Tuesday, October 13, 2009

Stacy Memang Gempak!

Akhirnya, penantian mereka berbaloi apabila kelibat Stacy dan juga abangnya, Chaq memasuki dewan hotel, justeru menggamatkan lagi suasana. Sudah tentu, tiada apa yang diinginkan selain dapat melihat secara dekat persembahan bertenaga Stacy dan wajahnya yang comel itu.Justeru, apabila langkah penyanyi kelahiran Sabah ini menuju pentas menyanyikan lagu yang kini mendapat perhatian ramai, Pakai Buang, masing-masing terpaku malah terpesona dengan kelantangan dan rentak tarian yang dipersembahkan Stacy. Melihat pada aksinya yang begitu bertenaga, maka tidak menghairankan apabila ada sesetengah pihak menggelarnya, Anita Sarawak versi muda. Menyentuh pada gelaran itu tatkala bertemunya selepas majlis Warna-Warni Aidilfitri Bersama Stacy dan Chaq, di Hotel Brisdale, baru-baru ini, Stacy, 19, hanya tersenyum di kala persoalan itu diajukan kepadanya. Malah, percakapan mesranya sebelum itu terhenti seketika mungkin memikirkan jawapan sesuai untuk diberi.Akui Stacy, dia sememangnya meminati penghibur bertaraf antarabangsa itu tetapi untuk menyamainya bagaikan langit dengan bumi. Apatah lagi, perjuangannya dalam industri baru bermula dan tidak mungkin layak digelar sebegitu."Pertama kali terdengar gelaran itu, terkejut juga. Rasanya, rentak lagu dan persembahan yang saya pamerkan berdasarkan personaliti sendiri dan tidak terniat langsung untuk terikut-ikut dengan penyanyi yang sudah ada nama dalam industri ini, apatah lagi kak Nita."Karakter saya memang seperti ini, seorang yang lincah, peramah, gembira dan suka menari di atas pentas. Mungkin disebabkan itu, ada yang melihat saya seperti kak Nita versi muda. Tetapi, saya rasa tidak layak langsung digelar sebegitu kerana pengalaman masih cetek dan banyak perlu dipelajari."Bagaimanapun, saya bersyukur apabila perjuangan ini dihargai. Bagi saya, gelaran itu satu penghargaan yang tidak ternilai harganya sepanjang dua tahun membabitkan diri dalam industri. Namun, saya harap masyarakat menerima saya sebagai Stacy dan bukan orang lain. "Setiap hari, saya bekerja keras membentuk identiti yang memberi kelainan berbanding artis lain. Lagipun, ramai menasihati saya agar tampil dengan identiti tersendiri kerana peminat tidak suka artis yang hipokrit. Melihat saya di pentas, itulah diri saya yang sebenarnya," katanya.Bekerja dalam industri hiburan, secara tidak langsung memberi ruang besar kepada Stacy untuk bertemu dengan Anita. Atas alasan itu, Stacy sentiasa mengambil peluang mendekati Anita di mana-mana majlis yang dianjurkan oleh stesen televisyen mahupun syarikat korporat apabila berkesempatan bertemu dengannya
"Kalau berpeluang, memang menjadi idaman saya menjayakan persembahan pentas bersamanya. Bagi saya, kak Nita tidak pernah sombong atau lokek ilmu. Banyak nasihat dan motivasi yang dia berikan kepada saya. Paling saya ingat ialah kita perlu kental, banyak bersabar dan tidak mudah putus asa sekiranya mahu berjaya dalam industri," katanya
Karakter Stacy yang begitu lincah orangnya, ramai mengetahui dia berupaya menyanyikan lagu bergenre rancak dengan baik. Malah, lagunya sebelum ini iaitu Aku Stacy, Gagap dan terbaru Pakai Buang, semuanya berkonsepkan rancak. Justeru, timbul persoalan adakah Stacy hanya mampu menyanyikan lagu rancak saja?"Saya tahu peminat mudah bosan sekiranya tampil dengan satu konsep lagu saja. Walaupun diri amat meminati lagu rancak dan suka menari di pentas, sebagai penyanyi saya perlu mempelbagai serta mencuba semua genre lagu. Bukan tamak, kerana jauh dari sudut hati ada terlintas untuk tampil dengan lagu berkonsepkan balada malah ada permintaan dari peminat."Menyanyikan lagu balada, memberi cabaran tersendiri kerana menguji penjiwaan melodi seseorang penyanyi itu. Mungkin, selepas ini saya akan mempertaruhkan lagu balada dalam single terbaru. Ketika ini, saya dalam proses mengumpulkan material untuk album kedua."Masih banyak lagi yang perlu dilakukan iaitu anggaran dalam 99 peratus dan saya baru saja keluarkan single duet bersama Adam AF (2) berjudul Menggegar Dunia. Lirik dan gubahan adalah Edry Kru, masih mengekalkan konsep rancak. Ada permintaan dari peminat yang inginkan kami digandingkan bersama kerana masing-masing pandai menari," katanya.Mengenai perkembangan terkininya di bawah pengurusan baru, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) selepas tertutupnya operasi Maestro Talent & Management Sdn Bhd (Maestro), kata Stacy, kerjayanya lebih terurus berbanding sebelumnya."Bukan bermaksud Maestro tidak bagus. Cuma artis di bawah AESB tidak ramai jadi tumpuannya lebih banyak serta terurus. Mereka banyak bertanya mengenai masa depan dan tahu apa yang sesuai untuk seseorang artis itu," katanya.Berkaitan dengan majlis Warna Warni Aidilfitri, beritahu Stacy semuanya diuruskan oleh kelab peminatnya, Stacy Frenz. Walaupun dia bukan beragama Islam, namun Stacy tidak kekok menggayakan kebaya moden tajaan Noor Arfa Batik dan melayan mesra peminatnya. "Selepas keluar dari AF tahun lalu, saya agak terkejut apabila diberitahu yang saya sudah ada kelab peminat sendiri. Mereka banyak mengadakan majlis kepada saya seperti hari jadi dan hari raya. Ini adalah kali kedua mereka menganjurkan majlis hari raya dan saya tidak perlu keluarkan apa-apa langsung. Mereka uruskan semua dan saya cuma datang menghiburkan dan menyanyikan lagu saja," katanya.Selama satu jam setengah, peminat dihiburkan dengan kelantangan dan kerancakan Stacy ketika mendendangkan tiga buah lagu, Senandung Hari Raya, The Climate dan Pakai Buang. Selain itu, acara turut diselang-selikan dengan persembahan abangnya, Chaq bersama rakan rapatnya yang juga peserta Mentor musim ketiga iaitu Thye dan Hairul.Peminat bukan saja dilayan mesra oleh artis yang hadir malah turut berpeluang bergambar mesra bersama artis kesayangan mereka.

