Saturday, August 8, 2009

Erra Mula Terima Watak Gelap


Erra akan menjayakan drama bersiri 26 episod arahan Rashid Sibir berjudul Kasih Tercipta SEBELUM ini, dia sering diberikan watak gadis atau wanita yang baik. Daripada seorang gadis yang kecewa cinta, kakak yang bertanggungjawab sehingga anggota polis yang berdedikasi, semuanya pernah dipegang pelakon bernama Erra Fazira. Namun, sedikit masa nanti, peminat akan dapat menonton pula sisi hitam pelakon ini apabila dia mula menerima watak lebih gelap dalam drama dan filem.
Terbaru, dia akan menjayakan drama bersiri 26 episod arahan Rashid Sibir berjudul Kasih Tercipta, untuk siaran Astro. Berbeza dengan watak dipegangnya sehingga kini, watak yang diberikan kepadanya dalam drama itu memerlukan dia menjadi perempuan yang bersikap negatif. Menggambarkan watak itu sebagai hitam kelabu, Erra berkata, antara lain dia perlu menghidupkan watak bagaimana seorang perempuan terpaksa melakukan kejahatan ke atas pasangan kekasih atas desakan tertentu. "Erra sebenarnya sukakan watak jahat, tetapi biarlah watak berkenaan ada kelasnya tersendiri, bukannya peranan jahat yang nampak sangat kejahatannya seperti yang selalu kita saksikan dalam sinetron. Dalam drama bersiri Indonesia itu, contohnya, kita nampak yang baik terlalu baik dan yang jahat pula terlalu jahat
"Erra juga rela menerima watak hitam sekiranya sesuai dengan diri Erra. Bagi drama Kasih Tercipta umpamanya, Erra terima setelah pihak Astro meminta Erra membawakan watak berkenaan. Lagipun, ia lebih berupa cabaran untuk Erra mempelbagaikan corak lakonan," katanya ketika ditemui selepas menyerikan majlis pelancaran televisyen terbaru keluaran Philips, Cinema 21:9 LCD TV di Hotel JW Marriott Kuala Lumpur. Majlis pelancarannya disempurnakan Erra bersama-sama Pengarah Ketua Organisasi Jualan Philips, Eddie Ong dan Pengurus Kanan Pemasarannya, Teoh Tze Ping. Menurut Erra, bukan hanya drama terbabit bakal menyaksikannya menggalas watak gelap, sebaliknya dia juga tertunggu-tunggu penggambaran sebuah filem baru pada tahun depan yang memerlukannya menjayakan watak seorang pembunuh upahan bisu. Tentu sekali ia pengalaman cukup berbeza buat aktres yang juga seorang ibu ini, walaupun filem komedi Sifu & Tongga yang ditayangkan awal tahun ini turut memperlihatkan Erra memegang watak penjahat.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pandangannya terhadap saingan yang dijelmakan oleh pelakon baru, apatah lagi dia sendiri agak jarang muncul di layar lebar sejak akhir-akhir ini, Erra memberitahu, dari segi persaingan, ia sebenarnya sudah wujud sejak dulu lagi. "Cuma sejak akhir-akhir ini Erra sudah agak kurang berlakon filem. Erra pula tidak menganggap mereka sebagai pencabar, sebaliknya generasi pelakon pelapis. Inilah masanya untuk barisan pelakon baru itu pula menyerlah, apatah lagi mereka lebih layak untuk memegang watak-watak muda yang ditawarkan produser. "Antara pelakon hari ini yang Erra lihat berjaya menempa nama dan boleh melangkah lebih jauh dalam industri perfileman kita ialah Maya Karin. Erra juga tertarik dengan lakonan Noorkhiriah dan Nabila Huda. Mereka antara pelakon yang Erra nampak menyerlah di kaca TV mahupun layar perak," katanya. Begitupun, aktres yang menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia edisi ke-15 (menerusi Soal Hati) dan ke-18 (Hingga Hujung Nyawa) ini mengaku, agak sukar untuknya membuat ramalan siapakah antara barisan pelakon muda hari ini yang akan menempah nama pada masa akan datang berikutan kewujudan terlalu ramai artis baru yang membanjiri dunia seni. "Satu ketika dulu, Erra sendiri risau memikirkan siapalah yang akan sama-sama memeriahkan layar lebar pawagam kita. Orang klata, asyik-asyik muka Erra saja, peminat pun mungkin naik rimas. Sekarang, industri kita bertambah baik dan semakin ramai pelakon pelapis yang diberikan peluang oleh produser," katanya. Pada pertanyaan apakah dia sudah bersedia menyerahkan mahkota Primadona Filem Melayu Alaf Baru kepada pelakon lain, sambil tersenyum Erra berkata, bukan dia yang menghadiahkan gelaran itu kepada diri sendiri, sebaliknya pihak medialah yang mengaitkannya dengan status berkenaan. Justeru, media jugalah yang layak menentukan sama ada gelaran itu harus diberikan kepada aktres lain atau sebaliknya. "Sejak awal pembabitan dalam industri seni, Erra berpesan pada diri sendiri supaya sentiasa beringat, populariti dan segala peluang yang diperoleh hari ini hanyalah bersifat sementara. Sampai masanya, ada orang lain yang akan mengambil tempat berkenaan," katanya yang tidak berkecil hati dengan keadaan itu, seandainya ia membantu industri seni tempatan untuk lebih berkembang. Pelakon yang bakal menyambung siri Mertua Vs Menantu selepas Aidilfitri ini turut memberitahu, berkemungkinan besar dia akan menyambung kontrak sebagai artis eksklusif Astro untuk jangka masa setahun lagi. "Sebenarnya, amalan sebagai artis eksklusif ini sudah lama dipraktikkan di negara luar. Hanya di Malaysia peminat baru didedahkan dengan amalan sedemikian apabila Astro memperkenalkannya beberapa tahun lalu. Sebagai artis eksklusif, banyak faedah yang diperoleh seseorang artis. Selain bayaran yang berbaloi, wajah kita juga tidak akan muncul di merata-rata," kata Erra yang kini masih berusaha untuk menurunkan sebanyak lima kilogram lagi untuk mencapai berat badan idaman, 55 kilogram.

