Saturday, August 8, 2009

Nama Baru,Kurang Komersial Ungguli FFM22

Nama baru, kurang komersial ungguli barisan Top 5 buka mata pencinta hiburan SENARAI pencalonan akhir Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) memperlihatkan kebangkitan nama baru serta pelakon berbakat namun kurang komersial untuk mengungguli barisan Top 5. Pencalonan yang diharap akan mengalih perhatian khalayak yang barangkali sebelum ini khayal dengan wajah komersial, seterusnya mencipta ruang selesa untuk mereka berkarya atas tiket bakat.
Pencalonan yang diterima juga mendesak pencinta hiburan supaya membuka mata dan melihat kekuatan bakat yang sedang mewarnai industri perfileman tempatan untuk diberi sokongan dan diletakkan pada kedudukan sewajarnya. Kategori utama memperlihatkan persaingan sengit antara nama yang sudah diakui kekuatan bakat mereka, namun turut dicabar beberapa nama baru yang berpotensi untuk mencipta kejutan pada malam kemuncaknya di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah esok. Ketiadaan Mamat Khalid yang terpaksa menangguhkan pencalonan filem arahannya, Estet berikutan masalah salinan filem memberi ruang selesa kepada Afdlin Shauki dan Allahyarham Yasmin Ahmad untuk bersaing bagi kategori Pengarah Terbaik.
SETEM lakonan Afdlin dan Rashidi cemerlang dengan 10 pencalonan.
Afdlin mempertaruhkan sentuhan terbarunya dalam Papadom, manakala Yasmin mempamerkan kecemerlangan menerusi karya terakhirnya, Talentime sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 25 Julai lalu. Peluang Yasmin untuk merangkul gelaran itu semakin jelas apabila Talentime menerima 11 pencalonan untuk kedua-dua anugerah, Anugerah Perdana dan Anugerah Cipta. Talentime menerima pencalonan untuk kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Senimatografi Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Harapan Wanita, Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik. Bagaimanapun, pencalonan terbanyak bukan jaminan untuk Talentime melangkah selesa kerana Sepet yang pernah diangkat sebagai Filem Terbaik pada FFM18 gagal menobatkan Yasmin sebagai Pengarah Terbaik.
Nadia Mustafar
Kemungkinan juga Bade Haji Azmi yang menerima pencalonan menerusi Maut pulang dengan kejutan, sementelah pengarah berpengalaman itu pernah meraih kemenangan pada FFM16 menerusi KL Menjerit. Untuk kategori itu, mereka disaingi dua nama yang semakin mempamerkan kehebatan dalam bidang pengarahan iaitu Ahmad Idham yang mempertaruhkan Syurga Cinta dan Pierre Andre yang menyandar harapan kepada Jangan Tegur. Turut meraih perhatian adalah kategori Pelakon Lelaki Terbaik yang memperlihatkan persaingan sengit antara tiga aktor berwibawa iaitu Que Haidar (Maut), Afdlin Shauki (Papadom) dan Rashidi Ishak (Setem). Ketiga-tiga mereka menunjukkan prestasi lakonan yang membanggakan dan Rashidi umpamanya, memberikan mutu persembahan di luar jangkaan apabila berjaya keluar daripada ruang selesa menerusi arahan Kabir Bhatia, Setem. Mereka turut dicabar dua muka baru, Awal Ashaari yang mempamerkan kekuatan bakatnya dalam Syurga Cinta selain Mahesh J Kishor yang diperkenalkan Yasmin menerusi Talentime. Meskipun Sharifah Amani pernah menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi Sepet pada FFM18, laluannya pada FFM22 agak sulit. Apatah lagi, untuk kategori itu Amani disaingi kehebatan lakonan pelakon muda berpengalaman, Nabila Huda mewakili Bohsia serta Nadia Mustafar yang mempamerkan lakonan berkesan dalam filem seram, Jangan Tegur. Amani menjadi nadi yang menggerakkan Sayang U Can Dance turut dicabar Liyana Jasmay yang bakal muncul dengan Papadom, Oktober depan. Saingan sengit barangkali antara Nabila dan Nadia. Kategori itu juga melihat kebangkitan bakat baru, Heliza yang menyerlah dalam Syurga Cinta. Milik siapa trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik kerana tiga daripada calonnya ialah pelakon yang berjaya membuktikan kredibiliti mereka dalam dunia lakonan. Indi Nadarajah yang bertanding atas tiket Setem mempunyai pengalaman luas dalam lakonan teater, manakala Shaheizy Sam yang beraksi dalam Bohsia juga bukan calang-calang aktor. Keberkesanan lakonannya yang membawakan watak hitam sebagai Mat Rempit bernama Acai menerima pujian ketika filem arahan Syamsul Yusof ditayangkan kepada umum, akhir April lalu. Que Haidar sekali lagi membolosi Top 5 menerusi lakonannya dalam Papadom dalam kategori yang turut menampilkan dua nama baru, Mohd Shafie Naswip (Talentime) dan Nas-T (Kami The Movie). Tiga nama