Thursday, August 13, 2009

Hot FM Jatuh No.3

Hot FM ada agenda mantapkan kedudukan "KITA tak perlu risau apa yang stesen radio lain buat, sebaliknya, yang perlu jadi keutamaan ialah apa yang kita mahu rancang dan laksana bagi terus memantapkan kedudukan radio naungan Media Prima Berhad," kata Ketua Pegawai Operasi Hot FM, Seelan Paul mengenai faktor kekuatan dan kelemahan stesen radio milik syarikat itu. Seelan ditemui Hip pada malam meraikan media dipanggil Flying Hot Media Pool Party yang diadakan di Hotel Impiana, KLCC baru-baru ini. Malam itu bukan saja stesen radio Hot FM yang bertindak sebagai tuan rumah, sebaliknya ia turut disertai dua lagi stesen radio naungan Media Prima, Fly FM dan One FM.

Majlis tradisi yang sering diadakan syarikat tertentu dalam menghargai pihak media itu sebenarnya lebih kepada meraikan simbolik Hot FM yang sekali lagi berjaya mengekalkan kedudukan sebagai stesen radio nombor satu negara bagi kategori pendengar di bawah lingkungan umur 35 tahun. Selain kejayaan Hot FM, kajian dikeluarkan AC Nielsen Jun lalu juga menunjukkan Rangkaian Radio Media Prima lain iaitu Fly FM dan One FM turut mencatatkan kedudukan yang kukuh dalam pasaran masing-masing. Fly FM menunjukkan kenaikan 70 peratus pendengar, sementara stesen radio bahasa Cina, One FM berjaya memenangi hati 300,000 pendengar dalam tempoh enam minggu bersiaran. Bagaimanapun, secara keseluruhannya, Hot FM terutamanya jatuh ke tangga ketiga selepas dipintas Sinar FM. Radio Era masih unggul di tangga pertama. Sebelum ini, Hot FM di tangga kedua. Menurut Seelan, pihaknya tidak menafikan fakta kejatuhan stesen radio Hot FM dan melihat persaingan ini sebagai sesuatu yang sihat.

KETUA pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar dan Seelan Paul sempat mengusik ketika memberikan ucapan di pentas.
“Kami di Media Prima Berhad sentiasa mengalu-alukan persaingan sesama stesen radio di negara kita. Kepelbagaian dan variasi yang ditawarkan stesen radio sebenarnya memberi banyak pilihan kepada pendengar. Malah sejak awal kemunculan Hot FM lagi dari 2006, kita sudah berdepan dengan persaingan terbuka dalam menyesuaikan diri sebagai stesen radio baru ketika itu. “Istilah persaingan ini yang sebenarnya membuatkan kita tidak boleh terlalu selesa dengan kedudukan yang dimiliki. Salah percaturan dan silap hari bulan, kita akan jatuh terduduk. Namun dalam bidang ini, soal turun naik menjadi lumrah. Lalu, semuanya bergantung kepada kita untuk terus menjadi lebih inovatif dan kreatif,” kata Seelan Paul. Kata Seelan lagi, 2009 menunjukkan lonjakan yang baik buat Hot FM sendiri. Malah katanya komitmen yang ditunjukkan deretan penyampai radio di samping pihak pengurusan menjadi nadi kepada kekuatan dalaman stesen radio itu. Segmen kendalian Faizal Ismail dan Fara Fauzana iaitu AM Krew juga masih mengekalkan posisi sebagai rancangan pagi nombor satu Malaysia. “Perubahan kandungan akan dibuat daripada semasa ke semasa. Malah kita juga akan terus merangka aktiviti yang boleh terus mendekatkan Hot FM dengan pendengar. Sebagai contohnya siri jelajah Hot FM Le Tour De Gerai yang berakhir bulan lalu. Kami akan cuba buat perkara yang lebih inovatif untuk menarik minat pendengar.

“Berdasarkan kajian yang kami lakukan, tidak akan ada rombakan membabitkan penyampai radio lagu buat masa sekarang. Tiada orang baru lagi selepas Kieran menyertai Hot FM sejak November tahun lalu. Gandingan Kieran dan AG untuk slot Jawa Rangers juga menunjukkan perkembangan yang baik. Begitu juga dengan Hot FM Zone yang dikendalikan Anne serta Ikhwan dan Menu Muzik Hot FM kendalian Leya dan Tini,” katanya. Seiring dengan perkembangan teknologi dan kemunculan media baru, Hot FM juga tidak ketinggalan mempraktikkan apa saja kemudahan yang boleh memberi keuntungan dan manfaat kepada pendengar. Kata Seelan, sejak setahun lalu lagi, Hot FM sudah mula mengintai dan cuba meneroka pasaran baru memberi variasi kepada cara stesen radio itu dapat didengari. “Dengan kemudahan yang kita kecapi sekarang, selain menggunakan TV (seperti siaran AM Krew di 8TV), kita juga boleh mengintegrasikan radio dan online (internet) serentak. Lalu di sini, bukan saja elemen audio yang dipentingkan, aspek video juga memainkan peranan penting. Ia adalah satu revolusi yang boleh menjadi satu penanda aras. Ini juga sebagai usaha untuk memastikan impak peranan radio itu lebih besar skopnya,” katanya. Malam media itu turut mempersembahkan nyanyian daripada penyampai radio Fly FM, Hunny Madu dan kekasih hati Zahid, Nita yang bakatnya dicungkil daripada pertandingan realiti Malaysian Idol. Seperti biasa, acara cabutan bertuah diadakan menawarkan hadiah menarik seperti TV, telefon bimbit, komputer riba dan baucar pembelian minyak kereta.

No comments:

Post a Comment