Nama Baru,Kurang Komersial Ungguli FFM22

Nama baru, kurang komersial ungguli barisan Top 5 buka mata pencinta hiburan SENARAI pencalonan akhir Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) memperlihatkan kebangkitan nama baru serta pelakon berbakat namun kurang komersial untuk mengungguli barisan Top 5. Pencalonan yang diharap akan mengalih perhatian khalayak yang barangkali sebelum ini khayal dengan wajah komersial, seterusnya mencipta ruang selesa untuk mereka berkarya atas tiket bakat.
Pencalonan yang diterima juga mendesak pencinta hiburan supaya membuka mata dan melihat kekuatan bakat yang sedang mewarnai industri perfileman tempatan untuk diberi sokongan dan diletakkan pada kedudukan sewajarnya. Kategori utama memperlihatkan persaingan sengit antara nama yang sudah diakui kekuatan bakat mereka, namun turut dicabar beberapa nama baru yang berpotensi untuk mencipta kejutan pada malam kemuncaknya di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah esok. Ketiadaan Mamat Khalid yang terpaksa menangguhkan pencalonan filem arahannya, Estet berikutan masalah salinan filem memberi ruang selesa kepada Afdlin Shauki dan Allahyarham Yasmin Ahmad untuk bersaing bagi kategori Pengarah Terbaik.
SETEM lakonan Afdlin dan Rashidi cemerlang dengan 10 pencalonan.
Afdlin mempertaruhkan sentuhan terbarunya dalam Papadom, manakala Yasmin mempamerkan kecemerlangan menerusi karya terakhirnya, Talentime sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 25 Julai lalu. Peluang Yasmin untuk merangkul gelaran itu semakin jelas apabila Talentime menerima 11 pencalonan untuk kedua-dua anugerah, Anugerah Perdana dan Anugerah Cipta. Talentime menerima pencalonan untuk kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Senimatografi Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Harapan Wanita, Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik. Bagaimanapun, pencalonan terbanyak bukan jaminan untuk Talentime melangkah selesa kerana Sepet yang pernah diangkat sebagai Filem Terbaik pada FFM18 gagal menobatkan Yasmin sebagai Pengarah Terbaik.
Nadia Mustafar
Kemungkinan juga Bade Haji Azmi yang menerima pencalonan menerusi Maut pulang dengan kejutan, sementelah pengarah berpengalaman itu pernah meraih kemenangan pada FFM16 menerusi KL Menjerit. Untuk kategori itu, mereka disaingi dua nama yang semakin mempamerkan kehebatan dalam bidang pengarahan iaitu Ahmad Idham yang mempertaruhkan Syurga Cinta dan Pierre Andre yang menyandar harapan kepada Jangan Tegur. Turut meraih perhatian adalah kategori Pelakon Lelaki Terbaik yang memperlihatkan persaingan sengit antara tiga aktor berwibawa iaitu Que Haidar (Maut), Afdlin Shauki (Papadom) dan Rashidi Ishak (Setem). Ketiga-tiga mereka menunjukkan prestasi lakonan yang membanggakan dan Rashidi umpamanya, memberikan mutu persembahan di luar jangkaan apabila berjaya keluar daripada ruang selesa menerusi arahan Kabir Bhatia, Setem. Mereka turut dicabar dua muka baru, Awal Ashaari yang mempamerkan kekuatan bakatnya dalam Syurga Cinta selain Mahesh J Kishor yang diperkenalkan Yasmin menerusi Talentime. Meskipun Sharifah Amani pernah menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi Sepet pada FFM18, laluannya pada FFM22 agak sulit. Apatah lagi, untuk kategori itu Amani disaingi kehebatan lakonan pelakon muda berpengalaman, Nabila Huda mewakili Bohsia serta Nadia Mustafar yang mempamerkan lakonan berkesan dalam filem seram, Jangan Tegur. Amani menjadi nadi yang menggerakkan Sayang U Can Dance turut dicabar Liyana Jasmay yang bakal muncul dengan Papadom, Oktober depan. Saingan sengit barangkali antara Nabila dan Nadia. Kategori itu juga melihat kebangkitan bakat baru, Heliza yang menyerlah dalam Syurga Cinta. Milik siapa trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik kerana tiga daripada calonnya ialah pelakon yang berjaya membuktikan kredibiliti mereka dalam dunia lakonan. Indi Nadarajah yang bertanding atas tiket Setem mempunyai pengalaman luas dalam lakonan teater, manakala Shaheizy Sam yang beraksi dalam Bohsia juga bukan calang-calang aktor. Keberkesanan lakonannya yang membawakan watak hitam sebagai Mat Rempit bernama Acai menerima pujian ketika filem arahan Syamsul Yusof ditayangkan kepada umum, akhir April lalu. Que Haidar sekali lagi membolosi Top 5 menerusi lakonannya dalam Papadom dalam kategori yang turut menampilkan dua nama baru, Mohd Shafie Naswip (Talentime) dan Nas-T (Kami The Movie). Tiga nama