Dua Wanita Pisau Cukur

Itu hanya dari segi luaran, hakikatnya, Maya dan Fazura mampu hidup selesa hari ini dengan mempertaruhkan bakat besar mereka dalam bidang seni. Namun, siapalah mereka untuk menghalang cakap-cakap negatif orang di luar sana ?Kata Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke, 29, sebelum bergelar selebriti, dia mengakui pernah berkawan dengan anak orang berada."Saya pernah 'berdating' dengan lelaki kaya ketika masih belajar dulu. Ketika itu, saya masih muda remaja. Sebenarnya, saya tertarik dengan personalitinya yang menarik dan bukan harta dan wang ringgitnya. Saya juga tahu, saya berkawan dengannya ikhlas dan memang bukan ke arah itu. "Tapi, saya hanya berkawan dengannya selama dua tiga bulan saja kerana berasa takut dengan diri sendiri jika ada orang menganggap saya gadis pisau cukur yang mengikis duit lelaki kaya. Pada masa sama, saya juga bertanya pada diri sendiri, kenapalah si dia itu kaya sangat dan bukan di kalangan orang biasa saja?," katanya. Secara peribadi, kata Maya yang kini sudah lebih setahun bergelar isteri, dia juga memandang serong terhadap 'wanita pisau cukur' atau dalam bahasa Inggerisnya 'gold digger' ini ketika usia masih muda dan remaja. "Sebenarnya, saya tidak setuju gadis muda menjadi pisau cukur untuk menjalani hidup mewah. Namun, apabila usia meningkat dewasa, saya lebih faham dengan situasi mereka atau kenapa mereka memilih jalan hidup sedemikian."Tidak dinafikan, ramai gadis muda sekarang yang mengejar lelaki kaya untuk hidup mewah. Saya memang tidak setuju jika mereka memilih cara hidup seperti itu. Bagaimanapun, itu adalah jalan hidup yang mereka pilih dan tiada kaitan dengan hidup saya. Siapalah saya untuk menghalang mereka memilih jalan hidup seperti itu?," katanya. Kata Maya, dia memang tidak boleh terima jika wanita pisau cukur yang berkahwin dengan orang kaya, tetapi berlagak sombong selepas hidup senang lenang."Lebih teruk lagi, wanita pisau cukur yang hidup mewah itu tidak sedar diri dan asal usul mereka. Saya juga lebih menghormati wanita yang hidup mewah kerana usaha dan titik peluh mereka sendiri dan bukan menumpang kesenangan orang dengan mengikis harta mereka," katanya. Terus terang, kata Maya, ketika ditawarkan berlakon dalam Pisau Cukur, dia memang terkejut sedikit kerana bimbang dengan tanggapan serong orang kepadanya selepas ini.
"Tapi apabila mendapati watak Bella sangat menarik, saya terus menerimanya. Watak Bella yang mengada-ngada dan kelakar ini memang jauh berbeza daripada karakter sebenar saya dan watak itu lebih ringan berbanding beberapa filem saya yang terdahulu," katanya.
Maya juga berkata, ini gandingan julung kalinya dengan Fazura yang pernah mengungguli Pelakon Harapan pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-17. Pada mulanya, saya bimbang juga untuk bergandingan dengannya kerana dia pelakon muda yang berbakat besar."Tapi selepas kami bekerjasama dalam filem ini ternyata memang ada keserasian antara kami berdua. Apa yang penting, kami saling menghormati antara satu sama lain dan saling membantu di lokasi penggambaran. Kami juga sering berbincang dan berkongsi idea untuk memantapkan prestasi lakonan sedia ada," katanya. Jika Maya takut jika dirinya disalah anggap sebagai wanita pisau cukur, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 26, pula mengakui sudah lali dengan cakap-cakap orang yang menganggap dirinya wanita yang mengejar lelaki kaya, sejak dulu."Secara peribadi, pada pandangan saya, wanita pisau cukur adalah isu sensitif untuk diperkatakan orang. Apapun, ia terpulang pada individu itu sendiri kerana setiap orang mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara ini."Sebelum bergelar artis, memang ada orang yang menganggap saya mengejar lelaki kaya untuk hidup mewah. Secara peribadi, saya tidak pernah peduli dengan cakap-cakap orang pada saya selama ini," katanya. Apapun kata Fazura, dia tidak faham kenapa apabila seseorang selebriti yang memakai jenama mewah atau jam mahal pasti orang menganggap ada pihak yang menajanya. "Tidak cukup dengan itu, apabila seseorang selebriti itu memakai kereta mewah, orang juga menganggapnya dia ditaja Datuk atau perempuan simpanan VIP. Apa, mereka fikir artis