaftar.

“Jika mereka terserempak dengan peserta yang mendaftar untuk kempen ini, mereka hanya perlu rakamkan gambar peserta dan menghubungi Era pada waktu peraduan dan laporkan maklumat mengenai peserta kemudian berpeluang memenangi wang tunai RM 150. Manakala RM 300 pula diberikan ketika rancangan Riuh Pagi Era,” katanya.

No comments:

Post a Comment