berpengalaman turut bersamanya, namun Salina Saibi yang selama ini lebih menyerlah sebagai pelakon drama mungkin mampu menjulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Biarpun dicabar Vanidah Imran menerusi Setem dan Adibah Nor (Talentime), kredibiliti lakonan Salina lebih diuji menerusi Bohsia. Kategori itu turut membariskan pelakon berkarakter, Noorkhiriah yang mempertaruhkan lakonannya dalam Papadom selain Scha Al Yahya yang berjaya membuka mata peminat filem menerusi arahan James Lee, Histeria. FFM22 turut memperlihatkan keunggulan Setem dengan 10 pencalonan menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pelakon Harapan Lelaki serta Poster Terbaik. Turut menerima pencalonan terbanyak adalah Papadom arahan Adlin Shauki dengan sembilan pencalonan menerusi kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik serta Penataan Seni Terbaik. Apa kata finalis FFM22:
Heliza Helmi: “SESUATU yang tidak pernah saya fikirkan, lebih lagi membolosi Top 5 Pelakon Wanita Terbaik kerana saya masih terlalu baru dan cetek pengalaman sebagai pelakon. “Syurga Cinta menguji saya untuk membawa watak yang jauh lari daripada sifat sebenar saya yang selamba dan bersahaja, malah memberikan tekanan apabila diminta menangis serta beraksi romantis. “Semua itu memberikan cabaran lebih lagi saya belum biasa beraksi di depan kamera sebagai pelakon. Saya juga tidak punya banyak masa untuk mengkaji watak itu namun bernasib baik kerana mendapat bimbingan daripada pengarah, Ahmad Idham serta Awal Ashaari. “Membolosi Top 5 adalah pencapaian semua yang terbabit dalam produksi itu. Saya tidak mungkin berada pada tahap ini jika tanpa bimbingan mereka. “Teguran mereka menyedarkan saya hidup sebagai anak wayang tidak mudah. Saya tidak pernah mengeluh biarpun terpaksa melakonkan semula itu dan ini kerana semua itu membantu saya untuk tampil terbaik di layar perak”. Nadia Mustafar: “PERTAMA kali nama saya membolosi Top 5 dalam mana-mana festival membuatkan saya terharu kerana selepas berbelas tahun berlakon, bakat saya dilihat dan dihargai. “Lebih bermakna, pencalonan ini dibuat bukan atas dasar populariti sebaliknya bakat saya dinilai barisan panel juri profesional membuatkan saya begitu menghargainya. “Alhamdulillah, komitmen saya terhadap bidang yang menjadi punca rezeki dan karier memberi pulangan berbaloi dengan pencalonan ini. “Lebih mengujakan, kategori ini menyaksikan kebangkitan nama baru yang secara tidak langsung memperlihatkan industri kita tidak pernah ketandusan bakat untuk diketengahkan. “Ia membuktikan pelakon muda seperti mereka melihat bidang ini sebagai sesuatu yang serius, membuatkan saya berasa bertuah kerana berada dalam kelompok terbaik buat pertama kali dalam sejarah dunia lakonan saya”.
Salina Saibi: “BOHSIA adalah filem pertama membuatkan saya bertekad untuk bersungguh-sungguh ketika di lokasi. Peluang seperti tidak datang mudah dan apabila memperolehnya, saya berusaha keras untuk tidak mengecewakan kepercayaan yang sudah diberikan. “Bohsia memberikan pengalaman lakonan yang luar biasa. Saya memperoleh kepuasan kerana karektor yang dibawa mempunyai pelbagai warna yang memberi momentum kepada lakonan saya. “Jujurnya saya berada dalam industri bukan untuk mencari glamour atau mengejar populariti. Sebaliknya saya cuma mahu berkongsi sedikit bakat yang saya ada dan alhamdulillah, Bohsia membawa saya melangkah jauh dalam lakonan. “Melihat senarai finalis saja sudah membuat saya berasa kerdil dan tidak berani menaruh harapan terlalu tinggi. Berada dalam kelompok Top 5 saja sudah memberi kemenangan kepada saya”.
Awal Ashaari: “IA sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran, terutama sebelum ini saya berada dalam bidang lakonan sekadar untuk mencuba. “Pencalonan ini membuat saya teruja namun pada masa sama berasa kecil kerana saingan saya semuanya sudah diakui kehebatan mereka di layar perak. “Selama empat tahun dalam industri, ini kali pertama saya merasai nama tersenarai dalam Top 5. Lebih bermakna, ia dipilih oleh juri profesional dan bukan berdasarkan populariti. “Syurga Cinta juga menemukan saya kepada kecintaan sebenar terhadap dunia lakonan. Saya ingin berterima kasih kepada Heliza dan adik Haziq kerana kesungguhan mereka memberi motivasi kepada saya untuk turut sama melipatgandakan usaha di lokasi. “Saya menemui kepuasan sebenarnya dalam Syurga Cinta, malah menjadi hadiah paling bermakna pada ulang tahun kelahiran yang ke-28 pada 6 Ogos ini”.