kita ini sengkek (tidak berduit) sangat ke?," katanya. Mengenai lakonannya sebagai Intan dalam Pisau Cukur, kata Fazura, dia terima tawaran berlakon filem itu kerana ada kelainan."Saya memang rindu untuk berlakon filem lagi. Apabila berlakon, saya juga berpeluang menjadi orang lain. Watak Intan juga sangat berbeza daripada yang pernah dilakonkan sebelum ini."Intan wanita matang yang mengetahui apa yang dimahukannya dalam hidup. Seperti wanita muda lain, Intan juga ingin hidup senang-lenang. " katanya.Fazura berkata, dia juga sudah biasa bekerja dengan Red Communications Sdn Bhd termasuk berlakon dalam siri Gol & Gincu, sebelum ini."Apabila ditawarkan berlakon cerita ini, saya tidak dapat menolak tawaran itu kerana percaya dengan kredibiliti mereka. "Jika Red Communications buat drama atau filem, ia memang sesuatu yang menarik. "Saya juga memang suka watak Bella kerana ia cukup istimewa dan menyerlahkan lakonan saya.Buat peminat di luar sana, ia adalah lakonan terbaik saya setakat ini," katanya. Fazura berkata, dia juga membuat persediaan lengkap sebelum berlakon filem itu. "Watak Intan juga menggambarkan karakter sebenar wanita pisau cukur itu sendiri. Bagi menjiwai watak ini, saya juga membuat kajian mengenainya dengan menonton siri popular seperti Sex & The City dan Ugly Blonde," katanya. Ditanya gandingannya dengan Maya, kata Fazura, mereka memang mempunyai keserasian untuk bekerjasama dalam filem itu."Saya suka berkawan dengan Maya kerana dia mempunyai sikap yang sama seperti saya iaitu tidak hipokrit dan dia juga pelakon yang hebat," katanya.Filem komedi terbaru arahan Bernard Chauly dan diterbitkan Red Communications Sdn Bhd ini turut dibintangi Aaron Aziz, Eizlan Yusof, Redza Minhat, Khatijah Tan, Umie Aida, Sharifah Sofia, Liyana Jasmay dan Nas-T.Cerita ini mengisahkan dua gadis pisau cukur, Intan dan Bella yang juga terperangkap di atas sebuah kapal percutian mewah. Intan dan Bella juga bertembung dengan tiga Datuk, tiga isteri Datuk, dua anak Datuk, seorang detektif dan seorang peminat setia Bella dalam kapal itu. Siapakah yang memburu dan siapa pula diburu dalam pelayaran penuh kejutan dan kelucuan ini? Pisau Cukur akan menemui penonton di pawagam bermula 5 November ini.
>Profil
NAMA SEBENAR: Maya Karin Roelcke
TARIKH LAHIR: 29 Oktober 1979
TEMPAT LAHIR: Bayreuth, Bavaria, Jerman
STATUS: Berkahwin
PROFESION: Pelakon, Penyanyi, Model, Pengacara
SUAMI: Muhammad Ali @ Steven Shorthose
FILEM: No Problem, Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum SundalMalam II, Mr Cinderella 2, Tujuh Perhentian, Waris Jari Hantu, AnakHalal, 1957: Hati Malaya, Duyung, Punggok Rindukan Bulan, Pisau CukurALBUM: Erti Cinta, Bukan Qalamaya
PENCAPAIAN: Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001(ABPBH2001), Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka Jepun (2004), Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona Malaga Sepanyol (2005), Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH2005, Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Ke-6 dan Pelakon Wanita Terbaik FFM21.
NAMA SEBENAR: Nur Fazura Sharifuddin
TARIKH LAHIR: 27 September 1983
TEMPAT LAHIR: Pekan, Pahang
STATUS: Bujang
PROFESION: Pelakon, Pengacara, Model
FILEM: Bicara Hati, Senario XX, Qaisy & Laila, Gol & Gincu, Kayangan,Selamat Pagi Cinta, Kantoi, Pisau Cukur
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Terbaik FFM17

Misha,Tomok Gamatkan Dectar

Bukan sahaja panas dengan aksi permainan futsal, persembahan artis popular dan band indie tambah menggamatkan lagi Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi kelmarin.
Itulah yang berlaku pada acara DiGi Music Showcase yang menjadi selingan final Kosmo! Varsiti Futsal Ahad lalu. Kejohanan itu menobatkan pasukan Sayor FC dari Universiti Teknologi Mara sebagai juara kategori B-23 sekali gus membawa pulang wang tunai RM15,000.
DiGi Music Showcase menampilkan penyanyi terkenal Misha Omar dan juara One In A Million ketiga, Tomok selain memberi peluang kepada band indie beraksi di pentas aliran utama.
Band indie 40 Winks membuka pentas persembahan dengan lagu-lagu unik mereka yang menggabungkan muzik ska dengan beberapa irama lain seperti latin, jazz dan rock.


