Saturday, August 8, 2009

Azharina & Rossa

Pengurusan Rossa banyak membantu merealisasikan impian Azharina tembusi pasaran Indonesia TIDAK banyak bicara antara mereka lantaran kesibukan penghibur kesayangan Indonesia, Rossa memenuhi beberapa lagi permintaan untuk sesi fotografi pada pertemuan petang itu. Saling bertukar senyuman serta menyapa ringkas sebelum sesi fotografi dimulakan, cukup sebagai pembuka ruang bicara kerana sebetulnya wajah Azharina bukan asing di mata Rossa.
Mereka pernah beberapa kali bertemu ketika menjayakan persembahan pentas. Biarpun belum berkesempatan untuk berbicara lebih akrab namun terdetik kekaguman di hati penyanyi kelahiran Sabah yang cukup sinonim dengan lagu Rawan itu. Azharina menyifatkan penyanyi genit yang sinonim dengan lagu cinta itu sebagai penghibur yang membawa misi dan visinya tersendiri untuk maju dalam industri hiburan. “Saya menyenangi cara Rossa menghiburkan peminat di pentas. Jujurnya hubungan kami lebih terarah kepada profesional kerana saya tidak begitu dekat dengan Rossa.
“Cuma saya agak bertuah kerana pengurusan Rossa, LimaDuaBelas banyak membantu untuk merealisasikan impian saya melebarkan karier nyanyian di Indonesia,” kata Azharina. Masih menanti detik tepat ke sana, Azharina berkata, setakat ini semua urusan perbincangan untuk memperkenalkan namanya di Indonesia hampir selesai. Bagaimanapun kata Azharina, kesibukan pengurusan Rossa membuatkan dia selesa menanti semuanya selesai sebelum berangkat untuk memulakan sesi promosi di Jakarta. “Ada beberapa perkara masih belum beres sepenuhnya termasuk dokumentasi perundangan, selebihnya memang saya memang sudah bersedia untuk ke sana.
Rossa
“Alhamdulillah, daripada perbincangan semuanya menunjukkan petanda positif malah single saya juga sudah diedarkan di beberapa stesen radio wilayah. Doakan yang terbaik untuk saya,” kata Azharina. Beralih kepada karier nyanyiannya di sini, Azharina berkata, populariti Rawan membuatkan dia terpaksa bersabar menanti single terbarunya, Rasa diputarkan stesen radio utama. Situasi itu membuatkan penyanyi berusia 24 tahun itu terpaksa menangguhkan dulu hasrat untuk memasarkan album ketiganya. Azharina berkata, tiada guna dia memasarkan album itu tergesa-gesa atau sekadar memenuhi rak di pasaran. Sedangkan dia mencurahkan segala idea dan keringat untuk memastikan produk terbarunya itu meraih perhatian peminat. “Memikirkan itu saya bersedia menangguhkan seketika perancangan untuk memasarkan album ketiga. Saya perlukan single baru untuk meneruskan momentum Rawan, namun nampaknya rezeki belum berpihak kepada Rasa untuk dimainkan stesen radio utama. “Saya tidak terlalu memikirkan soal keuntungan, sebaliknya berharap produk ini diterima seterusnya menjadi satu medium untuk memasarkan nama Azharina dengan lebih berkesan. “Saya sudah empat tahun tidak mempunyai album baru. Justeru saya tidak mahu terlalu ghairah memasarkannya kerana saya juga perlu memberi keadilan terhadap segala usaha untuk merealisasikan penerbitan album ini. “Biar saya bersabar dulu supaya apabila keluar nanti ia memberi kepuasan kepada semua. Album ini juga menjadi hadiah istimewa saya kepada peminat yang menghargai bakat Azharina,” katanya. Sekadar merakamkan lapan lagu, album yang mengambil masa setahun setengah untuk disempurnakan itu turut menyaksikan Azharina melakukan sedikit perubahan. Tidak hanya tertumpu kepada satu jalur muzik, Azharina atau mesra disapa Nina berkata, dia memberikan variasi untuk menyuntik warna berbeza dalam produksi itu. “Pembikinannya melalui proses yang berat, apatah lagi saya berusaha sendiri mengumpul segala material membuatkan saya meletakkan harapan tinggi terhadap album ini,” katanya.