Sierra Miller Bagaikan Supermodel


Sierra Miller memegang peranan sebagai Baroness dalam GI Joe, lengkap dengan seragam getah berwarna hitam, kasut tumit tinggi enam inci JIKA ada filem yang mampu memperkenalkan nama pelakon Sienna Miller secara lebih meluas kepada peminat filem antarabangsa, ia tentu sekali datangnya daripada judul penuh aksi arahan Stephen Sommers, GI Joe: The Rise of Cobra, yang baru saja ditayangkan di negara ini mulai 7 Ogos lalu. Pelakon yang mula muncul di layar lebar pada 2001 menerusi filem South Kensington itu sebelum ini hanya dikenali melalui filem yang bercorak sederhana. Casanova (2005) dan Stardust (2007) mungkin dua judul paling popular pernah dibintanginya sebelum ini.
Lalu, apabila aktres berusia 27 tahun yang memulakan karier sebagai model ini mula menjejakkan kaki ke set filem GI Joe, dia mengaku cukup tergamam. Miller yang sering muncul dalam drama berbajet sederhana tidak menyangka, filem aksi yang dihasilkan daripada figura permainan terkenal dunia itu rupa-rupanya projek yang tersangat besar, melepasi apa yang pernah dibayangkannya. "Tiba saja saya di lokasi, saya lihat seribu kru turut berada di situ. Saya pula hanya sering terbabit dalam filem yang berbentuk bebas sebelum ini. Keadaan itu nyata meletakkan diri saya dalam keadaan serba tak kena. Tidak pernah sekali pun saya beraksi dalam projek sebegini hebat. Tetapi, sebaik saja saya mula bekerja, perasaan resah itu bertukar seronok pula," cerita Miller. Wanita yang dilahirkan di New York, namun dibesarkan di United Kingdom ini menerima pujian hasil lakonan berkesannya ketika muncul dalam filem Factory Girl, judul di mana dia memainkan watak gadis popular Edie Sedgwick, bergandingan dengan Guy Pearce (memainkan watak Andy Warhol).
Miller turut menerima kritikan membina apabila beraksi dalam Alfie, filem buatan semula terbitan 2004, di samping bekas kekasih, Jude Law. Kali ini, dalam filem aksi bernilai RM595 juta itu, dia memainkan peranan penjahat wanita yang licik diberi nama Baroness, lengkap dengan seragam getah berwarna hitam, kasut tumit tinggi enam inci, serta bersenjata. Tidak ubah seorang supermodel, Baroness juga tangkas dalam seni pertahanan diri. Menurut Miller, wataknya dalam filem itu memerlukan dia bersedia dalam segala segi, terutama fizikal. Justeru, dia perlu berlatih di gimnasium, di samping menghabiskan enam minggu belajar cara berlawan bersama dengan jurulatih ternama yang pernah mereka cipta gerakan pergaduhan dalam The Matrix. Malah, pelakon yang juga seorang pereka fesyen ini turut diajar cara menembak bagi melengkapkan penampilannya dalam G.I. Joe.