Ternyata muzik ska mudah melekat di hati penonton biarpun lagu-lagu 40 Winks tidak begitu dekat dengan halwa telinga mereka. 40 Winks mempersembahkan lima buah lagu iaitu It's Up To You, I Want You, Tiada Masa, Mak Minah dan Your Guts.
Vokalis kumpulan New Boyz, Tomok kemudian mengambil alih pentas dengan mendendangkan dua buah lagu termasuk lagu hitnya, Rindu Ku Terhenti. Penyanyi muda itu ternyata berjaya memukau penonton yang teruja dengan kehadiran Tomok di pentas Dectar tersebut.
Selepas Tomok mengundur diri, penyanyi indie Monoloque membuai penonton dengan lagu-lagunya yang sarat dengan mesej. Dia yang lebih mesra dipanggil LoQue merupakan salah seorang pengasas band terkenal Butterfingers.
Dengan sebuah gitar LoQue yang juga seorang komposer dan penulis lirik mendendang lagu-lagu popularnya seperti Jika Aku Seorang Robot dan Semboyan.
Pentas Dectar kemudian terus hangat dengan band indie Love As Arson dari Kemaman, Terengganu. Menampilkan empat buah lagu berjudul Rey, A Walk Home, Things We Lost in Fire dan Temperature Rising Love As Arson membuatkan ramai penonton turut sama bersorak apabila kebanyakan lagunya berentak hardcore.
Saat penyanyi cilik kelahiran Kelantan, Misha tampil di atas pentas penonton Dectar ternyata sudah tidak sabar mendengar suara merdunya apabila ramai yang menjerit-jerit memanggil nama Misha. Membuka persembahan dengan lagu raya, Misha bijak berkomunikasi dengan peminatnya apabila tidak kaku di pentas.
Biar pun dikerumun peminat yang mahu bergambar dengannya, Misha dengan selamba turun dari pentas dan bernyanyi bersama penonton di bawah. Misha menghiburkan peminatnya dengan tiga buah lagu lagi iaitu, Pupus, Pulangkan dan lagu berhantunya, Bunga-bunga Cinta.

Radio Era Tidak Dianak Tirikan..

Radio Era dianak tirikan?Jawapannya tentulah tidak..Program Radiopera yg dibawakan oleh Astro dgn kerjasama Hot fm adalah program baru menggabungkan artis dan penyampai radio..Ramai yg tertanya2 tujuan astro memilih hot fm sebagai rakan utk bekerjasama..Astro adalah sebuah stesen swasta yg tidak pilih kasih..Pemmilihan hot fm adalah bertujuan utk menarik perhatian pendengar stesen radio media prima itu untuk menjayakan Radiopera..Tambahan pula,Hot fm adalah stesen radio yg sedang meningkat naik..Jadi tiada isu untuk dibangkitkan..Walaupun Radio Era berada di bawah Astro,tidak bermakna Astro harus mengutamakan radio naungannya..

Monday, October 12, 2009

Lelaki & Minyak Wangi

Tip pilih haruman sesuaiBIARPUN sekadar bau, pemilihan minyak wangi sesuai mampu menyerlahkan karektor empunya diri. Sama ada haruman daripada jenis Eau de Parfum (minyak) ataupun Eau de Toilette (semburan), lelaki harus memahami fungsi minyak wangi. Jika dulu haruman dan wangian lebih dekat dengan wanita, lelaki zaman moden semakin menitik berat soal penjagaan diri termasuk menyembur haruman.

Sesuai dengan imej maskulin dan kelelakian, haruman untuk lelaki banyak berteraskan pati buah-buahan, rempah dan aroma kayu yang membangkit pesona dan tarikan maskulin. Tidak seperti wanita yang lebih sinonim dengan unsur bunga-bungaan, haruman untuk lelaki lebih berunsur maskulin dan berbau sedikit kuat untuk menampakkan karektor sebenar lelaki. Difahamkan, seni pembuatan minyak wangi bermula ketika zaman kuno masyarakat Mesir. Ia berkembang di kalangan masyarakat Rom dan Arab sebelum diperkenalkan di Eropah pada kurun ke-14. Perkataan perfume itu sendiri dipercayai berasal dari ungkapan Latin.
Pemilihan haruman yang sesuai mampu menonjolkan karektor diri, sama ada romantik, periang, tegas dan bercirikan individu. XY - Stailo minggu ini memaparkan pelbagai koleksi terkini jenama minyak wangi khusus untuk lelaki. Haruman ini memfokuskan ciri-ciri individu dan karektor mereka. Tidak saja menarik dari segi rekaan botol, setiap jenama minyak wangi memiliki identiti tersendiri. Sama ada haruman berteraskan unsur rempah atau buah-buahan sitrus, ada minyak wangi dicipta lebih istimewa dengan kombinasi pelbagai bahan. Pengurus Pemasaran L'oreal Prestij Collection International (PCI) Asia, Casandra Teo berkata, lelaki pada dasarnya mahu minyak wangi dari jenis tahan lama selain mementingkan imej sofistikated jenama haruman yang berprestij.