INFO: Azharina
Nama Penuh: Azharina Azhar
Tarikh Lahir: 11 Mac 1985
Asal: Kota Kinabalu, Sabah
Tinggi: 157 sentimeter.
Berat: 53 kilogram.
Single: Seandainya (2003), Elegi Sepi (2005), Tsunami Kasih (2007), Rawan (2009).
Pencapaian: Juara Bintang RTM 2001.
Dari lubuk hati Rossa BICARANYA yang sentiasa tenang, malah senyuman dan tawa yang sentiasa terukir di raut wajah manisnya seakan membayangkan hidupnya tidak pernah dijamah masalah. Mendasari hati wanita kecil molek bersuara lantang ini tersimpan kesakitan yang bukan sedikit. Kesakitan yang sebolehnya tidak ingin dikongsi dengan orang luar. Namun apakan daya, status sebagai selebriti mendesak Rossa supaya menjadi kuat dan kedatangannya kali ini turut diasak persoalan yang sama. Biar apa juga persepsi yang diberikan umum terhadap pengakuan ikhlasnya, penyanyi yang sedang masyhur dengan lagu Hey Ladies dan Terlanjur Cinta, duet bersama Pasha (Ungu) ini berkata, dia cuma menjelaskan situasi sebenar rumah tangganya. Kedekatannya dengan teman media di sini membuatkan Rossa selesa berkongsi rasa, mencurah rahsia hati namun tidak pernah sesekali dia memburukkan lelaki yang masih bertakhta di sudut hatinya. Bagi Rossa, apa juga pengakhiran kisah cintanya dengan pemain dram kumpulan Padi, Yoyo Presetyo atau Yoyo, ia tidak akan memudarkan rasa kasih dan cinta terhadap lelaki yang membuahkan cinta hati mereka, Rizky Langit Ramadhan, 3. “Saya tahu tidak mudah untuk mengambil keputusan ini (perceraian) namun andai ditakdirkan perpisahan terjadi, saya reda dengan ketentuan Tuhan. “Mungkin itu bahagian untuk saya selepas Allah memberikan kesenangan serta kerjaya yang sukses. Saya reda kerana hanya Allah yang menyimpan rahsia setiap apa yang ditakdirkan untuk hamba-Nya,” katanya tenang. Enggan membiarkan perasaannya terus tenggelam dalam lautan duka, perbualan dialihkan mengenai karier nyanyiannya yang mendekati kemuncak. Dia dilihat antara penyanyi wanita paling berpengaruh di Indonesia ketika ini selepas tiga siri Konsert Persembahan Cinta Rossa di tiga daerah meraih sambutan luar biasa. Ketika ini, dia sedang sibuk menyempurnakan baki empat konsert mini yang mengangkat judul, Cerita Cinta Rossa selepas menyelesaikan empat persembahan. “Semua itu membuatkan jadual saya padat sehingga Ogos, namun menjelang Ramadan aktiviti seni saya akan diperlahankan kerana kebetulan tidak banyak acara hiburan,” katanya. Rossa turut bersyukur kerana cita-citanya untuk menghiburkan peminat di sini direalisasikan menerusi Konsert Mini Cerita Cinta Rossa di KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur pada 27 Jun lalu. Kesempatan berada hampir seminggu di Kuala Lumpur turut diambil Rossa untuk membawa anak kesayangan serta ibunya, Eny Kusmiani, 53, bersama untuk menikmati detik manis dalam kehidupannya sebagai penghibur. INFO: Rossa
Nama penuh: Rossa Roslaina Sri Handayani
Nama komersial: Rossa
Tarikh Lahir: 9 Oktober 1978
Umur: 30 tahun
Asal: Sumedang, Indonesia
Album: Untuk Sahabatku (1989), Nada Nada Cinta (1996), Tegar (1999), Hati Yang Terpilih (2000), Kini (2002), Kembali (2004), Yang Terpilih (2006), OST Ayat Ayat Cinta (2008) dan Rossa (2009) .
Sinetron: Dua Sisi Mata Uang dan Perisai Kasih.


No comments:

Post a Comment