"Saya sudah boleh menembak menggunakan raifal sekarang," katanya sambil mengaku, dia akan berkelip dan sering kali membuat bunyi tembakan keanak-anakan dengan setiap tembakan yang dilakukan. Aktres cantik ini juga nampaknya tidak terlepas daripada kecederaan ketika melakukan babak aksi dalam filem ini. Dia mengalami kecederaan akibat kebakaran kecil selepas berlari ke dalam letupan yang berlaku pada masa yang salah. Dia juga pernah dikejarkan ke hospital dengan tangan yang bengkak. "Saya perlu bergaduh dengan memakai kasut tumit tinggi enam inci. Jadi, situasi itu agak rumit. Tetapi, rasanya saya yang agak cemerkap. Saya boleh ditimpa kemalangan kecil hanya kerana berjalan di kaki lima," kata aktres yang pernah memenangi Anugerah Masa Depan EMA (Environmental Media Awards) pada 2007. Bercerita mengenai filem terbabit, Miller berkata, dia mula mengetahui perihal wataknya dalam GI Joe ketika persatuan penulis Hollywood mengadakan tunjuk perasaan. "Ketika itu, tiada siapa pun yang tahu, bilakah mereka akan mula bekerja semula. Saya pun terasa ingin melakukan sesuatu yang bersifat hiburan semata-mata. Selalunya ia bukanlah jenis kerja yang saya suka. Tetapi apabila saya membaca skrip, saya dapati ia mempunyai karakter yang dibangunkan dengan baik sekali. Sebagai penjahat, watak itu sangat menarik dalam sebuah kisah yang menarik juga. "Lagipun, sudah semestinya kita akan berasa hebat apabila muncul dalam filem yang ingin sekali ditonton ramai orang," katanya. Miller, yang mempunyai label fesyennya sendiri berkata, dia memang berharap untuk mengekalkan latihan senaman yang diamalkannya walaupun selepas filem itu tamat penggambaran. "Tetapi, nampaknya agak sukar untuk saya berbuat demikian. Saya sentiasa terbang antara dua benua ini dan selalu membuat alasan kepenatan untuk ke gimnasium. Selalunya saya memang bijak mencari alasan untuk keluar daripada sesuatu yang malas saya hendak lakukan," katanya sambil tersenyum. Baru-baru ini, Miller mengembara ke Afrika bersama sebuah pertubuhan kemanusiaan, International Medical Corps, bagi membantu kempen kesedaran antarabangsa terhadap penduduk terpinggir yang memerlukan bantuan di Congo. Kumpulan itu menyediakan latihan penjagaan kesihatan serta pelbagai rancangan lain bagi mengurangkan penderitaan rakyat di seluruh dunia. "Mula-mulanya, saya benar-benar ingin melihat apa yang berlaku dengan mata sendiri. Ketika itu saya tidak tahu pun apa yang bakal dilihat sehinggalah saya nampak kanak-kanak berusia 13 tahun yang memegang senjata AK47. Namun, ia tetap pengalaman menakjubkan serta sebuah amalan kebajikan yang bermakna," tegasnya. Berlakon bersama-sama Miller dalam filem yang sarat aksi serta visual mengagumkan itu ialah Channing Tatum, Adewale Akinnuoye-Agbaje, Christopher Eccleston, Joseph Gordon-Levitt, Byung Hun Lee, Rachel Nichols, Ray Park, Jonathan Pryce, Saïd Taghmaoui, Marlon Wayans dan Dennis Quaid.