Teo berkata, fungsi haruman lelaki merangkumi perbezaan siang dan malam di mana unsur segar dan lembut lebih sesuai digunakan waktu siang manakala haruman jenis berempah dan kasturi sesuai disembur pada waktu malam. "Potensi pasaran untuk haruman lelaki semakin menggalakkan. Ini membuatkan banyak jenama meningkatkan kandungan selain mempelbagaikan haruman baru termasuk kandungan uniseks," katanya. Pendapat sama turut dikongsi Eksekutif Kanan Pemasaran Aramis & Designer Fragrances, Ashley Wong yang menyimpulkan secara keseluruhan lelaki urban menggemari haruman bercirikan maskulin. Jejaka juga suka haruman yang dapat bertahan lama. "Misalnya, lelaki Melayu lebih cenderung mengenakan minyak wangi yang mampu memberi kesan haruman lebih kuat serta tahan lebih lama. "Dari segi jenama yang kami pasarkan, minyak wangi Sean John paling mencuri tumpuan kerana lebih bercirikan maskulin berbanding DKNY Men yang lebih kepada unsur buah-buahan," katanya. Biar apapun pilihan haruman berdasarkan cita rasa dan identiti diri, pastikan minyak wangi yang digunakan sesuai dengan acara dihadiri. Elak menyembur minyak wangi beraroma kuat pada waktu siang serta usah menyimpan minyak wangi hingga tempoh tiga tahun dari jangka hayat penggunaannya.
Tip pilih minyak wangi ideal

1. Ketahui fungsi minyak wangi iaitu daripada jenis Eau de Parfum (minyak) atau Eau de Toilette (semburan).
2. Eau de Parfum lebih bertahan lama berbanding Eau de Toilette.
3. Bau haruman pada botol tidak semestinya sama selepas anda memakainya. Sebaiknya, sembur haruman pada kertas atau di pergelangan tangan untuk mendapat pengesahan.
4. Biarkan beberapa minit untuk mendapatkan bau sebenar meresap lalu dipastikan serasi atau tidak.
5. Sembur minyak wangi pada pergelangan tangan, bahagian nadi dan leher untuk memastikan haruman tahan lama dan merebak.
6. Tidak semestinya haruman yang dipakai orang lain sama kesannya dengan anda kerana faktor biologi dan hormon badan manusia.
7. Hidu biji kopi andai anda ingin segera menghilangkan bau haruman dan mencuba haruman lain.
8. Ada minyak wangi menjanjikan haruman berkekalan sehingga lapan jam apabila disembur. Secara purata kesan bau haruman mampu bertahan empat jam.
9. Usah terburu-buru membuat keputusan untuk membeli minyak wangi. Anda dibenarkan untuk menghidu pelbagai haruman mengikut cita rasa.
10. Akhir sekali, jangan malu mendapatkan bantuan jurujual untuk memperoleh lebih banyak maklumat mengenai sesuatu produk.. Selamat mencuba!
Kategori haruman:

Bunga-bungaan - Unsur bunga banyak berkait rapat dengan feminin dan elemen romantis.
Buah - Campuran ekstrak buah pilihan sesuai untuk membangkitkan unsur segar dan hangat.
Lautan - Elemen sintetik dan bau alam menjanjikan haruman tahan lebih lama.
Kehijauan - Unsur segar yang memberi inspirasi haruman alam semula jadi.
Oriental - Erotik dan seksi mengandungi bau-bauan seperti vanila, kasturi, rempah dan bunga-bungaan.
Tumbuhan kayu - Inspirasi unsur alam - haruman ini kaya dengan bau kulit kayu dan tumbuhan tropika.

Suara Imran Ajmain Sengau?

MELODI Seribu Tahun berjaya memperkenalkan lelaki ini ke persada seni muzik tanah air hampir tiga tahun lalu. Berbekalkan irama yang indah serta liriknya yang menyentuh perasaan membuatkan nama si penyanyi, Imran Ajmain kian diingati peminat. Dan bermula dari situlah, kerjaya seni penyanyi yang berasal dari Singapura ini terus berkembang sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara penyanyi dari luar yang berjaya menempa nama di Malaysia. Bukan saja mempunyai bakat sebagai penyanyi tetapi penyanyi tinggi lampai ini juga berkebolehan mencipta lagu. Malah, untuk album keduanya yang berjudul Punca dan Tindakan, kebanyakan lagu yang dimuatkan dalam album itu adalah hasil tulisannya sendiri. Antara lagu yang semakin mendapat perhatian di corong radio adalah Selamat Ulang Tahun Sayang dan Jika Kau Pergi, yang juga menjadi lagu tema untuk drama bersiri Yusof, yang disiarkan di saluran TV3.

