Saturday, August 8, 2009

Filem Aku,Suka Hati Aku La!!


Kontroversi berkaitan filem ....Dalam Botol tidak bimbangkan Raja Azmi KONTROVERSI yang melanda filem ...Dalam Botol nampaknya terus berlanjutan. Jika sebelum ini inti pati filem ini serta judulnya menjadi bahan pertikaian ramai, terbaru penerbit filem ini Raja Azmi terpaksa berdepan dengan satu lagi masalah iaitu apabila pengarahnya, Shadan Hashim menarik sebelum perjuangan mengarahkan filem ini bermula. Khabarnya, tindakan drastik Shadan itu adalah disebabkan dia bimbang tidak dapat menjalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan Raja Azmi memandangkan filem itu bergenre XX dan menyentuh kisah kehidupan lelaki gay.
Ketika dihubungi Hip untuk mendapatkan kesahihan perkara ini, Raja Azmi hanya tergelak besar di hujung talian. Kata pengarah yang boleh tahan sensasi ini, cepat benar media menghidu cerita yang buat masa ini hanya diketahui mereka yang tertentu saja. Pun begitu, seperti kebiasaannya dia tidak pernah mahu berselindung apa-apa. Jelas Raja Azmi memang benar Shadan menarik diri atas alasan tidak mampu memikul tanggungjawab mengarahkan filem sedemikian kerana tidak sesuai dengan jiwanya. Walaupun mungkin ada yang beranggapan tindakan Shadan itu menyusahkan pihak produksi, namun bagi Raja Azmi sendiri, dia melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif. Enggan menunggu lebih lama lagi, menurut Raja Azmi, kekosongan yang ditinggalkan Shadan itu bakal diisi seorang pengarah yang memang hebat dan diakui hasil kerjanya iaitu Osman Ali.
Hip: Betulkah pengarah filem ...Dalam Botol, Shadan Hashim menarik diri dari mengarahkan filem ini? Kalau betul apa alasannya? Raja Azmi: Amboi! Cepat benar cerita ini tersebar ya? Memang benar dia menarik diri dan alasan yang diberikan adalah dia tidak sanggup untuk meneruskan tanggungjawabnya itu kerana filem itu memang tidak bersesuaian dengan jiwanya. Dia sudah cuba menyelami filem itu dengan sebaik mungkin dan belajar mengenali dunia transeksual dengan lebih dekat tapi tidak berjaya. Jadi sebelum hasilnya nanti tidak memuaskan dan menyusahkan banyak pihak, lebih baik dia mengundur diri lebih awal. Hip: Tak cuba pujuk atau meyakinkan dia? Iyalah bukankah Shadan sebelum ini banyak bekerjasama dengan anda. Raja Azmi: Bagi saya, perkara seperti ini tidak perlu nak pujuk. Dia sudah besar dan boleh berfikir. Lagipun, saya tak nak manjakan dia. Bagi saya, itu satu tindakan yang bagus kerana dia menyerah diri lebih awal. Alasannya pun saya boleh terima kerana dia tidak mahu hasil filem ini nanti tidak memuaskan hati saya dan semua pihak. Iyalah kalau pengarahnya sendiri tidak mampu menyelami filem yang diarahkannya, bagaimana hendak mendapatkan hasil yang terbaik?
Hip: Sudah dapat pengganti? Raja Azmi: Setakat ini memang sudah ada iaitu Osman Ali. Bagaimanapun, ia masih dalam pertimbangan kerana pengarah itu terikat dengan projek lain. Filem ini mungkin akan menjalani penggambaran selepas Aidilfitri nanti sama ada dalam bulan September atau Oktober dan pada masa itu Osman juga mempunyai komitmen lain. Kata Osman, kalau jadual penggambaran tidak bertembung dengan komitmennya itu, barulah dia bersetuju untuk mengarahkan filem saya ini. Pun begitu, saya masih mencari mana-mana pengarah yang berpengalaman untuk mengarahkan filem ini. Kalau ada sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi saya secepat mungkin. Saya tidak mencari pengarah popular. Asalkan dia mempunyai pengalaman dan berminat untuk mengarahkan filem bergenre seperti ini, silakan. Hip: Nampaknya banyak sangat halangan nak merealisasikan filem ini. Tak risau ke? Raja Azmi: Kalau setakat pengarah tarik diri, saya tak pernah risau. Bagi saya itu perkara kecil saja. Ibarat orang hendak buang air besar tapi tak jadi. Bagi saya hidup kalau tak ada cabaran, memang tak ada makna. Begitu membosankan. Pada saya, cabarannya nanti adalah apabila filem ini siap kelak. Ha! masa itu nanti banyak perkara saya kena hadapi, Lembaga Penapisan Filem (LPF), pandangan masyarakat dan sebagainya. Hip: Terlanjur bercakap pasal LPF, apakah filem ini akan membuat rombakan dari segi skrip dan jalan cerita? Raja Azmi: Skrip tidak akan dirombak tetapi untuk babak ranjang, kami akan mengubahnya supaya tidak terlalu sensitif untuk masyarakat di sini. Bagaimanapun, untuk babak ranjang asal saya tetap akan buat. Tapi ini untuk pasaran luar negara dan tidak ditayangkan di sini. Hip: Degil sungguh Raja Azmi nampaknya. Tetap berkeras nak buat babak sensasi. Raja Azmi: Ini filem saya, cita rasa saya. Kalau hendak kata saya degil, saya boleh buat lebih dari itu. Saya bagi contohlah, saya hendak buat baju kurung lengan pendek, tapi orang suruh buat lengan panjang. Tak mengapa, saya ikutkan saja. Tapi kalau di luar negara, saya bebas hendak mengubah suai baju kurung itu kerana orang di sana tak tahu pun itu baju tradisional kita. Hip: Pelakon utamanya sudah dipilih? Raja Azmi: Sekarang ini pertandingan menerusi sedang berlangsung. Seperti yang dijanjikan, saya hanya akan memilih pemenang berdasarkan keputusan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS). Saya tidak mahu menipu mereka yang bertungkus lumus menghantar SMS, memilih pelakon kegemaran mereka. Kalaupun jika pemenang sudah dipilih dan dia tidak dapat menjalani penggambaran pada waktu yang sudah kita tetapkan kerana terikat dengan komitmen lain, saya sanggup menunggu sehingga dia bersedia untuk berada di lokasi ...Dalam Botol. Saya tetap berpegang pada janji. Hip: Anda yakin filem sebegini mampu memberi pengajaran kepada penonton? Raja Azmi: Bagi saya, pengajaran bukan saja boleh didapati dari filem tetapi dari sumber lain juga. Tetapi, filem tidak dinafikan turut menyumbangkan peranan dalam memberi pengajaran kepada penonton walau apapun filem itu. Sebagai contoh, filem Keluarga Si Comat, walaupun tajuknya sedemikian namun ada sesuatu dalam filem itu membuatkan ia terpilih untuk dibentangkan dalam majlis apresiasi yang akan diadakan pada Festival Filem Malaysia di Sabah nanti. Malah, dalam filem karya Allahyarham Yasmin Ahmad, walaupun teruk dihentam namun saya akui terdapat pengajaran di dalamnya. Jadi, tidak mustahil filem ini juga mampu memberi kalau tak banyak, sedikit pengajaran kepada penonton.

No comments:

Post a Comment