INFO:

MENERUSI filem GI Joe, peminat boleh menyaksikan beberapa kelengkapan berteknologi tinggi milik pasukan wira yang turut dimuatkan dalam filem berkenaan. Antaranya: Howler Jump Jet
Jet masa depan yang menjadi mesin pengangkut pasukan GI Joe sehingga 12 orang pada satu-satu masa.
Ia mampu terbang dan mendarat secara vertikal dalam masa yang singkat.
Boleh terbang pada tahap kelajuan supersonik serta boleh dikendalikan sebagaimana pergerakan helikopter.
Penujah kiri dan kanan berfungsi secara bebas untuk pergerakan lebih licik. Brawler
Kenderaan berbentuk van yang lengkap bersenjata dan menjadi pusat arahan bergerak.
Bumbung yang boleh ditanggalkan bagi menempatkan meriam jarak pendek.
Mempunyai komputer pengesan yang mampu menjejaki semua aktiviti operasi di dunia.
Mampu dipandu dengan berkesan di kota mahupun luar bandar. Delta 6 Accelerator Suits
Seragam mekanikal turbo-hidraulik yang membolehkan pemakainya berlari lebih pantas, melompat lebih tinggi dan berkuasa lebih hebat daripada manusia manusia.
Ia sangat ringan tetapi tidak lut peluru, serta membolehkan pemakainya menumbuk menembusi halangan pejal seperti dinding.
Tangan kanan mempunyai mesingan 10mm yang mampu melepaskan 50 tembakan sesaat.
Tangan kiri pula dilengkapi lima bahan letupan 25mm tinggi, roket pergelangan tangan yang mampu mengesan haba. Enhanced Camouflage Suit
Seragam yang diperkemaskan oleh komputer, mampu menterbalikkan dan menelan cahaya, membolehkan pemakainya menyesuaikan diri dengan pelbagai latar belakang serta tidak kelihatan pada mata kasar. Submersible High-Speed Attack and Reconnaissance Craft (SHARC)
Kenderaan dalam air yang lengkap dengan senjata serta kokpit berasingan untuk pemandu dan penembak. Mini Robotic Underwater Spy System
Direka dengan matlamat penyamaran berkesan di dasar laut, Mini Robotic Underwater Spy System meniru penampilan dan pergerakan seekor ikan ketika merakam dan mengimbas maklumat kembali ke komputer di kapal selam. Rock Slide
Kenderaan atas salji yang lengkap bersenjata serta berkemampuan luar biasa, dibina untuk pergerakan yang licik.
Dilengkap dengan roket yang mampu mengesan haba dan mesingan.
Cerminnya kalis peluru, dengan rekaan aerodinamik. GI JOE Submarine
Kapal selam dengan reaktor nuklear yang mampu menyusuri laut beku artik pada kedalaman yang tak munasabah.
Ia membawa kelengkapan krew yang besar dan pelbagai kenderaan serangan bawah air serta daratan.
Sungguh kuat sehingga mampu memecahkan ketulan ais tanpa merosakkan kapal. Jet Pack
Jet roket yang dipakai di bahagian belakang apabila seseorang ingin terbang ke udara.

Thursday, August 6, 2009

Jelajah Muzik 1 Malaysia


Jelajah 11 Era Bersama Perodua kembali lagi! Ikutilah konsert-konsert menarik ini oleh penyanyi tempatan kegemaran anda di 11 lokasi serta meriahkan lagi konsert ini, anda berpeluang menemui Penyampai-Penyampai ERA kesayangan anda. Kami juga akan pasti memeriahkan anda dengan aktiviti-aktiviti dari Perodua yang pastinya akan memberikan lebih nilai serta erti hiburan kepada anda.
Kejar Skuad ERA Myvi yang terkini untuk peluang memenangi jemputan eksklusif untuk menonton konsert di perkarangan khas di depan pentas!