Namun, di sebalik bakatnya yang bervariasi itu, timbul juga cakap-cakap belakang yang mengatakan Imran sebenarnya tidak boleh menyanyi. Malah ada juga yang menyarankan jejaka berkulit putih melepak ini supaya berhenti menyanyi dan menumpukan sepenuh perhatiannya dalam bidang penciptaan lagu. “Saya juga tahu yang ada orang mengatakan suara sengau. Dakwaan itu memang saya tak boleh terima dan saya tak rasa suara saya sengau. Saya akui suara saya memang tak sehebat penyanyi lain. Jadi apa yang saya lakukan adalah kebanyakan lagu yang saya cipta untuk nyanyian saya sendiri, adalah bersesuaian dengan vokal saya,” jelas Imran ketika ditemui pada majlis rumah terbuka dan pelancaran klip video Selamat Ulang Tahun Sayang dan Jika Kau Pergi di Red Box The Gardens, MidValley City, baru-baru ini. Kata Imran lagi, dia bersyukur kerana dalam pada ada yang mendakwa kononnya dia tidak boleh menyanyi namun masih ada juga peminat yang menggemari lagu nyanyiannya.
Siti pernah minta lagu Imran “Saya tidaklah kecewa sangat dengan dakwaan seperti itu kerana setiap orang mempunyai penilaian tersendiri. Apapun, saya rasa bangga kerana lagu nyanyian saya tetap disukai ramai. Contohnya, Datuk Siti Nurhaliza, Umie Aida adalah antara mereka yang menggemari lagu ciptaan saya. Malah lagu Selamat Ulang Tahun Sayang juga mencapai jualan nada dering tertinggi setakat ini. Itu sudah cukup membanggakan saya,” katanya yang dia tidak akan berhenti menyanyi selagi peminat masih menyukainya. Sebagai komposer, Imran berkata dia tidak mengehadkan lagu ciptaannya hanya untuk nyanyian saja. Sebaliknya, dia turut menyumbangkan lagu ciptaannya pada penyanyi lain. “Siti juga pernah meminta saya menulis lagu untuknya tetapi disebabkan kesuntukan masa kerana terlalu banyak komitmen lain, saya terpaksa melupakan seketika hasrat untuk menyumbangkan lagu kepada penyanyi pujaan ramai itu. Pun begitu, Insya-Allah, jika ada masa dan kesempatan saya pasti akan menciptakan lagu untuk Siti,” kata Imran sambil memberitahu dia pernah menolak untuk berduet dengan Siti kerana tidak mahu merosakkan lagu itu.
Jika dulu ke mana saja langkah Imran pasti akan diiringi pengurusnya Aszuad. Pun begitu sejak kebelakangan ini, kelibat Imran sering kelihatan berseorangan. Ada ‘angin lintang’ membawa perkhabaran kononnya Imran dan Aszuad kini tidak lagi sehaluan membuatkan kerjasama antara mereka tidak dapat diteruskan. “Sebenarnya Aszuad sudah tidak menguruskan saya sejak April lalu. Buat masa ini saya lebih senang menggunakan khidmat pembantu peribadi (PA) saja. Kalau ada apa-apa urusan rasmi, saya menggunakan khidmat Metadome kerana saya sekarang bernaung di bawah syarikat rakaman itu. Saya tahu apabila saya tidak bersama dia, ramai yang mengatakan saya dan dia bergaduh atau bermasam muka. ”Keputusan yang kami ambil ini dibuat secara profesional dan hubungan kami masih baik. Malah dia ada mengundang saya untuk menyaksikan persembahan sebuah kumpulan dari Indonesia. Apa yang boleh saya katakan, kami tidak lagi bekerjasama kerana haluan kami sudah berbeza. Rasanya lebih baik saya uruskan sendiri. Secara tidak langsung, saya belajar selok belok dalam industri ini. Senang nanti apabila saya mahu menguruskan sendiri kerjaya nyanyian saya,” katanya yang menjadikan penyanyi Ning Baizura, yang ketika ini menguruskan sepenuhnya kerjaya seninya sebagai contoh terdekat. Mengulas pembikinan klip videonya yang berkonsepkan 1Malaysia itu, Imran berkata apa yang dipaparkan itu adalah ideanya sendiri. “Untuk klip video Selamat Ulang Tahun Sayang, kami hasilkan klip video itu berdasarkan inspirasi kepada hasil kerja Allahyarham Yasmin Ahmad. Klip video ini mempunyai jalan cerita dan pendekatan yang pernah diambil arwah dalam setiap filem arahannya. Kira ini adalah penghargaan kami terhadap hasil kerjanya selama ini. Begitu juga dengan lagu Jika Kau Pergi. Saya juga suka dengan klip video ini kerana konsepnya yang agak klasik dan menggunakan kesan khas, selain jalan ceritanya yang menarik,” kata Imran mengenai klip video yang kedua-duanya diarahkan Shegar dari Eye Design.
Jadi duta Lembaga Pelancongan Singapura PEMERGIAN Imran mewakili Singapura dalam pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles, Julai lalu nampaknya berbaloi apabila dia berjaya memenangi pingat emas bagi kategori Gubahan Asli Terbaik menerusi lagu Jika Engkau Pergi. Dan kemenangannya itu juga turut memberi peluang kepada Imran untuk terus berjasa kepada tanah tumpah airnya apabila dia dilantik menjadi duta kepada Lembaga Pelancongan Singapura (STB) “Rasa seronok kerana tugas saya ini memerlukan saya berkempen untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Singapura. Saya akan berkempen di dalam laman web www.stb.com.sg. Dalam lama web itu nanti saya akan menceritakan mengenai lokasi menarik yang boleh dilawati serta konsep pelancongan Muslim ke Singapura. Selama ini ramai orang Islam merasa was-was apakah di Singapura mempunyai tempat makan yang sedap dan halal. Justeru adalah menjadi tugas saya untuk menerangkan kepada semua menerusi laman web itu,”katanya dalam nada teruja. Menurut Imran, kempen itu juga menawarkan pakej yang menarik kepada mereka yang berminat terutama kepada peminat setianya. “Kami menyediakan enam pakej dan salah satu pakej itu, mereka yang bertuah akan berpeluang bercuti bersama saya di Singapura. Caranya mudah saja, mereka yang berminat bolehlah menyertai peraduan itu yang akan diletakkan di laman web STB.Program itu akan diadakan pada Disember ini.Jadi kepada peminat saya itu, jangan lepaskan peluang ini,” katanya yang segak berbaju Melayu cekak musang rona krim.