berpengalaman turut bersamanya, namun Salina Saibi yang selama ini lebih menyerlah sebagai pelakon drama mungkin mampu menjulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Biarpun dicabar Vanidah Imran menerusi Setem dan Adibah Nor (Talentime), kredibiliti lakonan Salina lebih diuji menerusi Bohsia. Kategori itu turut membariskan pelakon berkarakter, Noorkhiriah yang mempertaruhkan lakonannya dalam Papadom selain Scha Al Yahya yang berjaya membuka mata peminat filem menerusi arahan James Lee, Histeria. FFM22 turut memperlihatkan keunggulan Setem dengan 10 pencalonan menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pelakon Harapan Lelaki serta Poster Terbaik. Turut menerima pencalonan terbanyak adalah Papadom arahan Adlin Shauki dengan sembilan pencalonan menerusi kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik serta Penataan Seni Terbaik. Apa kata finalis FFM22:
Heliza Helmi: “SESUATU yang tidak pernah saya fikirkan, lebih lagi membolosi Top 5 Pelakon Wanita Terbaik kerana saya masih terlalu baru dan cetek pengalaman sebagai pelakon. “Syurga Cinta menguji saya untuk membawa watak yang jauh lari daripada sifat sebenar saya yang selamba dan bersahaja, malah memberikan tekanan apabila diminta menangis serta beraksi romantis. “Semua itu memberikan cabaran lebih lagi saya belum biasa beraksi di depan kamera sebagai pelakon. Saya juga tidak punya banyak masa untuk mengkaji watak itu namun bernasib baik kerana mendapat bimbingan daripada pengarah, Ahmad Idham serta Awal Ashaari. “Membolosi Top 5 adalah pencapaian semua yang terbabit dalam produksi itu. Saya tidak mungkin berada pada tahap ini jika tanpa bimbingan mereka. “Teguran mereka menyedarkan saya hidup sebagai anak wayang tidak mudah. Saya tidak pernah mengeluh biarpun terpaksa melakonkan semula itu dan ini kerana semua itu membantu saya untuk tampil terbaik di layar perak”. Nadia Mustafar: “PERTAMA kali nama saya membolosi Top 5 dalam mana-mana festival membuatkan saya terharu kerana selepas berbelas tahun berlakon, bakat saya dilihat dan dihargai. “Lebih bermakna, pencalonan ini dibuat bukan atas dasar populariti sebaliknya bakat saya dinilai barisan panel juri profesional membuatkan saya begitu menghargainya. “Alhamdulillah, komitmen saya terhadap bidang yang menjadi punca rezeki dan karier memberi pulangan berbaloi dengan pencalonan ini. “Lebih mengujakan, kategori ini menyaksikan kebangkitan nama baru yang secara tidak langsung memperlihatkan industri kita tidak pernah ketandusan bakat untuk diketengahkan. “Ia membuktikan pelakon muda seperti mereka melihat bidang ini sebagai sesuatu yang serius, membuatkan saya berasa bertuah kerana berada dalam kelompok terbaik buat pertama kali dalam sejarah dunia lakonan saya”.
Salina Saibi: “BOHSIA adalah filem pertama membuatkan saya bertekad untuk bersungguh-sungguh ketika di lokasi. Peluang seperti tidak datang mudah dan apabila memperolehnya, saya berusaha keras untuk tidak mengecewakan kepercayaan yang sudah diberikan. “Bohsia memberikan pengalaman lakonan yang luar biasa. Saya memperoleh kepuasan kerana karektor yang dibawa mempunyai pelbagai warna yang memberi momentum kepada lakonan saya. “Jujurnya saya berada dalam industri bukan untuk mencari glamour atau mengejar populariti. Sebaliknya saya cuma mahu berkongsi sedikit bakat yang saya ada dan alhamdulillah, Bohsia membawa saya melangkah jauh dalam lakonan. “Melihat senarai finalis saja sudah membuat saya berasa kerdil dan tidak berani menaruh harapan terlalu tinggi. Berada dalam kelompok Top 5 saja sudah memberi kemenangan kepada saya”.
Awal Ashaari: “IA sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran, terutama sebelum ini saya berada dalam bidang lakonan sekadar untuk mencuba. “Pencalonan ini membuat saya teruja namun pada masa sama berasa kecil kerana saingan saya semuanya sudah diakui kehebatan mereka di layar perak. “Selama empat tahun dalam industri, ini kali pertama saya merasai nama tersenarai dalam Top 5. Lebih bermakna, ia dipilih oleh juri profesional dan bukan berdasarkan populariti. “Syurga Cinta juga menemukan saya kepada kecintaan sebenar terhadap dunia lakonan. Saya ingin berterima kasih kepada Heliza dan adik Haziq kerana kesungguhan mereka memberi motivasi kepada saya untuk turut sama melipatgandakan usaha di lokasi. “Saya menemui kepuasan sebenarnya dalam Syurga Cinta, malah menjadi hadiah paling bermakna pada ulang tahun kelahiran yang ke-28 pada 6 Ogos ini”.

No comments:

Post a Comment