Kami akan memberi kelainan kepada anda untuk Jelajah 11 Era Bersama Perodua kali ini!
Yang Menarik:- Menang perjalanan pulang bersama Penyampai ERA di setiap lokasi.- Peluang untuk membawa pulang Edisi Khas Perodua Viva ERA 11.
Caranya mudah! Hadirilah konsert pilihan anda. Dapatkan borang penyertaan khas berikut melalui:- Penglibatan di dalam aktiviti yang dianjurkan oleh ERA dan Perodua sebelum konsert bermula.- Pandu Uji salah sebuah model kereta Perodua di lokasi konsert (Anda akan diberi 1 borang tambahan)- Membuat tempahan sebuah kereta Perodua di lokasi konsert (Anda layak mendapat 3 borang tambahan)
Hadirilah konsert pilihan anda dan anda mungkin memenangi peluang untuk dihantar peluang ke rumah oleh Penyampai ERA dan rebutlah peluang untuk menjadi pengunjung bertuah untuk memiliki Edisi Khas Perodua Viva ERA 11.


Aznil&Din Beramboi-Menangi RM50,000

Adakah anda salah seorang daripada 1000 "keluarga angkat" atau peserta untuk Aznil dan Din Beramboi Riuh Sana Sini? TAHNIAH!Kami sudahpun menyerahkan 1000 kad "standee"/klon dengan wajah dan badan Aznil dan Din Beramboi (saiz asal mereka) kepada 1000 pendaftar yang telah berjaya mendaftar untuk peraduan ini.Anda haruslah berjanji akan sentiasa bersama "standee" anda di mana sahaja anda berada. Hantar bukti mengikut tema yang akan kami berikan (contoh: Ambil foto dengan kereta Skuad ERA) dan hantarkannya sebagai bukti di halaman yang disediakan di laman web ini. Letaklah juga foto anda itu di Facebook, Friendster, MySpace, hantar ke suratkhabar, TV...lebih banyak publisiti anda terima, lebih cerah peluang untuk anda menang RM50,000!Bagi yang tidak sempat mendaftar, anda masih boleh menang WANG TUNAI setiap hari! Anda hanya perlu menjadi papERAzi kami dengan mencari peserta berdaftar yang ada "standee" Aznil & Din Beramboi, ambil foto bersamanya dan hubungi penyampai bertugas pada waktu peraduan! Anda haruslah memberitahu nombor siri yang ada pada "standee" peserta dan di mana lokasi anda telah berjumpa dengan peserta tersebut. Pada masa yang sama, hantarkan juga gambar tersebut ke laman web kami sebagai bukti. Foto dan penyertaan yang telah disahkan oleh pihak kami akan memenangi hadiah bernilai RM150. Sekiranya anda berjaya menembusi talian sewaktu segmen Riuh Pagi ERA, anda sekaligus layak memenangi hadiah bernilai RM300!Dengar ERA untuk klu/tugasan harian atau SMS ON ERA ke 32555! Aznil & Din Beramboi Riuh Sana Sini....Penjaga klon, bersedia!

Membeli-Belah Bersama Aznil

Inilah peluang anda untuk memenangi baucar membeli-belah dari Ogawa serta peluang untuk membeli-belah bersama Aznil.Hantarkanlah foto yang paling kreatif anda bersama mana-mana produk Ogawa di mana-mana cawangan Ogawa untuk peluang memenangi baucar berjumlah RM5,000!
Nak shopping!

Tuesday, August 4, 2009

40 Minit Bebas Iklan Bukan Idea Baru


Radio Era tidak melatah, format 40 Minit Bebas Iklan bukan idea baru

FORMAT baru 40 Minit Bebas Iklan yang diperkenalkan stesen radio nombor satu Era sejak awal bulan ini dituduh menciplak idea sebuah stesen swasta berskala kecil. Stesen radio yang sudah bertapak selama 11 tahun dalam industri penyiaran tanah air ini bagaimanapun menepis tuduhan berkenaan malah langsung tidak terasa dengan kenyataan dibuat orang kuat stesen baru itu.