Anuar Zain Paling Eksklusif

Tiket Eksklusif Syawal bersama penyanyi itu laris walaupun lebih mahal daripada Beyonce Knowles
ANDAI melihat nilai harga tiket yang dikenakan untuk menyaksikan persembahan Eksklusif Syawal bersama Anuar Zain yang berlangsung di Golden Chersonese Mediahall, Maju Junction, baru-baru ini, tentu ramai yang terkejut kerana harga yang dikenakan boleh dikatakan setaraf dengan harga tiket untuk menyaksikan konsert artis bertaraf antarabangsa. Bayangkan, untuk menyaksikan pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini beraksi, tetamu perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM800 (VIP), RM700 (Premier) dan RM600 (Eksekutif).

Malah, harga tiket ini jauh lebih tinggi dari nilai harga tiket konsert penyanyi Beyonce di mana untuk harga VIP, jumlahnya hanyalah sebanyak RM583. Dan apa yang membanggakan, tiket yang hanya terhad kepada 300 tetamu itu habis dijual. Siapa sangka di saat ekonomi yang tidak menentu ketika ini, masih ada peminat yang sanggup mengangkat martabat artis tempatan setaraf penyanyi luar negara. Bukan calang-calang peminat yang sanggup mengeluarkan belanja sebulan gaji hanya untuk menyaksikan artis kesayangannya menyanyi dan Anuar nyata cukup bertuah kerana mempunyai peminat yang sanggup berbuat apa saja kerananya. Bersesuaian dengan nama acara yang dijayakannya itu, tidak keterlaluan andai dikatakan Anuar antara penyanyi yang cukup eksklusif dan termahal apabila mengambil risiko mengenakan harga tiket sebanyak itu. Bagaimanapun perkara ini disangkal Anuar sambil menyatakan dia juga terkejut apabila mendapat tahu harga tiketnya mencecah hampir RM1000.
“Apabila pihak penganjur memberitahu saya harga tiket yang dikenakan sebanyak RM800, saya sendiri terkejut kerana perancangan awalnya, harga yang diletakkan adalah RM400. Saya bimbang majlis ini tidak mendapat sambutan memandangkan harga yang dikenakannya cukup mahal. Iyalah, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, siapa yang sanggup mengeluarkan belanja sebanyak itu. “Tapi, apabila dimaklumkan yang semua tiket habis dijual, saya bersyukur sangat-sangat kerana ia masih mendapat sambutan,” ujar Anuar dalam nada teruja. Kata Anuar, dalam hal ini, dia tidak melihat dirinya sebagai artis paling eksklusif di Malaysia hanya kerana persembahannya yang mahal itu. Baginya sesiapapun artis itu dan jika dia mempunyai album, dia tetap eksklusif di mata peminatnya. Dan kata Anuar, dia beruntung kerana mempunyai peminat yang cukup setia kepadanya dan akan sentiasa menyaksikan persembahannya walau di mana jua dia berada. “Ada di antara mereka saya memang kenal kerana sering menyaksikan persembahan saya. Dan ada yang datang sejauh dari Singapura hanya untuk menyaksikan persembahan saya. Mereka ini ada menyediakan tabung khas untuk menonton konsert saya. Inilah yang membuatkan saya terharu dan rasa dihargai.
“Justeru, sebagai penyanyi, saya akan cuba menghiburkan mereka sebaik mungkin kerana mereka amat penting dalam kehidupan saya. Bagi saya, interaksi amat penting dan saya akan cuba merenung mata mereka jika sedang berkata-kata dengan mereka kerana itu akan membuatkan mereka rasa lebih dihargai. “Walaupun saya dalam kesusahan tapi apabila berada di atas pentas, saya akan pastikan yang saya seorang saja yang merasakan kesusahan itu. Naik saja pentas, secara automatik masalah kena letak ketepi dan kita kena fokus pada persembahan kerana tugas kita adalah untuk menghiburkan mereka,” ujar anak jati Merlimau, Melaka ini. Terlanjur bercerita mengenai konsert, tentu ada yang tertanya-tanya, apa lagi yang perlu dibuktikan penyanyi ini bagi memastikan impiannya untuk mengadakan konsert solo bertaraf mega menjadi kenyataan? Jika gusar apakah akan ada peminat yang sanggup mengeluarkan wang untuk menyaksikan konsert Anuar, persembahan Eksklusif Syawal bersama Anuar Zain jelas membuktikan segala-galanya, Andai persembahannya sewaktu konsert Lelaki Ini di Istana Budaya beberapa bulan lalu boleh dijadikan penanda aras, tidak dinafikan sudah tiba masanya untuk penyanyi terkenal itu mengikut jejak langkah Anita Sarawak, Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza yang sudah pun mempunyai konsert solo sendiri yang berskala besar. Namun, sehingga kini, impian hanya tinggal impian. Pun begitu, walaupun terpaksa menunggu lama namun Anuar tidak pernah kisah akan hal itu kerana dia begitu memahami. “Saya akui, sejak menghasilkan konsert solo di Istana Budaya ........ lalu, tiada tawaran lain yang saya terima. Tapi tak mengapa, saya faham, dalam keadaan sekarang ini, siapa yang berani nak keluarkan duit untuk menaja konsert saya. Mungkin mereka merasakan kurang berbaloi untuk menaja konsert saya menyebabkan sehingga kini tiada tawaran yang saya terima,” kata Anuar yang mempunyai keinginan untuk mengadakan persembahan di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Malaysia. Biarpun kelibat Anuar jarang kelihatan dan hanya muncul untuk acara tertentu namun itu tidak bermakna dia melupakan peminatnya yang berada di ceruk desa. “Walaupun saya kerap membuat persembahan di bandar namun saya ada juga turun membuat persembahan di kampung. Sebelum ini saya terbabit dengan aktiviti Astro iaitu Gempak Desa dan pernah membuat persembahan di Kuantan, Pahang dan terbaru pada 17 Oktober ini, saya akan ke Kluang, Johor untuk bertemu peminat di sana. Saya akui seronok dapat bertemu dengan mereka dan memang menjadi impian saya sebelum ini untuk melawat kampung dan bermesra dengan peminat saya di sana,” ujar Anuar sambil mengukir senyuman.
Teruskan legasi lagu Melayu Asli