Pengurus Rancangan Era, Nazri Noran yang sebelum ini pernah berkhidmat di stesen radio Inggeris, Hitz.FM ketika ditemui pada majlis pelancaran Aznil & Din Beramboi Riuh Sana Sini di KL Sentral berkata, format itu bukanlah idea baru tetapi sudah diaplikasi stesen radio yang berpayung di bawah Airtime Management & Programming Sdn Bhd (AMP) sejak lebih sedekad yang lalu. Justeru, apabila Era dituduh meniru oleh pesaingnya, mereka tidak mudah melatah.

Format memutarkan lagu tanpa henti kata Nazri bukan idea baru tetapi format itu sudah lama diguna pakai stesen radio luar negara. Formula itu kemudiannya diambil dan diaplikasikan stesen radio tempatan.

“Kami tak kisah dituduh menciplak idea mana-mana stesen radio kerana AMP terlebih dulu sudah menggunakan format muzik tanpa henti sejak 1997 lagi. Jika mereka mahu menuduh kami meniru, itu terpulang kerana itu hak mereka.

“Dunia penyiaran radio kita masih terlalu kecil, di Malaysia stesen radio yang ada tak sampai 20 buah. Persaingan memang terlalu sengit, tapi kalau mereka boleh buat lagi bagus dari kami, Era gembira dengan usaha itu. Cuma saya kurang bersetuju apabila mereka menuduh Era menciplak idea mereka, idea itu tidak asli kerana format itu diguna di seluruh dunia.


“AMP satu ketika dulu juga menggunakan formula sama yang ditiru dari luar negara tetapi dari masa ke semasa kita perbaiki format itu. Kami pun tak pernah kata orang tak boleh tiru idea itu kerana kita juga ambil dari luar negara. Masing-masing ada strategi sendiri untuk meningkatkan jumlah pendengar, saya tiada masalah dengan ini kerana ia menunjukkan perkembangan sihat dalam dunia penyiaran radio,” katanya.

Bercerita mengenai program Aznil & Din Beramboi Riuh Sana Sini pula, Nazri menjelaskan program itu adalah sebahagian daripada strategi stesen radio itu untuk mendekatkan diri dengan peminat. Konsep berkenaan pernah diperkenalkan tiga tahun lalu ketika bekas penyampainya Kieran dan Khairil Rashid mengendalikan program K&K mereka. Bagaimanapun dengan kewujudan laman sosial seperti Facebook, Twitter, Friendster, MySpace dan Youtube, ia digunakan bersesuaian dengan arus semasa.

Selama tiga minggu, pendengar yang mengambil bahagian dalam kempen itu dikehendaki membawa papan poster Aznil & Din Beramboi ke mana saja bermula dari 27 Julai dan berakhir pada 14 Ogos. Mereka perlu merakamkan seberapa banyak gambar serta mendapatkan seberapa banyak publisiti untuk aktiviti mereka dengan meletakkannya di laman sosial. Pada hari tertentu pula, peserta yang sudah mendaftar perlu mengikut tema yang ditetapkan dan berusaha mencari publisiti meluas.

Sementara itu satu panel khas yang terdiri daripada wakil Era dan Carrefour akan mengadili serta memberi mata kepada peserta berdasarkan daya usaha dan kreativiti mereka. Peserta yang berjaya mengumpul jumlah mata paling tinggi pada penghujung kempen bakal memenangi wang tunai berjumlah RM50,000.

“Maklum balas yang kami terimasungguh menggalakkan. Jumlah pendengar yang mendaftar untuk kempen ini juga cukup memberangsangkan. Dari situ kita mengedarkan 1,000 poster Aznil & Din Beramboi kepada pendengar yang mendaftar.

“Dengan kemudahan teknologi yang ada, pendengar boleh meletakkan gambar mereka bersama Aznil dan Din Beramboi di laman sosial yang kami nyatakan. Melalui kemudahan itu, mereka boleh meletakkan gambar terbaru bersama Aznil dan Din dengan segera.

“Bagi pendengar yang tidak berkesempatan mendaftar untuk kempen ini pula, mereka masih berpeluang memenangi wang tunai setiap hari dengan menjadi papERAzi, di mana mereka perlu mengikuti aktiviti peserta yang berdaftar.

“Jika mereka terserempak dengan peserta yang mendaftar untuk kempen ini, mereka hanya perlu rakamkan gambar peserta dan menghubungi Era pada waktu peraduan dan laporkan maklumat mengenai peserta kemudian berpeluang memenangi wang tunai RM 150. Manakala RM 300 pula diberikan ketika rancangan Riuh Pagi Era,” katanya.