DIA mungkin kelihatan urban bagi sesetengah pihak. Apatah lagi muzik yang diketengahkan dalam setiap albumnya berkonsepkan pop bernuansakan R&B. Malah penampilannya yang sering bergaya dengan pakaian berjenama membuatkan ramai yang tidak mengetahui bahawa semangat kemelayuan Anuar begitu menebal dalam jiwanya. Siapa sangka, dalam diam Anuar menyimpan hasrat untuk merakamkan lagu Melayu Asli. Bukan sekadar ingin menunaikan impian sendiri tetapi menurut Anuar dia merasa bertanggungjawab untuk menghasilkan album kerana tidak mahu warisan bangsa itu terus pupus ditelan zaman.

“Kalau kita lihat remaja sekarang, andai ditanya mengenai lagu Melayu asli, masing-masing akan mencebik dan memperlekehkannya walhal kalau bukan mereka yang mengambil berat, memelihara siapa lagi. Mungkin mereka ini kurang pendedahan terhadap lagu sebegini dan untuk itu, saya merasa terpanggil untuk merakamkan album berkonsepkan Asli supaya warisan bangsa ini akan terus bertahan sampai bila-bila,” ujar Anuar. Ditanya apakah dia akan merakamkan lagu Asli sama seperti yang pernah dilakukan penyanyi lain, Anuar menegaskan konsep dan pemilihan lagu nanti sedikit berbeza dari yang sedia ada. “Cara nyanyian tetap tidak berubah cuma dari segi pemilihan lagu saya akan rakamkan lagu yang jarang orang dengar seperti Burung Putih, Timang Burung. Kalau kita lihat di radio misalnya, balik-balik lagu yang sama diputarkan. Jadi apa salahnya jika kita rakam lagu yang orang tidak pernah dengar supaya boleh popular,” kata Anuar sambil menyanyikan sebaris lirik lagu itu. Bertemu adik kepada penyanyi Ziana Zain ini tidak lengkap rasanya jika tidak dikemukakan persoalan jodoh. Mengulas pertanyaan itu, Anuar berkata soal itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya buat masa ini.

“Saya kasihankan wanita yang bakal menjadi isteri saya sebab saya terlalu sibuk dengan kerja. Mungkin bila saya berhenti menyanyi nanti baru saya akan berkahwin,” ujarnya ringkas. Pada majlis itu, Anuar menyanyikan 15 buah lagu termasuk lagu yang pernah dipopularkan oleh Datuk Sharifah Aini iaitu Tiada Maaf Bagimu, Hanya Milikmu, Lelaki ini, Sesuci Cintamu, Ketulusan Hati serta lagu raya iaitu Bersabarlah Sayang dan Suasana Hari Raya, lagu duet popularnya bersama Ellina.